MPM Uji Dasar Umno Dan Pas
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
ADALAH memalukan apabila muncul suara-suara sumbang daripada segelintir orang Umno yang mendakwa kononnya Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) adalah “outfit” Umno.
Inilah cara kera sumbang yang mahu tumpang sekaki apabila buah di pokoknya mula kehabisan atau tidak sesedap buah di pokok orang lain.
Kera sumbang Umno ini sepatutnya bertanya mengapa begitu banyak NGO Melayu dan pemikir Melayu berdiri di belakang Ibrahim Ali bagi menubuhkan MPM jika bukan kerana kecewa dengan sikap Umno dan parti-parti politik Melayu/Islam.
Seperti kita maklum, pada 27 Feb. lalu, sebanyak 76 NGO Melayu bergabung bagi menubuhkan MPM) dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak-hak Melayu serta agama Islam.
Ini adalah perkembangan yang sihat kerana buat sekian lama suara orang Melayu/Islam terlalu dipolitikkan oleh Umno dan Pas sehingga mula hilang taring dan keberanian, khasnya selepas Pas bergabung dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Kemunculan suara alternatif Melayu yang bebas politik seperti MPM boleh menghidupkan kembali kepelbagaian suara orang Melayu/Islam dan menjadi pemangkin kepada penyemarakan semula dialog agama dan bangsa serta mengingatkan Umno dan Pas mengenai peranan mereka.
Secara kebetulan, penubuhan MPM berlaku seminggu selepas Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh media massa sebagai menggesa Umno melakukan perubahan cara bertindak (paradigm shift) supaya mendapat sokongan orang Melayu dan bukan Melayu.
Bernama melaporkan yang Perdana Menteri menggesa Umno mengambil berat kebajikan orang lain “agar mereka menghormati parti kita”dan jika Umno dihormati, akan wujudlah integrasi dan perpaduan.
Malaysian Insider pula memetik beliau sebagai berkata, ini boleh dilakukan dengan menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Beliau dilaporkan berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera di ibu negara pada hari Sabtu, 20 Feb.
“Mengapakah mereka tidak melihat kepada Umno untuk menyelesaikan masalah mereka? Mengapa mereka pergi kepada pembangkang?” tanya Mohd Najib.
Perdana Menteri berkata, kejayaan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan kepemimpinan orang Melayu, selaras dengan konsep 1Malaysia.
“Kita mesti menjaga kaum-kaum lain agar mereka hormat kepada kita,” katanya.
Tidak ada salah atau celanya saranan Perdana Menteri itu. Malah orang Melayu sepatutnya berasa lebih lega dengan “jaminan” beliau bahawa kepemimpinan Melayu adalah selaras dengan konsep 1Malaysia.
Cuma kita harus bertanya apakah masih tidak cukup apa telah Umno lakukan untuk orang bukan Melayu selama ini dan adakah sudah cukup apa yang dilakukannya untuk orang Melayu sendiri?
1. Bukankah selama ini Umno membela nasib semua kaum di Malaysia secara langsung dan tidak langsung sebagai parti induk Perikatan/Barisan Nasional?
2. Bukankah Umno yang membawa masuk kaum pendatang Cina dan India ke dalam proses perundingan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu yang sekali gus menjadikan mereka warganegara?
3. Bukankah kata putus Umno atau lebih tepat kata putus Perdana Menteri Umno menentukan dasar negara yang merangkumi semua kaum?
4. Apakah matlamat Dasar Ekonomi Baru yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kalau bukan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum?
5. Diputar-lajukan ke hadapan ke tahun 2010. Bukanlah Perdana Menteri dari parti Umno yang menliberalisasikan syarat pelaburan yang tidak lagi mewajibkan penyertaan modal Bumiputera dalam 27 bidang industri perkhidmatan?
6. Bukankah Umno juga berperanan membolehkan orang bukan Melayu menjadi senang dan kaya raya di negara ini lebih daripada orang Melayu sendiri?
7. Bukankah Perdana Menteri dari parti Umno yang menguar-uarkan dasar meritokrasi dan membuka pintu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada calon bukan Melayu sehingga melepasi nisbah kaum?
8. Bukankah dasar kerajaan pimpinan Umno yang membenarkan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di mana bilangan pelajar Melayu sangat kecil?
9. Atau Perdana Menteri bermaksud mengatakan yang pembesar dan penggiat Umno perlu terbabit terus membantu masyarakat bukan Melayu seperti memberi derma dan bantuan, menguruskan mayat, menjadi bentara di majlis kenduri kahwin dan mencari gadis Cina atau India yang lari dari rumah?
10. Bukankah tanpa Mohd Najib membuat saranan itu pun, sudah cukup ramai orang Melayu yang berasa Umno lebih menjaga hati dan kepentingan orang bukan Melayu daripada hati dan kepentingan orang Melayu?
11. Atau tidakkah pembabitan terus ala Michael Chong oleh Umno dalam hal ehwal masyarakat bukan Melayu akan mengurangkan dan mengganggu-gugat peranan parti-parti BN yang mewakili kaum-kaum bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah?
12. Benar kata Mohd Najib yang Umno perlu berubah. Tetapi bolehkah Umno berubah apabila Ketua Bahagian hanya peduli kedudukan sendiri dan bukan kepentingan ahli dan orang Melayu?
13. Bagaimanakah Umno boleh diterima oleh orang bukan Melayu sedangkan orang Melayu sendiri muak dengan pembesarnya yang terbabit dengan politik wang, mabuk kuasa dan mementingkan tembolok sendiri?
14. Atau pembesar Umno hanya mahu mendengar puji-pujian, sanjungan dan sambutan besar-besaran dengan dipagari pegawai tinggi kerajaan, pegawai khas, pengawal keselamatan dan kaki ampu?
15. Dan bukankah kerajaan pimpinan Umno yang membatalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana ditentang oleh beberapa pihak termasuk Dong Jiao Zong?
16. Jadi apa lagi yang tidak Umno lakukan untuk semua bangsa di Malaysia melainkan menukar namanya kepada United Malaysian National Organisation?; dan
18. Pas pula sudah menjadi kacau-bilau dalam matlamatnya memperjuangkan Islam kerana terlalu bertolak-ansur dengan DAP dan PKR seperti yang terjadi dengan isu kalimah Allah baru-baru ini.
Akhir kalam, buat peringatan kepada orang Melayu, saya petik pesanan Presiden pengasas Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, yang berbunyi:
“Kita hendaklah menggesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita, jangan sampai lain orang menggesek (dan) kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekannya.” -- (Daripada buku Amanat Presiden Umno 1946-2009 terbitan Berita Publishing.)
Posted by A KADIR JASIN at 6:37 AM 32 comments
Saturday, March 0
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment