Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Friday, May 29, 2009

SKIM PIRAMID

| | Comments (0) | TrackBacks (0)
Bookmark and Share

(Ini adalah rencana bersiri mengenai aliran semasa yang membawa kepada krisis kewangan masakini. Rencana asal di dalam bahasa Inggeris telah disiarkan di dalam blog ini pada Mei 7, 2009)

1. Terdapat pula skim Piramid atau Ponzi. Bernard Madoff hanya terbongkar selepas dia kehilangan 50 bilion duit yang telah dilaburkan dengannya.


2. Operasinya cukup mudah. Operator hanya memulangkan sebahagian sahaja wang yang "dilaburkan" dengannya sebagai dividen. Jika dia membayar dividen sebanyak 20 peratus setahun dia akan menghabiskan wang tersebut dalam masa lima tahun.

3. Tetapi apabila semakin ramai pelabur baru melabur dengannya, dianya akan dapat terus bayar dividen hinggakan para pelabur asal telah menerima semula pulangan jumlah yang mereka labur terdahulu. Lagipun pelabur akan terus melabur selagi mereka mendapat pulangan yang tinggi.


4. Secara amnya pelabur akan gembira dengan pulangan yang tinggi yang mereka tidak akan pun merungut. Pihak berkuasa juga tidak akan mendapat tahu tentang operasi skim tersebut. Lagipun jika ianya dibongkar dan diarah berhenti pelabur akan kehilangan semua wang yang mereka labur.

5. Madoff bukanlah satu-satunya yang kendalikan skim ini. Sebenarnya tidak ada kekayaan yang diperolehi kerana duit yang dilabur sebenarnya dipulangkan. Walaubagaimanapun dividen yang kononnya diperolehi akan menyumbang kepada per kapita dan KDNK Negara.

Wednesday, May 27, 2009

KEWIBAWAAN PETRONAS WAJIB DIPERTAHANKAN

Wednesday, May 27, 2009

Kewibawaan Petronas Wajib Dipertahankan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAYA perhatikan ramai pemblog dan pembahas mereka telah mula membincangkan perkembangan di Petronas dengan penuh emosi.

Saya tidak salahkan mereka. Dalam hal ini, kita rakyat Malaysia berhak menjadi emosional. Kelangsungan Petronas adalah tanggungjawab kita semua.

Isu yang membakar emosi itu adalah ura-ura pelantikan seorang muda lulusan Oxford yang seangkatan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas seorang menteri untuk menduduki lembaga pengarah Petronas.

Orang muda lulusan Oxford itu dicamkan sebagai Omar Mustapha Ong, bekas Pegawai Khas Mohd Najib Abdul Razak ketika Mohd Najib menjadi Timbalan Perdana. Bekas menteri itu pula dikatakan Syed Abdul Hamid Albar.

Walaupun pelantikan mereka masih di alam misteri, cakap-cakap mengatakan Omar akan dilantik ahli lembaga pengarah manakala Syed Hamid pengerusi bagi menggantikan Mohamed Hassan Marican.

Oleh kerana Petronas terletak terus di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, sebarang pelantikan tidak akan berlaku tanpa kehendak dan pengesahan beliau.

Jadi tidak hairanlah kalau ramai pemblog dan pembahas mereka mengaitkan ura-ura pelantikan Omar dan Syed Hamid dengan Perdana Menteri.

Saya kenal Omar. Daripada perwatakan, dia sederhana dan nampak cerdik. Yang menjadi masalah adalah pertaliannya dengan Mohd Najib dan Khairy.

Omar adalah pemegang tampuk Ethos Consulting Sdn Bhd, sebuah firma perundingan korporat. Laporan The Star mengenai Ong pada tahun 2006, antara lain, menyebut:

“Ethos Consulting Sdn Bhd has appointed Omar Mustapha managing principal and director effective Feb 1.

Prior to his appointment, Omar served as special assistant to Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak on matters of public policy, international relations and the corporate sector.

Omar was co-founder of Ethos Consulting together with the late Dr Liew Boon-Horng and has worked closely as joint managing principals since the firm’s founding in June 2002.

He left the firm to join the Deputy Prime Minister’s staff in February 2004.”

Walaupun dia meninggalkan Mohd Najib untuk menguruskan Ethos Consulting, namun Omar tetap rapat dengan Mohd Najib dan dipercayai terus terbabit dengan kegiatan beliau.

Seperti banyak institusi dan syarikat yang rapat dengan Khairy dan persekongkolan Tingkat Empat, Ethos Consulting dilaporkan mendapat banyak kerja perundingan kerajaan, khas untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ura-ura pelantikan Omar ke lembaga pengarah Petronas menjadi berita sensasi di Internet kerana banyak pihak bimbang akan berlaku campur tangan luar ke atas syarikat minyak negara itu serta kemungkinan terjadi eksploitasi ke atas kontrak serta asetnya.

Kebimbangan ini boleh difahami kerana di bawah Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, persekongkolan "Tingkat Empat" dan "budak-budak PM" telah mencetuskan pelbagai kontroversi seperti dalam urus niaga ECM-Libra, AirAsia, pembinaan terminal penerbangan murah (LCCT) dan penjualan Pantai Holdings kepada Parkway, Singapura.

Apa pun kebenaran kepada ura-ura ini, kepentingan dan kewibawaan Petronas wajib dipertahankan. Sebarang tindakan yang mengancam kepentingan dan kewibawaan Petronas oleh sesiapapun wajib didedah dan disekat.

Namun, keyakinan dan harapan boleh diletakkan di atas bahu Mohd Najib kerana dia bukan sahaja Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi dia kenal Petronas sejak syarikat itu ditubuhkan ketika pentadbiran ayahnya, Abdul Razak Hussein.

Pekerjaan pertama Mohd Najib setelah pulang dari pengajian di England adalah di Petronas sebagai pegawai di Jabatan Perhubungan Korporat.

Ketika itu, kalau tidak silap saya, Tengku Razaleigh Hamzah adalah Pengerusi dan Junus Sudin (Datuk) -- bos saya yang baik hati di NSTP -- adalah Pengarah Urusan.

Saya sendiri mula membuat laporan mengenai Petronas pada tahun 1976 untuk akhbar The Business Times ketika rundingan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Agreement) dengan syarikat-syarikat minyak asing dijalankan.

Hari ini, berkat kecekapan dan integriti pegawai-pegawai Petronas yang majoritinya Bumiputera, dan tanpa campur tangan yang negatif daripada kerajaan, Petronas muncul sebagai salah sebuah syarikat terbesar di dunia.

Senarai majalah Fortune Amerika Syarikat meletakkan Petronas sebagai syarikat yang ke-95 terbesar di dunia tahun lalu. Sebahagian besar pendapatannya kini hasil daripada kegiatan di luar Malaysia. Petronas adalah pengarak panji-panji negara di persada dunia.

Jadi, sebesar mana pun keperluan memberi pangkat dan jawatan persaraan kepada bekas menteri, operator politik atau rakan taulan, kepentingan Petronas dan kepentingan rakyat jelata jangan sekali-kali diperjudikan.

Kalaupun perlu melantik seorang pengerusi baru bagi memisahkan tugas lembaga dan pengurusan Petronas, calonnya biarlah bukan dari kalangan politik.

Ingat jugalah kepada legasi Allahyarham (Tan Sri) Azizan Zainol Abidin bekas Pengerusi Petronas dan hormatilah orang dalam Petronas yang telah membuktikan kepakaran dan integriti yang tinggi.

Ura-ura sebeginilah yang memberi alasan kuat kepada pihak-pihak yang mahu Petronas bertanggungjawab kepada kuasa yang lebih universal seperti Parlimen untuk terus memperjuangkan tuntutan mereka.

Kepada rakan-rakan blogger, mungkin elok bagi sesiapa saja yang berkepakaran di bidang petroleum, perniagaan global dan urus tadbir korporat membuka sebuah blog khas untuk mengawasi dan memantau perkembangan di dalam Petronas agar ia tidak dilarikan (hijack) oleh pihak-pihak yang rakus.

[NOTA KAKI] -- Mohon maaf kalau saya terlambat membaca dan menyiarkan komen-komen Saudara dan Saudari. Saya terpaksa berulang alik ke kampung di Kedah kerana ayah saya sedang sakit dan emak perlukan sokongan emosi.

Saturday, May 23, 2009

MAHATHIRISM

MAHATHIRISM

| | Comments (89) | TrackBacks (0)
1. One way of demonising an opponent, particularly a political opponent, is to give him a derogatory label.

2. At one time Lee Kuan Yew labeled me as a Malay ultra. After that caught on, I could do nothing that would not be labeled as extreme. Even if I make the most innocent statement, it would be considered as extreme, as racist.

3. It took me decades to live it down. When I was appointed Deputy Prime Minister there was consternation among the Chinese. What was going to happen to Malaysia when this Malay ultra took over the Prime Ministership?

4. However, by the time I stepped down I had managed to belie that description. In the 1999 Election it was Chinese votes which helped give me the 2/3 majority in Parliament.

5. Now the doomsday label is Mahathirism. Such was the fear of this thing called Mahathirism that Tan Sri Muhyiddin had to assure the public that Najib's ascendancy to the Premiership would not bring back Mahathirism. The foreign press seem to imply authoritarian Government with Mahathirism.

6. No one has yet described the rule of Dato Seri Abdullah Badawi as Badawism. It must be because he is said to be liberal and free from authoritarianism. But is he?

7. It appears to be simply because the mainstream media, print or electronic, is totally controlled by him through his hatchet man, Kalimullah. And Kali ensures that the media plays up Abdullah's supposed liberalism, his transparency, his tolerance of the press etc. That the media blacks out any news that is not flattering of him is not noticed by readers, especially the foreign press.

8. Until the bloggers came into the picture and their blogs became extremely popular as they reported the truth, the black-out was effective. Now Kali's media reports some of the news and views appearing on the blogs.

9. But still the general public is not aware of the kind of authoritarianism of Abdullah. Ministers and civil servants critical of him have been removed. Many are in cold storage. Tan Sri Sanusi Junid who was President of the International Islamic University was one of those removed. No one has been appointed to his vacant place yet.

10. A whole bunch of journalists working with the UMNO owned paper had to resign, to be replaced by Kali's nominees from Singapore.

11. But Kali has friends amongst the foreign journalists. So we do not hear of Badawism. But privately people have given all kinds of uncomplimentary labels to the 5 years of misrule by the fifth Prime Minister of Malaysia.

12. By now people can draw their own conclusions as to whether Mahathirism in whatever form has returned.

Wednesday, May 20, 2009

BN PULAU PILIHAN RAYA KECIL PENANTI

Monday, May 18, 2009

BN Pulau Pilihan Raya Kecil Penanti

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SIR WINSTON Churchill berkata: “A pessimist sees the difficulty in every opportunity; an optimist sees the opportunity in every difficulty.”

(Seorang pesimis nampak kesukaran di dalam setiap peluang, seorang optimis nampak peluang di dalam setiap kesukaran).

The Star Online berkata: “Barisan Nasional memutuskan tidak bertanding pilihan raya kecil Pananti, Pulau Pinang, 31 Mei ini.

“Pengerusi BN, Mohd Najib Abdul Razak sebagai berkata: “Kami berasa pilihan raya kecil ini tidak diperlukan; kami tidak akan turut serta dalam mainan politik pembangkang.”

“Dia berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.”

Mahatma Gandhi berkata: “Fear has its use but cowardice has none."

(Ketakutan ada kegunaannya tetapi penakut tidak ada sebarang guna.)

Dan apa agaknya kata 5,127 pemilih yang mengundi BN di Penanti pada pilihan raya umum tahun lalu dan 3 lebih juta ahli Umno.

Saya?

Tak mahu kata apa-apa lagi!

Saturday, May 16, 2009

PERDAGANGAN MATAWANG

PERDAGANGAN MATAWANG

| | Comments (9) | TrackBacks (0)
(Ini adalah rencana bersiri mengenai aliran semasa yang membawa kepada krisis kewangan masakini. Rencana asal di dalam bahasa Inggeris telah disiarkan di dalam blog ini pada April 28, 2009)

1. Perdagangan matawang merupakan satu lagi penyumbang palsu kepada kemewahan negara-negara kaya. Perniagaan ini sekali lagi melibatkan wang yang tidak ujud. Bank akan pinjamkan sehingga 30 kali jumlah wang pelabur yang dipegang pedagang. Sekali lagi pinjaman diujudkan oleh wang rekaan bank. Begitu juga dengan wang pelabur jika ianya dipinjam dari bank.

2. Pinjaman yang besar oleh pedagang matawang membolehkan mereka memanipulasikan pasaran; menolak naik atau turun nilai matawang. Apabila nilai matawang bertukar peniaga mengaut untung. Kerana peniaga matawang mengawal beribu billion dollar, keuntungan mereka amatlah besar, dan begitu juga dengan dividen yang dibayar kepada pelabur.

3. Perniagaan matawang dianggarkan 20 kali lebih besar daripada jumlah keseluruhan perdagangan dunia. Pulangan ke atas setiap dolar yang dilaburkan akan lebih tinggi berbanding dividen daripada pengeluaran dan perdagangan barangan dan pemberian perkhidmatan. Dengan itu pelabur dan peniaga akan mendapat perolehan yang lebih tinggi daripada jangkaan sekiranya mereka melabur hanya modal yang ada pada mereka.

4. Individu tidak boleh pinjam 30 kali ganda wang yang mereka miliki untuk dilabur. Tetapi peniaga matawang boleh. Demikian kecenderungan pelabur untuk melabur melalui pedagang matawang.

5. Perniagaan matawang bukanlah untuk melabur dalam perniagaan atau perdagangan. Ianya diperjudikan ke atas kenaikan atau kemerosotan sesuatu matawang. Walau apa sekalipu jadi pada matawang (naik atau turun), penjudi (peniaga) akan untung. Kerana untung adalah daripada pelaburan lebih 30 kali ganda duit pelabur, kedua-dua peniaga dan pelabur akan mengaut untung yang jauh lebih tinggi daripada pelaburan dengan jumlah modal asal.

6. Keuntungan yang diperoleh peniaga dan pelabur ini akan dengan satu cara atau lain dimasukkan di dalam perkiraan KDNK dan pendapatan per kapita negara. Dengan itu angka-angka petunjuk ini menjadi begitu tinggi.

Saturday, May 09, 2009

SEPANJANG JALAN KENANGAN

Friday, May 08, 2009
Sepanjang Jalan Kenangan
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

APA-APA pun yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya. Sehari suntuk di Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan melihat kelakuan pembesar politik, saya mendapat banyak pengajaran.

Bukan daripada para pembesar politik, tetapi daripada apa yang saya lihat, dengar dan ingat. Orang Pakatan Rakyat marah. Noktah. Orang Umno pun marah, tetapi mereka juga berasa malu.

Mungkin Bandaraya Ipoh, seperti pokok beracun yang memberi nama kepadanya, telah kembali menjadi tempat toksik. Getah pokok ini digunakan oleh Orang Asli sebagai racun untuk menyumpit binatang.

Saya kembali teringat cerita Allahyarham datuk saya, Haji Hassan Md Isa mengenai kehebatan Ipoh pada tahun 1930 dan 40-an.

Pada zaman datuk saya, Ipoh dipenuhi orang putih pengurus estet dan lombong, tauke-tauke balak Cina, pekerja ladang dari India, perempuan kabaret, sarang candu, kedai todi dan kongsi gelap.

Pada waktu itu, candu halal dan pengedarannya dilesenkan oleh penjajah Inggeris. Sarang candu atau opium den dan kedai todi adalah institusi yang sebati dengan buruh ikatan dari China dan India.

Apabila orang Inggeris membenarkan dan membawa masuk buruh dari negeri China dan India, mereka mengizinkan pendatang itu membawa bersama tabiat mereka – buruh Cina dengan penagihan candu dan pekerja India dengan minuman todi.

Sesiapa yang membaca sejarah tentu terbaca cerita mengenai monopoli Inggeris ke atas perniagaan candu setelah mengalahkan Negeri China dalam dua Peperangan Candu (Opium War) daripada 1839 hingga 1860.

Siri peperangan ini berlaku apabila Inggeris melanggar undang-undang Negeri China dengan menyeludup candu dari India untuk kegunaan rakyat China.

Pada hari Khamis, 7 Mei walaupun tidak ada lagi manager orang putih, perempuan kabaret, kedai todi dan sarang candu di bandar raya itu, namun perangai segelintir penduduk dan pelawatnya tidak tumpah orang khayal candu dan mabuk todi.

Sangat mengaibkan. Kredibiliti dan kesahihan politik Perak terus menjadi bahan pertikaian. Mungkin sudah sampai masanya difikirkan kearifan mengembalikan mandat kepada pengundi.

Tetapi bukan semua yang berlaku dan dialami sehari di Ipoh itu buruk. Saya berkesempatan bertegur sapa dengan beberapa orang pembaca blog ini daripada kedua-dua belah pihak.

Bakar Penarik Beca ada di sana. Dia pakai baju hitam tsunami. Tetapi kali ini dia tidak ditangkap. Mungkin kerana dia di luar kawasan larangan macam saya. Bakar adalah veteran tunjuk perasaan dan kena tangkap sudah jadi alah bisa tegal biasa baginya.

Makanan di Ipoh boleh tahan. Jelingan seorang wanita bertudung di kedai makan Yong Suan aka "wangge" mencetuskan ilham untuk berpuisi. Siapa gerangan dia?

Pemandangan di luar daripada kawasan kepungan polis melegakan. Bangunan-bangunan lama mengingatkan kembali tahun 1950 dan 60-an. Moga-moga Majlis Bandaraya Ipoh mengekalkan bangunan-bangunan lama ini.

Perjalanan pulang melalui Jalan Persekutuan 1, iaitu jalan lama membawa saya menyusuri pekan Kampung Kepayang yang sudah ditinggalkan, Gopeng, Kampar, Temoh dan Tapah.

Sejak adanya Lebuhraya Utara-Selatan, pekan-pekan di sepanjang Jalan Persekutuan di Perak semakin usang dan ditinggalkan.

Rumah-rumah kampung yang tidak dihuni telah ditelan belukar dan semak-samun. Kita terpaksa mengintai baru nampak rumah-rumah kayu yang berseni ini dicelah-celah pokok durian, manggis, langsat dan rambutan.

Tapi teh dan kopi di kedai kopi usang yang diusahakan oleh sepasang suami isteri tua Cina di Tapah, berhampiran stesen bas masih melegakan.

Jadi, sekali-sekala elok kita tinggalkan keselesaan lebuh raya dan meninjau semula pekan-pekan kecil dan kampung-kampung yang pastinya mengembalikan nostalgia.

Pendek kata, kalau kita kenal sejarah dan kita dekati Perak di luar lingkaran sempit politik hodoh Bandaraya Ipoh, insya-Allah kita tidak akan berasa terlalu gundah-gulana, amarah dan kecewa.
Posted by A KADIR JASIN at 10:24 PM 0 comments

Tuesday, May 05, 2009

Sunday, May 03, 2009

Citrawan dan citramaya

Ruhanie Ahmad

Dalam satu jamuan makan malam dengan sekumpulan bloggers tanahair di Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyarankan kita mencipta istilah Bahasa Melayu bagi blog dan blogger.

Saya mengambil lebih seminggu untuk membelek kamus dan membaca buku mengenai ICT untuk mendapatkan istilah paling sesuai bagi kedua-duanya. Malam tadi saya memutuskan dua pilihan, iaitu blog diistilahkan dalam Bahasa Melayu sebagai lamancitra atau citramaya dan blogger pula sebagai pencitra atau citrawan. Bagaimanapun, beberapa sahabat saya bersetuju blog diistilahkan sebagai citramaya dan blogger sebagai citrawan.

Ada juga sahabat yang mencadangkan agar blogger lelaki diistilahkan sebagai citrawan dan perempuan sebagai citrawati. Tetapi, oleh kerana istilah blogger adalah mesra gender, wajarlah kita istilahkan blogger hanya sebagai citrawan.

Kamus Besar Bahasa Melayu (Utusan) memberikan maksud citra dalam bentuk kata-kata teras sebagai gambar, gambaran, wujud, rupa, bentuk, lukisan, arca. Ini bermakna bahawa menurut kamus ini, citra adalah suatu gambaran yang wujud dalam bentuk, rupa, lukisan dan arca.

Kamus Dewan Bahasa pula memberikan erti kepada citra sebagai gambar, lukisan, arca. Ini bermakna kamus ini juga hanya menitikberatkan bentuk fizikal iaitu gambar, lukisan dan arca.

Kamus Besar Bahasa Indonesia memberikan empat maksud citra. Satu: dari segi kesusasteraan Melayu klasik, citra bermakna rupa, gambar, gambaran. Dua: dari sudut pengurusan, citra bermaksud gambaran yang dimiliki orang banyak mengenai peribadi, perusahaan, organisasi atau produk. Tiga, dari aspek sastera, citra adalah kesan mental atau bayangan visual yang ditimbulkan oleh sesebuah kata, frase, atau kalimat, dan merupakan unsur dasar yang khas di karya prosa dan puisi. Empat, dari konteks perhutanan, citra adalah data atau informasi dari potret udara untuk bahan evaluasi.

Kata-kata teras kepada maksud citra daripada ketiga-tiga kamus berkenaan adalah gambar, gambaran, bentuk, rupa, lukisan, arca, kesan mental, kata, frase, kalimat, informasi dan evaluasi. Keseluruhan kata-kata teras ini boleh membawa maksud bahawa citra adalah gambaran atau persepsi umum yang lahir daripada rupa, bentuk, lukisan, acra, barisan kata-kata, frase, kalimat dan informasi yang boleh memberikan kesal mental atau pun boleh dievaluasikan.

Dalam kata-kata yang lain, citra adalah sesuatu yang abstrak. Ia boleh ditakrifkan sebagai pemikiran, imajinasi, persepsi, reaksi, evaluasi atau pendapat seseorang insan setelah membaca, meneliti atau menghayati sesuatu gambar, lukisan, arca, puisi, prosa, maklumat ataupun data.

Maksud yang saya bina ini hampir bertepatan dengan maksud blog. Untuk pembinaan istilah ini, saya definisikan blog sebagai sebuah halaman siber yang interaktif yang memaparkan teks, gambar dan suara secara keseluruhannya, secara bercampur-campur atau secara berasingan untuk menimbulkan kesan mental kepada pembacanya, untuk dinilai oleh pembacanya atau untuk mendorong reaksi dalam bentuk komen daripada pembacanya.

Definisi blog seperti di atas mempunyai persamaan dengan maksud perkataan citra kerana kedua-duanya membabitkan aspek pemikiran, imajinasi, persepsi, reaksi, evaluasi atau pendapat manusia. Kesan mental akan wujud daripada seseorang insan sesudah ia meneliti, memahami serta menghayati sesuatu prosa, puisi, lukisan, gambar ataupun arca. Kesan mental juga akan lahir daripada seseorang insan setelah mengakses sesuatu blog, membaca postingnya sama ada dalam bentuk teks, video ataupun audio. Impak daripada penghayatan, pemahaman dan penelitian sesuatu gambar, lukisan, arca ataupun posting adalah citra kepada gambar, lukisan, arca ataupun posting terbabit.

Oleh sebab itu, kalau laman siber yang memberikan citra ini diistilahkan dalam Bahasa Inggerisnya sebagai blog, manis sungguh jika laman yang sama kita istilahkan dalam Bahasa Malaysia sebagai laman citra. Bagaimanapun, oleh kerana alam siber atau alam digital yang menjadi domain sesuatu blog di angkasaraya juga dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai alam maya, manis sungguh jika blog atau laman citra ini diistilahkan sebagai citramaya. Dan, oleh kerana pemilik blok dikenali sebagai blogger, adalah wajar jika pemilik dan pengoperator citramaya ini kita istilahkan dalam Bahasa Melayu sebagai citrawan.

Lantaran itu, jika anda sependapat dengan saya, mulai hari ini kita istilahkanlah blog sebagai citramaya dan blogger sebagai citrawan. Mulai hari ini juga wajar kita hebahkan ke seluruh dunia nusantara, blog adalah citramaya dan blogger adalah citrawan.

Saya bukannya seorang pakar bahasa. Tetapi, saya mendedikasikan masa kira-kira seminggu untuk membina istilah ini kerana menyahut seruan Rais. Mudah-mudahan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang cukup halus jiwa seninya ini sudi menerima istilah ini dengan sepenuh hati.

Saya tidak akan mempaten atau mengcopyrightkan istilah ini kerana sebagai seorang citrawan sejak Jun 2006, saya rasa inilah sumbangan kecil saya kepada dunia citramaya Malaysia dan kepada warga citrawan tanahair seluruhnya.

Saya percaya istilah ini akan menerima legitimasi dan pengiktirafan sewajarnya bila Rais dan kita semua setuju mengguna serta mempopularkan kedua-duanya secara yakin dan meluas sehingga ianya meniti dari bibir ke bibir dan menjadi buat mulut di Malaysia.

Akhir sekali, marilah kita mula gelarkan diri kita sebagai citrawan dan blog kita sebagai citramaya. Kepada saya, citramaya saya adalah kuda-kepang dan puteramaya. Sebagai seorang citrawan, saya akan akan sentiasa berusaha untuk berpegang teguh kepada disiplin dan akauntabiliti diri sendiri dalam berkarya menerusi citramaya di alam siber!
7 comments Links to this post

Sunday, May 03, 2009

Saturday, May 02, 2009

Anak Kampung Dan Komuniti Burung

Ruhanie Ahmad

Dalam kesibukan hidup seharian, tiba-tiba saya teringatkan kampung halaman di Batu Pahat. Paling mencuit kerinduan saya adalah mengenai kicauan aneka spesies burung yang menyegarkan jiwa. Hakikatnya begitu kerana majoriti anak kampung memang menghayati kemerduan nyanyian burung di kala Subuh, tengahari dan senja. Di kala malam bulan mengambang, mereka akan berasa sayup dengan dendangan burung pungguk tanpa renti mendayu-dayu sampai ke fajar. Kadang-kadang mereka akan dikejutkan dengan suara burung helang yang terbang bertebaran di angkasa pada waktu tengahari sambil cuba menyambar mangsanya di bumi. Di musim tengkujuh mereka akan melihat burung raja udang berkejar-kejaran sambil menerjah hujan. Pendek kata, kicauan burung dan perilaku hidup masing-masing tetap mengasyikkan kepada mereka yang mempunyai jiwa seni.

Warga burung memang menjadi sebahagian penghuni sesebuah kampung terutama sekali kampung yang terceruk jauh daripada hiruk-pikuk kemajuan dan pembangunan. Burung-burung akan terbang berkawan-kawan mencari rezeki di awal pagi. Mereka pulang ke sarang masing-masing di kala senja menjelang tiba. Mereka hidup rukun damai, tinggi semangat kesetiakawanan dan sungguh mulia kemuafakatan antara sesama kelompok atau dengan kelompok yang lain.

Hakikat ini amat menakjubkan. Saya tidak pernah terlihat seekor burung raja udang hinggap di atas kepala kawannya. Saya tidak pernah terpandang seekor buruk belatuk berebutan rezeki. Saya tidak pernah terjumpa seekor burung murai bergaduh sesama sendiri sebab seekor cacing. Saya tidak pernah terserempak dengan seekor burung kelicap yang bertengkar sesama sendiri kerana berebut madu di mayang kelapa yang sedang mekar.

Burung tempua membuat sarangnya tanpa dicemburui oleh pipit uban. Burung pungguk yang rabun di siang hari tidak pernah diganggu-gugat oleh burung perling. Burung kebayan tidak pernah bermegah diri kerana warnanya yang menawan. Burung gereja tidak pernah sekali mengganggu keharmonian burung terocok. Burung tekukur tidak pernah beradu kemerduan suara dengan tekukur. Burung merpati terbang dan hinggap tanpa cemburu kepada serindit yang berwarna kuning diraja.

Saya menulis kisah burung-burung ini kerana pada ketika ini nostalgia kerukunan burung-burung itu amat menjentik naluri diri. Mereka sentiasa sehati sejiwa. Mereka sentiasa muafakat. Mereka hidup menjunjung nilai-nilai, adat, etika dan disiplin diri. Mereka tidak tamak. Mereka tidak haloba. Jiwa mereka bersih daripada hasad dan dengki.

Setiap spesies burung mengenal asal usul dan susur-galur spesies masing-masing. Murai tidak akan berlagak sebagai merbah. Kebayan tidak akan menjadi perling. Belatuk tidak akan jadi raja udang. Serindit tidak akan menjadi pipit. Tempua tidak akan bersarang rendah. Burung pungguk tidak akan mendayu-dayu di siang hari. Sekali sekala murai memang akan jadi kecoh di tengah malam bila didapati ada bahaya di persekitaran persarangannya.

Persoalannya di sini mengapa harus manusia terpegun dengan komuniti burung? Mengapakah sistem kemasyarakatan komuniti burung wajar dikaji dan dihayati? Kenapakah komuniti burung sentiasa menjunjung tinggi etika, adat, resam, budaya dan kelaziman hidup tanpa rasa jelak, jemu dan lelah?

Apapun burung dan cara hidupnya sentiasa menakjubkan saya. Sewaktu membuat ucapan sulung di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 11 Disember 1990, saya berucap mengenai demokrasi. Lantas saya ambil iktibar burung yang mengetahui batas dan tahap kebebasan masing-masing, yang tahu menghormati hak dan keistimewaan spesies yang lain, yang tidak pernah hinggap di atas kepala spesies sendiri atau spesies lain, yang tidak pernah memijak kepala sesama sendiri apatah lagi kepala spesies lain.

Ucapan itu saya tujukan kepada Lim Kit Siang yang sebelum itu membahaskan soal demokrasi secara berapi-api. Saya tidak pasti beliau memahami analogi saya itu kerana di kalangan Ahli Parlimen BN pun ramai yang bertanya mengapakah saya mengheret soal demokrasi dengan sistem kehidupan burung-burung?

Saya tidak dapat menghuraikan jawapan kepada pertanyaan itu. Tetapi, mereka juga tidak dapat menjawab pertanyaan saya, salahkah jika manusia yang dianugerahi Allah dengan pemikiran meluangkan sejenak masa mereka untuk meneliti karenah, gelagat, perilaku dan kaedah kehidupan komuniti burung? Fikir-fikirkanlah!
5 comments Links to this

Saturday, May 02, 2009

Thursday, April 30, 2009

Kerjasama Umno-Pas: Antara Polemik dan Kesungguhan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SEANDAINYA Pas dan Barisan Nasional benar-benar serius menubuhkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government) mereka tidak harus berpolemik atau membenarkan polemik menjadi penghalang.

Kalau sekadar berpolemik dan melepas batuk di tangga ia tidak akan sampai ke mana-mana.

Kali terakhir Pas dan BN bergabung dalam “kerajaan perpaduan” adalah selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Pas menjadi anggota BN apabila Parti Perikatan diperbesarkan dan ditukar menjadi Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Waktu itu rakyat jelata dan kepemimpinan politik negara dalam kejutan dan demokrasi digantung berikutan peristiwa pertumpahan darah kaum di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 10 Mei, 1969.

Ketika itu Pas memenangi Kelantan dan Terengganu dan hampir-hampir mengalahkan Perikatan di Kedah. Turut sama menyertai BN adalah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berjaya menakluki Pulau Pinang.

Tetapi pada tahun 1977 Pas dipecat daripada BN oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn. Salah satu sebabnya adalah kebimbangan Umno terhadap perkembangan pesat Pas, khanya di Rancangan Tanah Felda.

Pendapat umum pada waktu itu ialah Pas, melalui Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas, Allahyarham Mohamed Asri Muda, telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk membuka ranting-ranting Pas di projek-projek penempatan Felda.

Tetapi ada juga pendapat mengatakan Hussein, sebagai pemimpin dari Johor, tidak mempunyai pandangan serupa dengan birasnya Abdul Razak mengenai perpaduan Melayu dan kerjasama dengan Pas.

Sejak itu, cakap-cakap mengenai kerjasama Umno-Pas menjadi isu bermusim. Setiap Perdana Menteri dan setiap Presiden Pas mempamerkan wajah (facade) yang mereka bersedia menimbangkan kerjasama.

Alasan utama adalah perpaduan orang Melayu dan keamanan negara. Ia muncul apabila salah sebuah daripada parti Melayu/Islam itu mengalami kelemahan.

Selepas pilihan raya umum 2008 adalah giliran Umno menjadi lemah setelah kalah kepada Pas dan sedikit sebanyak kepada Parti Keadilan Rakyat di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Kejayaan besar Pas dan kegagalan Umno berpunca daripada kelemahan Umno di bawah Abdullah Ahmad Badawi dan kejayaan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, merundingkan pakatan pilihan raya di antara PKR, Pas dan DAP.

Sampai hari ini pun ia masih berupa pakatan tidak rasmi. Ia belum disahkan oleh keahlian parti-parti yang terbabit justeru itu belum didaftarkan.

Sejak itu, perbezaan fundamental di kalangan tiga parti PR itu menjadi semakin ketara. Pas terus dicabar untuk menegakkan dasar Negara Islam dan Hukum Hudud manakala DAP terus menentang kedua-dua gagasan itu dan sebaliknya mahu Malaysia diisytiharkan negara sekular berdasarkan “Malaysian Malaysia.”

PKR pula, sebagai parti campuran pelbagai kaum dan tergesa-gesa meluaskan sayapnya pada PRU lalu kini mengalami pelbagai masalah dalaman.

Sejak kejayaan besar dalam PRU lalu, PKR mengalami masalah demi masalah daripada pemilihan pucuk pimpinan kepada pemberhentian ahli, peletakan jawatan Adun, skandal seks, pemecatan Timbalan Ketua Menteri, pertuduhan rasuah ke atas bekas Adun dan pertuduhan liwat terhadap Anwar sendiri.

Perkembangan-perkembangan ini menyebabkan pembabitan Pas dengan DAP dan PKR semakin bermasalah kerana mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam dan parti yang bermaruah.

Sementara itu krisis politik Perak tidak membantu mewujudkan gambaran positif terhadap kewibawaan Pas dalam PR apabila ia dilihat sebagai telah diperalatkan oleh DAP semata-mata kerana mahu memegang jawatan Menteri Besar.

Kerajaan PR Perak runtuh apabila dua Adun PKR dan seorang Adun DAP keluar parti dan memihak kepada BN.

Walaupun Pas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 Mac lalu, namun undi Melayu yang diperolehnya merosot berbanding PRU tahun lalu. Ia menang kerana undi bukan Melayu.

Selain itu, Pas juga boleh menggunakan ura-ura rundingan dengan Umno/BN sebagai cara memperkukuhkan tuntutannya untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dan jawatan lebih baik dalam kabinet bayangan PR yang sedang dirangka oleh Anwar.

Soalnya adakah Umno benar-benar berminat merundingkan gagasan ini dengan Perdana Menteri baru, Mohd Najib Abdul Razak, di mercu kuasa?

Seperti kita maklum, cadangan kerajaan perpaduan Pas-BN ini tercetus hasil pertemuan sulit antara Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri yang lalu.

Persoalannya adakah Mohd Najib yang sedang hebat mengenakan copnya ke atas Umno dan pentadbiran negara berminat dan bersedia untuk memperkenalkan dimensi baru dengan duduk semeja secara serius dengan Abdul Hadi?

Dilihat daripada aspek Melayu dan Islam, memanglah perpaduan Umno-Pas melalui BN ada sebab dan logiknya yang tersendiri.

Dalam PRU lalu, walaupun Umno/BN kalah teruk, tetapi Pas tidaklah pula menang besar. Yang menang besar adalah DAP dan PKR.

Pas hanya memenangi Kelantan dan Kedah manakala di negeri-negeri PR yang lain – Pulau Pinang, Perak dan Selangor -- Pas hanya menduduki tempat ketiga selepas DAP dan PKR. Di Parlimen, Pas menduduki tempat ketiga juga dengan 23 kerusi selepas DAP (28) dan PKR (31).

Daripada aspek politik nasional dan perpaduan kaum, kerjasama Pas-Umno melalui BN adalah lebih logik kerana BN mempunyai perwakilan kaum dan wilayah yang lebih besar dan teruji daripada PR.

Dalam mana-mana gagasan atau pakatan pun, kesahihan dan kewibawaannya tidak dapat diwujudkan jika semua kaum tidak diwakili secara bermakna.

Namun, buat masa ini, ura-ura kerajaan perpaduan Pas-Umno atau Pas-BN ini masih di peringkat awal. Atau lebih tepat di peringkat polemik yang semestinya akan mencetuskan pelbagai pendapat, pandangan dan andaian.

Seperti kata Naib Presiden Pas, Husam Musa, Pas sendiri tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai ura-ura kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi itu.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ini adalah pendirian yang sangat logik bagi orang cerdik seperti Husam.

Dia pasti sedar bahawa jika Umno berjaya memulihkan dirinya, ramai ahli dan penyokong parti itu yang berpaling tadah dan mengundi Pas dalam PRU lalu akan kembali semula kepada Umno pada PRU akan datang.