Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Monday, August 24, 2009

Nostalgia Bulan Puasa Di Desa
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAMBIL menanti waktu berbuka puasa, teringat saya kepada bulan puasa ketika kanak-kanak dulu.

Bagi pembaca dan pembahas yang segenerasi dengan saya atau yang 10 hingga 15 tahun lebih muda dan berasal dari kampung tentu masih ingat keistimewaan bulan puasa.

Mula-mula sekali debaran menunggu pengumuman puasa. Waktu itu kalau tengok anak bulan, memang tengok betul-betul. Kalau tak nampak anak bulan Ramadan, tak mula puasa.

Di pedalaman Kedah bukan mudah hendak dapat berita fasal tidak ramai orang ada radio. Salah satu kaedah menghebahkan puasa dan waktu puasa adalah dengan tembakan meriam di Alor Star.

Kerana waktu itu belum banyak kenderaan dan tidak hingar bingar macam sekarang, bunyi letupan meriam di Alor Star boleh didengar berpuluh kilometer jauhnya, apatah lagi kalau waktu air pasang besar.

Ada kalanya lain kampung lain hari permulaan puasa dan hari raya akibat tidak dapat berita atau kerana “fatwa” tok guru tempatan. Ada yang ditangkap Jabatan Agama Islam kerana tidak ikut arahan mula berpuasa dan beraya.

Waktu petang saya dan kawan-kawan seusia berbasikal berkilometer jauhnya untuk membeli air batu ketul yang paling murah. Kami berebut memilih ketul paling besar. Supaya lambat cair, ketul ais itu diseliputi habuk kayu atau sekam dan dibungkus dengan kertas surat khabar. Untuk lebih tahan, kami membalutnya pula dengan guni.

Waktu berbuka paling nikmat. Minum air serbat dan makan nasi serta kuih muih sampai perut menggelembung macam belon dan jatuh terlentang.

Lepas itu kalau ada tenaga atau disuruh ibu bapa, kami berbasikal ke masjid untuk solat isyak, tewarikh dan makan moreh.

Kalau hari cuti atau ketika cuti sekolah dan dibenarkan ibu bapa kita tinggal di masjid untuk pukul gendang raya bila sampai waktu bangun bersahur.

Apabila bulan puasa jatuh ketika musim menuai, maka ramailah petani yang membanting padi pada waktu malam di bawah cahaya bulan atau lampu “goslin” (gasoline) kerana siang terlalu panas dan kehausan berpuasa.

Lagipun berbuka puasa sangat meriah kerana adik berdik ramai. Bersama ayah dan emak, bilangan kami menjadi 10. Makan mesti berebut kalau ayah dan emak tak nampak. Masing-masing takut tak cukup.

Demikian nostalgia. Untuk semua Muslimin dan Muslimat selamat berbuka.
Posted by A KADIR JASIN at 7:22 PM 17 co

No comments: