Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Saturday, November 20, 2010

Lagi Macam-Macam Ada di Malaysia

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RAKYAT jelata, pengundi, pembayar cukai dan penderma tentunya mengalu-alukan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, membatalkan hasrat berangkat ke majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor kerana murka dengan perbelanjaan tinggi untuk sambutan itu.

Hasrat Baginda itu disampaikan menerusi satu kenyataan akhbar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud. Menurut Ramli, baginda tidak memperkenankan penganjuran majlis sambutan berkenaan kerana melibatkan kos kewangan yang terlalu tinggi – melebihi RM300,000. Baginda menyifatkannya sebagai membazir dan tidak berfaedah.

Saya rasa rakyat jelata, pengundi, pembayar cukai dan pesakit juga tentunya mengalu-alukan keputusan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya meluluskan RM5 juta bagi menaik taraf unit penjagaan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (KLH).

Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dirawat di situ dari 4 hingga 7 November lalu kerana demam campak (chicken pox). Nampaknya peruntukan itu ada kena mengena dengan pengalaman beliau di situ. Alhamdulillah, ada hikmat daripada keuzuran Perdana Menteri itu.

Kalau masa saya membesar di kampung dulu, budak-budak saja yang kena deman campak. Kalau orang dewasa dipanggil kayap melainkan ruam keluar seluruh badan sampai ke muka baru dipanggil campak. Saya sekali kena deman campak masa dewasa. Habis badan dan muka "bopeng". Tak pergi kerja tiga minggu.

Tetapi kita tidaklah perlu tunggu Perdana Menteri dan para pembesar yang berkuasa – VIPs with power – masuk ICU baru ICU dapat duit naik taraf atau masuk kampung baru jalan nak diturap dengan tar atau jatuh ke sungai baru nak kukuhkan jambatan.

Kalaulah para wakil rakyat kita berada di padang seperti yang semestinya, mereka tentulah tahu masalah rakyat. Tetapi kalau sekali-sekala turun padang, tak acilah. Parlimen dan DUN pun bukan bersidang setiap hari atau sepanjang tahun. Jadi tak masuk akallah kalau ada YB yang hanya sekali-sekala turun padang. Istilah turun padang tak relevan kalau para YB jalankan tugas sebab memang tugas mereka berada di padang dengan rakyat.

Kemudian ada berita mengenai presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Umno tidak patuh kepada undang-undang. Lantas dia mendesak Umno berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.” Pastilah itu bukan kenyataan yang mahu didengar oleh para pembesar Umno dan tidak syak lagi ramai yang kecut perut dengan kemungkinan itu.

Abdul Hadi berkata, Umno perlu bersikap terbuka menerima kekalahan dan tidak mencari helah untuk terus berkuasa macam di Perak tahun lalu.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah,” katanya.

Tapi tembakan Abdul Hadi terhadap Umno sikit-sikit terkena PKR sebab parti rakan Pas yang memerintah Selangor itu juga sedang menghadapi krisis kepemimpinan yang runcing.

Dan Pas sendiri jatuh sikit markah apabila gagal mempertahankan kerusi DUN Galas, Kelantan dalam pilihan raya kecil 4 November lalu.

Berbalik kepada Kabinet luluskan RM5 juta untuk ICU, Hospital Kuala Lumpur, pemerintah wajib memikirkan kesesuaian melaksanakan projek-projek yang kurang mendesak seperti projek RM65 juta untuk mengubahsuai Sri Perdana.

Kalau Mohd Najib pernah suruh rakyat jelata ubah “lifestyle” (gaya atau cara hidup) masa menarik balik subsidi petrol pada tahun 2006, eloklah para pembesar negara menunjuk jalan dan jadi teladan.

RM65 juta tu banyak. Kalau tak salah, pada zaman Abdullah Ahmad Badawi duduk di situ, dia sudah belanjakan lebih RM15 juta perbaiki dan ubah suai Sri Perdana. Itulah yang dilaporkan dalam Parlimen. Sekarang khabarnya RM65 juta lagi hendak dibelanjakan.

Berita-berita macam inilah yang membuat rakyat jelata marah. Lebih-lebih lagi pada waktu perbelanjaan yang afdal macam pelajaran, kesihatan dan kebajikan masyarakat dijimatkan.

Dengan berita-berita yang tidak masuk akal ini, bolehkah para pembesar Umno dan BN menyalahkan pengundi muda yang sedang bertungkus lumus membina kehidupan dalam suasana ekonomi yang makin mencabar jika mereka memihak kepada pembangkang?

Mereka mungkin tidak benci sangat kepada Umno atau BN, tetapi mereka tidak tahan dengan kurang keprihatinan segelintir pembesar Umno/BN serta sifat hemoi sesetengah watak di sekeliling mereka yang dilihat sebagai lebih sudu dari kuah.

Alangkah elok sumber kewangan negara yang terhad digunakan secara berhemah demi kepentingan rakyat terbanyak dan bukan untuk kesenangan para YB.

Jangan sekali-kali para YB lupa siapa yang meletakkan mereka di situ. Ingatlah, ada ubi ada batas, lima tahun sekali pengundi boleh balas!

Bukan YB BN saja. YB DAP, Pas, PKR dan yang serupa pun kena juga periksa dan ikhlas mengenai perbelanjaan rasmi mereka. Kalau kemurkaan Sultan Selangor dengan perayaan ulang tahun Yayasan Selangor boleh dijadikan contoh, nampaknya kerajaan PKR pun tidak bebas daripada pembaziran.

Akan tetapi, para pembesar Umno janganlah seronok sangat membelasah kerajaan PKR Selangor kerana masih banyak perbelanjaan rasmi kerajaan Umno/BN boleh dianggap membazir dan tidak kena tempat serta masa.

Saya pun setuju dengan titah Baginda Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah, yang kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri dan semua yang terlibat membantu mangsa banjir negeri itu.

Tak payahlah kita politikkan semua hal dan keadaan, takut-takut yang menyalah dan melalak itu pun tidak lebih daripada mengata dulang paku serpih. Wallahualam.

1 comment:

armouris said...

info tentang demam campak di SIHAT SELALU - Demam Campak Berjangkit