Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Friday, August 14, 2009

Debat Arak dan Puaka Politik Selangor
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[NOTA KEPALA: Mohon maaf saya kembali kepada politik. Suka tidak suka, kita tertakluk dan ditakluki oleh politik, hatta dalam kes selesema babi sekarang. Kalau kepemimpinan politik kita cakap sesedap rasa dan melepas batuk di tangga, jangan salahkan sesiapa jika wabak ini akan menjadi lebih buruk.]

KEMBALI kepada perkembangan politik tanah air, saya masih ingat bagaimana saya menemui Dr Mohd Khir Toyo tidak lama selepas dia menjadi Menteri Besar Selangor.

Saya menemuinya kerana timbul cakap-cakap yang beliau kurang gembira dengan tulisan-tulisan saya mengenainya yang dianggap terlalu kritikal atau kurang tepat.

Jadi saya pun menceritakan kepada beliau pengalaman saya sebagai pemerhati politik Selangor bermula daripada krisis pemecatan Allahyarham Datuk Harun Idris pada tahun 1976.

Sejak itu, saya melihat seorang demi seorang Menteri Besar datang dan pergi. Ada yang naik dan turun tetapi lebih ramai yang naik dan jatuh seolah-olah ada sumpahan kepada jawatan itu.

Jadi saya kata kepada Dr Khir berhati-hatilah kerana sumpahan dan puaka politik Selangor adalah kerana negeri Selangor kaya.

Malah saya memberi amaran kepada beliau secara lisan dan melalui tulisan dalam blog ini dan dalam majalah Malaysian Business agar tidak terlalu seronok mengisytiharkan Selangor negeri maju menjelang 2005.

Selangor tetap diisytiharkan negeri maju dan apa yang terjadi kepada Dr Khir, Umno dan Barisan Nasional selepas itu adalah sejarah.

Beralih kepada kerajaan campuran PKR (15 kerusi), DAP (13) dan Pas (8) Selangor walaupun baru berusia 16 bulan namun kesan-kesan sumpahan itu sudah mula menjangkitinya.

Seperti sumpahan yang menimpa kerajaan BN, penyakit atau maladi yang menimpa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekarang berhubung-kait dengan ekonomi, harta dan kekayaan.

Isu Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim didakwa menggunakan duit negeri untuk membeli lembu korban dan kini isu arak yang melagakan Pas dengan DAP adalah juga berkaitan harta dan kekayaan.

Bagi orang bukan Islam, arak dan judi adalah antara kegiatan penting ekonomi yang menjadi hak (rights) dan sumber kekayaan mereka. Jadi apalah yang hendak dihairankan jika mereka mempertahankan perniagaan arak dan judi.

Percubaan Pas melalui pesuruhjaya negerinya Dr Hassan Ali untuk mengawal penjualan secara terbuka semua jenis arak, termasuk bir, di kawasan-kawasan majoriti Muslim tentulah bercanggah dengan dasar dan prinsip hak dan kebebasan yang dipegang oleh DAP dan ahli bukan Islam dalam PKR.

Dr Hassan sebagai pengarak panji-panji Pas di Selangor tentulah tidak boleh berdiam diri dan bersubahat dengan DAP dan PKR dalam hal judi, arak dan percambahan rumah-rumah urut yang menyediakan lebih daripada urut tradisional dan dewan-dewan karaoke yang menyediakan lebih daripada hiburan nyanyian.

Manakala PKR dan DAP boleh mengatakan semua kegiatan ini wujud sebelum PR mengambil alih negeri Selangor, Pas tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga kepada perkara-perkara mungkar kerana ia adalah parti Islam.

Jadi kita boleh faham dan bersimpati dengan Dr Hassan kerana memikul beban yang sangat berat dan mencabar. Setelah 16 bulan bertolak ansur dengan PKR dan DAP serta melindungi kerajaan PR Selangor daripada bermacam tuduhan, termasuk seks bebas, Pas nampaknya tidak mahu berdiam diri lagi terhadap kemungkaran yang berlaku.

Jadi apakah pilihan Dr Hassan apabila desakannya agar Adun DAP Ronnie Liu digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Tempatan dianggap “non-issue” (tidak ada isu) oleh Abdul Khalid dan isu arak tidak mendapat tindakan segera?

Seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini dan juga media massa arus Perdana, pilihan Dr Hassan adalah untuk tidak berganjak dan tidak menyerah kalah.

Malah secara terbuka dia berkata dia bersedia menghadapi padahnya.

“I Won’t Give In, Says Defiant Hassan” demikian tajuk berita Malaysiakini. Soalnya adakah kerana mempertahankan pendirian sebagai seorang Muslim, Dr Hassan boleh dituduh “defiance”atau berkeras?

Malaysiakini membuat kesimpulan: “Far from (being) intimidated by the prospects of facing a disciplinary hearing, Selangor PAS commissioner and exco member Hasan Ali is even more determined to uphold his party's Islamic principles.”

(Jauh daripada berasa takut dengan kemungkinan menghadapi perbicaraan tatatertib, Pesuruhjaya Pas Selangor dan Ahli Exco, Hassan Ali nampaknya lebih berazam mempertahankan prinsip-prinsip Islam Pas.)

Adalah amat menarik diperhatikan sama ada Dr Hassan akan mendapat sokongan padu kepemimpinan Pas dan tidak disembelih sebagai kambing korban. Atau seperti yang kerap berlaku, dia akan mengundur dan mengatakan dia menghormati keputusan kepemimpinan.

Bolehkah Dr Hassan berpatah balik setengah membuat ikrar terbuka bahawa dia tidak akan menyerah kepada ancaman, akan terus berjuang untuk Islam dan bersedia menghadapi apa jua tindakan oleh kepemimpinan atasan, termasuk dilucutkan jawatan?

Kesimpulannya, walaupun isu penjualan bir oleh kedai runcit yang melagakan Pas dan DAP ini nampak kecil, namun apa yang tersirat adalah cukup besar dan fundamental.

Di pihaknya, Dr Hassan menggunakan agama Islam sebagai alasan dan landasan. DAP dan PKR pula menggunakan hak (rights) iaitu kebebasan orang bukan Islam berniaga arak dan minum arak.

Jadi kita tunggu yang mana akan muncul sebagai keutamaan – pertimbangan Islam atau hak dan kebebasan orang bukan Islam berniaga arak dan minum arak di mana-mana saja?
Posted by A KADIR JASIN at 6:07 PM 0 comments

No comments: