Piagam Ekuinas Jamin Penyertaan Bumiputera
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) yang diperbadankan tiga hari lalu berharap dapat memulakan kegiatan membiayai penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi korporat dalam masa enam bulan dari sekarang.
Ekuinas yang berupa antara inisiatif ekonomi terpenting Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak adalah tabung ekuiti persendirian (private equity fund) yang bertujuan menjamin penyertaan Bumiputera secara sama rata, berterusan dan berkesan melalui operasi perniagaan yang telus dan mesra.
Secara tidak langsung tabung ini juga bertujuan mengimbangi pelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang menggugurkan syarat pemilikan Bumiputera dalam beberapa sektor ekonomi seperti diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Antara lain, kerajaan berharap dapat mewujudkan generasi baru usahawan Bumiputera yang memiliki dan mengurus syarikat mereka sendiri, sama ada syarikat persendirian atau pun syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tabung ekuiti persendirian ini adalah antara jawapan kepada ketirisan pemilikan Bumiputera di dalam sektor korporat dan untuk mewujudkan kapasiti modal serta pengurusan Bumiputera yang berdaya maju.
Hari ini, Ekuinas memperkenalkan dirinya kepada media massa melalui sebuah taklimat di Ibu Negara yang diketuai oleh Pengerusinya, Raja Arshad Raja Tun Uda. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Ahmad dan dua ahli lembaga pengarah iaitu Azman Yahya dan Mohamad Jawhar Hassan. Seorang lagi pengarah, adalah Noriyah Ahmad (Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM).
Pada 1 Julai lalu, Mohd Najib mengumumkan cadangan penubuhan Ekuinas dengan modal permulaan RM500 juta daripada kerajaan. Matlamatnya adalah menaikkan jumlah itu kepada RM10 bilion, termasuk modal persendirian. Ekuinas berharap 20 peratus daripada modalnya akan datang daripada pelabur persendirian.
Tidak seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bermatlamatkan pengagihan kekayaan korporat (melalui skim amanah saham), Ekuinas tidak mengagihkan kekayaan korporat.
Sebaliknya ia akan mewujudkan masyarakat korporat Bumiputera yang berdaya maju dan boleh bersaing dengan usahawan dan pemodal bukan Bumiputera dan pelabur asing. Dalam erti kata lain, matlamatnya adalah pembinaan kapasiti modal dan pengurusan Bumiputera dalam sektor korporat.
Sebarang unsur pengagihan kekayaan adalah dalam bentuk penyertaan terus Bumiputera dalam sektor itu. Selain membantu mereka melalui caruman modal, Ekuinas akan menjadi rakan kongsi cergas kepada usahawan Bumiputera yang terbabit.
Justeru itu, kejayaan Ekuinas bergantung kepada dua ciri utama. Pertama kemampuan mengenal pasti usahawan dan eksekutif Bumiputera yang berpotensi menjadi rakan kongsi yang berdaya maju. Kedua mengenal pasti projek dan kegiatan ekonomi yang boleh mereka sertai dengan pembiayaan dan bimbingan Ekuinas.
Tugas ini pastinya mencabar kerana modal yang dicadangkan bagi setiap satu projek atau kegiatan adalah besar – dalam lingkungan RM50 juta dengan prospek pulangan melebihi 10 peratus setahun dalam jangka masa tiga hingga tujuh tahun.
Bagi saya, frasa keramat dalam piagam Ekuinas ialah “menjamin penyertaan Bumiputera secara sama rata, berterusan dan berkesan melalui operasi perniagaan yang telus dan mesra.” Inilah ikrarnya kepada masyarakat usahawan Bumiputera khasnya dan Bumiputera amnya.
Posted by A KADIR JASIN at 2:19 PM 2 comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment