Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Friday, April 02, 2010

Ada Lagi Yang Guna Telaga Dan Tandas Alam Semesta
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

CERITA malang seorang anggota Askar Wataniah mati tertimbus dalam perigi di Gaal, Pasir Putih, Kelantan semalam membawa balik ingatan saya ke zaman serba kekurangan di kampung pada tahun 1950an dan 1960an dulu.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, ramai orang kampung gali semula perigi buta atau buat telaga kerana bekalan air paip selalu putus dan tarif air naik. Emak saya pun masih mengekalkan telaga di belakang rumah walaupun airnya masam.

Askar yang mati itu namanya Mohd Amirul Abdul Razak, 21. Daripada usianya, bolehlah saya andaikan yang dia bukanlah daripada generasi yang pakar hal gali dan timbus telaga.

Jadi, mungkin inilah juga sebab dia mati tertimbus ketika menolong dua orang lain iaitu Mohd Firdaus Che Ishak, 19, and Hussin Sultan, 25, menggali perigi. Generasi mereka bukan generasi penggali atau penyelenggara telaga macam generasi saya.

Generasi saya pakar gali telaga. Mandi pagi-pagi buta di telaga. Angkut air dari telaga. Waktu hendak bersunat, kita berendam dalam telaga berjam-jam lamanya supaya kecut dan kebas. Dengan itu, konon-kononnya taklah sakit sangat bila dikhatankan.

Masa saya budak-budak dan remaja, menggali dan menjaga telaga adalah tugas kolektif yang wajib dilakukan setiap tahun pada musim kemarau.

Ada dua sebab kita korek atau pulihara telaga pada musim kemarau. Pertama, tanah kering jadi lebih mudah digali. Kedua, pada musim itulah kita perlu telaga yang lebih dalam sebab aras air bumi (water table) jatuh ke bawah. Kita kena dalamkan telaga sampai berjumpa mata air.

Ini kerja sukar dan boleh bawa maut kalau tidak pakar. Telaga boleh terkambus menimbus kita. Apatah lagi telaga di kampung digali dalam tanah liat atau lumpur.

Hanya orang berada saja yang akan perkuat tebing telaga dengan kalbat (calvert) atau di Utara lebih dikenali sebagai kok.

Bagi telaga yang sedia ada dan tidak masam airnya, kita gali semula setiap tahun untuk membuang lumpur, lanyau dan sampah sarap.

Kalau di Kedah, musim kemarau memang seksa. Kering kontang. Orang Kedah kata kering kong sampai empat atau lima bulan. Kena turun ke sungai lebih empat kilometer pergi balik untuk mandi, mencuci, mengangkut air dan memberi minum kerbau, lembu dan kambing.

Silap-silap air sungai pula payau atau masin kerana dimasuki air laut waktu pasang besar. Ada tahun ikan air payau macam siakap masuk sungai. Durian runtuh. Orang Utara kata raya Hindu.
Waktu itulah nak ke tandas cukuplah susah. Nak solat susah. Nak bercucuk taman langsung tak boleh. Yang boleh hanyalah main wau (layang-layang) dan main bola dalam bendang.

Banyak kerbau lembu mati kebuluran atau terperangkap dalam yoi. Yoi, kelebur dan lanyau adakah peringkat-peringkat lumpur mengikut kepekatannya (viscosity). Yoi sama hebat dengan pasir mendap (quicksand).

Nasib baik waktu itu ada banyak burung ereng/eriang (vultures) yang makan bangkai. Sekarang burung makan bangkai tu dah tak ada sebab dah tak banyak kerbau lembu yang dipelihara. Sekarang semua guna mesin.

Masa itu tandas curah dan tandas simbah belum ada. Hanya pada tahun 1960an dan 1970an baru diperkenalkan di bawah Rancangan Kesihatan Luar Bandar. Buat tandas curah pun dapat bantuan kerajaan.

Sebelum itu kita guna tandas alam semula jadi macam di tebing sungai, atas jambatan buluh, dalam belukar atau rumpun mengkuang. Mungkin tidak bersih tapi mesra alam (eco-friendly) sebab kita berkongsi lokasi dengan kura-kura, tuntung, ikan seluang dan “temekong”, ayam dan agen-agen kitar semula yang lain.

Yang susah wanita dan anak dara sebab ramai kaki mengendap yang ambil kesempatan. Tapi bila mandi di sungai, kita tidak kisah sangat jantina. Wanita mandi atas pelantar dan tangga di tebing sungai, lelaki mandi dalam sungai, atas sampan atau bergayut di batang nipah hanyut.

Sekarang kalau kita cerita pengalaman macam ini kepada anak cucu kita, mereka ternganga atau mereka kata “boring” (membosankan). Bekalan air putus sehari macam nak kiamat satu dunia.

Tapi kalau bukan semua tempat dah tak guna telaga dan sungai. Banyak lagi kawasan pedalaman dan miskin, khasnya di Sarawak dan Sabah, yang belum ada air paip, elektrik dan tandas moden. Mereka masih guna perigi, sungai, pelita minyak tanah dan tandas berpindah dalam semak.

Harap-harap Model Ekonomi Baru tidak melupa dan meminggirkan mereka!
Posted by A KADIR JASIN at 3:04 PM 6 comments

No comments: