Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, December 08, 2009

Senator Zaid Ibrahim Saman Saya
A Kadir Jasin

[PERINGATAN KHAS -- Oleh sebab kes ini adalah kes mahkamah, maka saya tidak akan menyiarkan sebarang komen yang menyentuh atau memberi kesan (material) kepada saman Zaid itu. Dalam erti kata yang lain, hak sivil (civil liberty) kita semua yang mengambil bahagian dalam blog ini menjadi terhad akibat daripada saman itu.]

BUAT makluman pembaca dan pembahas sekalian, saya telah disaman oleh Senator Zaid bin Ibrahim di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Bahagian Sivil) kerana menulis rencana bertajuk “ Zaid, The Hurricane Hattie Of PR” yang disiarkan dalam blog ini pada 21 Oktober lalu.

Zaid yang juga seorang blogger mengemukakan saman itu di hadapan Yang Amat Arif Tan Sri Ariffin bin Zakaria, Hakim Besar Malaya pada 2 Disember lalu. Saman itu diserahkan kepada saya oleh peguamnya, Rueben Mathiavaranam dari firma guaman Rueben Williams Advocates & Solocitors hari ini, 7 Disember.

Zaid adalah bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan kini berupa salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Oleh sebab kes ini adalah kes mahkamah, maka saya tidak akan menyiarkan sebarang komen yang menyentuh atau memberi kesan (material) kepada saman Zaid itu. Dalam erti kata yang lain, hak sivil (civil liberty) kita semua yang mengambil bahagian dalam blog ini menjadi terhad akibat daripada saman itu. Jadi berhati-hatilah.

Dalam samannya, Zaid menuntut:-

1) Ganti rugi am kerana libel yang akan ditaksir;

2) Ganti rugi teruk kerana libel yang akan ditaksir;

3) Ganti rugi teladan kerana libel yang akan ditaksir;

4) Injunksi untuk menghalang Defendan sama ada beliau sendiri, pengkhidmatnya, ejennya atau selainnya walau bagaimana sekalipun daripada terus-menerus menyiarkan/menerbitkan dan/atau menyebabkan diterbitkan/disiarkan perkataan yang diadukan yang terkandung dalam rencana yang dipertikaikan itu atau apa-apa perkataan yang serupa yang memfitnah Plaintif;

5) Perintah yang mengarahkan Defendan menyiarkan/menerbitkan permintaan maaf dalam bentuk dan dengan cara yang diluluskan oleh Plaintif atau oleh Mahkamah Yang Mulia ini dan ia hendaklah disiarkan/diterbitkan sekali dalam akhbar kebangsaan pilihan Plaintif atas perbelanjaan Defendan;

6) Faedah di atas ganti rugi yang diawardkan dari tarikh penyiaran/penerbitan perkataan yang diadukan hingga ke tarikh penghakiman;

7) Faedah ke atas ganti rugi yang diawardkan dari tarikh penghakiman sehinggan ke tarikh penyelesaian penuh dan muktamad;

8) Kos; dan

9) Relief lanjut atau relief lain tertentu yang disifatkan patut dan wajar oleh Mahkamah Yang Mulia ini.

Saya telah pun meminta peguam saya bertindak ke atas saman itu.

Untuk makluman para pembaca dan pembahas juga, Zaid telah menjawab tulisan saya itu dalam blognya pada hari yang sama iaitu 21 Oktober dengan tajuk “Kalau Hati Dah Busuk.....”

Selain menganggap saya sebagai seorang yang berhati busuk dan penulis upahan, dia juga membuat beberapa tuduhan dan andaian mengenai saya dalam blognya itu.

Namun tidak sedikit pun terlintas di fikiran saya untuk menghalang atau menyekat kebebasan Zaid, apatah lagi mengambil tindakan undang-undang.

Sebagai seorang blogger, saya percaya kepada hak dan kebebasan bersuara. Malah saya bergembira jika beliau juga menjawab dan berbahas dalam blog saya. (Sekadar makluman, tulisan saya mengenai Zaid menarik 105 komen manakala blog Zaid mendapat 26 komen.)

Pada mulanya saya begitu gembira kerana daripada tulisannya, jelas Zaid tidak berasa gusar atau terancam dengan tulisan saya.

Beliau menutup rencananya dengan kenyataan berikut:

“Bagi saya, kalau PKR, PAS atau DAP yang mendakwa saya ini satu watak kartun dan seorang pengacau, maka saya perlu meneliti tuduhan tersebut. Tetapi kalau setakat penulis upahan UMNO yang membuat tuduhan, saya rasa saya masih lagi boleh tidur nyenyak. Lagi pun tak berapa syok nak melayan budak-budak upahan, terutamanya yang hati mereka dah terlalu busuk.”
Posted by A KADIR JASIN at 4:35 PM 24 comments

No comments: