A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
DALAM kita mengkritik dan mempertikaikan kepemimpinan politik Melayu-Bumiputera, kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa semua aspek kepemimpinan Melayu-Bumiputera gagal.
Sebaliknya kerana kepemimpinan yang diterajui oleh Melayulah, Malaysia muncul sebagai salah sebuah daripada sebilangan kecil negara bekas tanah jajahan yang berjaya.
Walaupun kita terus berbalah dan mempertikaikan hak satu sama lain, Malaysia sebenarnya sebuah oasis di tengah-tengah dunia yang bergolak.
Lihat saja penaklukan Amerika di Iraq, peperangan di Afghanistan, keganasan di India, tunjuk perasaan yang melumpuhkan kerajaan di Thailand, penindasan politik di Myanmar dan peperangan kaum di Afrika.
Bukan semua pembesar politik, pentadbir awam, polis dan tentera, cendekiawan, usahawan dan pengurus korporat Melayu hambar, korup dan tidak bertanggungjawab.
Tidak sama sekali. Tetapi oleh sebab orang Melayu ramai dan menerajui bidang-bidang ini, maka seekor dua kerbau yang membawa lumpur maka habis semua terpalit.
Apatah lagi media massa yang dimiliki atau diterajui oleh orang Melayu sendiri sangat gemar memburuk-burukkan bangsa sendiri dengan cerita-cerita sensasi mereka.
Kalau melalui blog ini, saya mengkritik kepemimpinan Melayu yang korup dan hambar, tujuannya adalah agar setitik dua nila yang meleleh itu tidak merosakkan susu sebelanga.
Realitinya, negara bernama Malaysia ini tidak akan terjamin kelangsungannya jika peranan Melayu-Bumiputera yang berupa 60 peratus daripada warganegaranya tidak dimantapkan daripada segala aspek – politik, ekonomi, akidah dan guna tenaga.
Misalnya, sesiapa pun boleh membuat tuduhan terhadap perkhidmatan awam, polis dan tentera, tetapi hakikatnya tanpa orang Melayu yang sedia berkorban, bidang-bidang ini tidak akan terisi.
Kaum-kaum lain boleh membuat pelbagai tuduhan dan memberi pelbagai alasan, tetapi hakikatnya majoriti mereka tidak berminat menyertai perkhidmatan awam, polis dan tentera kerana gaji yang rendah, terpaksa menurut perintah dan berpindah randah.
Orang Melayu pun begitu. Yang berpelajaran tinggi, dwi- atau multi-bahasa dan berkelulusan profesional tidak lagi berminat menyertai perkhidmatan awam, polis dan tentera.
Mereka lebih suka menyertai sektor swasta atau bekerja sendiri. Melalui blog ini sahaja, saya mendapati begitu ramai profesional Melayu yang bekerja dengan syarikat multinasional raksasa di merata dunia.
Melayu sudah menjadi warganegara global dari aspek ekonomi dan bercempera (diaspora). Orang Melayu sudah mula merantau (membangsat, menurut loghat Utara) untuk tujuan ekonomi dan sosial.
(Dengan izin, semua tiga orang anak saya yang dewasa belajar di luar negara – dengan belanja sendiri). Seorang kini menetap di Switzerland. Dua di Malaysia. Seorang menjual insurans bagi pihak syarikat milik Cina. Seorang bekerja dengan syarikat multinasional Amerika. Dalam erti kata yang lain, mereka mempunyai mobiliti global. Dua yang kecil belajar di sekolah kebangsaan.)
Tetapi kita kena ingat. Majoriti orang Melayu-Bumiputera masih memerlukan bimbingan dan bantuan kerajaan. Begitu juga dengan sebilangan orang Cina dan India yang tercicir.
Jadi kepemimpinan Melayu yang cekap, bersih dan amanah adalah kemestian bagi menjamin kesejahteraan semua kaum dan bangsa di negara kita ini, tidak kira si kaya atau si papa.
Dalam konteks ini, saya sangat gembira menyaksikan kejayaan berterusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan skim-skim saham amanah yang dilancarkannya sejak tahun 1981.
Saya mohon maaf kalau saya emosional mengenai PNB dan skim saham amanahnya kerana sejak 1981 lagi saya membuat liputan dan menjejaki perkembangan agensi amanah Bumiputera ini.
Utusan Malaysia 28 November melaporkan 490 juta unit tambahan Amanah Saham Wawasan 2020 untuk bukan Bumiputera habis dijual dalam tempoh enam jam 10 minit. Unit-unit berkenaan dibeli oleh 70,713 pelabur bukan Bumiputera membabitkan 27,479 pelabur baru.
Sokongan kuat pelabur bukan Bumiputera itu adalah undi percaya kepada PNB, khasnya dan kepada pengurusan Melayu-Bumiputera, amnya.
Memang kita akui bahawa pada tahun 1981, PNB memperoleh pelbagai saham yang dipegang oleh kerajaan bagi pihak Bumiputera pada harga kos (harga pembelian).
Dengan saham-saham itulah PNB melancarkan skim saham amanah yang pertama, iaitu Amanah Saham Nasional pada tahun 1981. ASN kemudian ditukar menjadi Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Selepas itu, PNB terpaksa membuat pelaburan baru, sama ada secara terus atau melalui Bursa Malaysia, dan bersaing di pasaran terbuka untuk memperbesar dan memperkukuhkan portfolio pelaburannya.
Peneraju asal PNB seperti Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Ismail Mohd Ali, Tan Sri Mohd Desa Pachi dan Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim perlu diingati dan diberi penghormatan kerana melatih begitu ramai pengurus korporat dan pelaburan Bumiputera.
PNB membuktikan secara sahih dan mutlak bahawa melalui kepemimpinan yang berwibawa dan berintegriti, Bumiputera boleh dilatih menjadi pengurus yang berjaya.
Sebab itulah banyak pihak yang kebelakangan ini menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan campur tangan politik dan pihak luar dalam urusan PNB.
Ini termasuklah penggabungan tiga buah syarikat perladangan milik PNB, iaitu Sime Darby Berhad, Guthrie Corporation Berhad dan Golden Hope Plantations Berhad – di bawah panji-panji Synergy Drive milik CIMB Bank pada tahun 2006.
Umum tahu bahawa penggabungan itu “dipaksakan” ke atas PNB. Cadangan penggabungan ini pernah dikemukakan oleh seorang penggerak pasaran saham berketurunan Cina pada era Dr Mahathir, tetapi ditolak kerana Dr Mahathir tidak mahu aset PNB disentuh.
Kebimbangan ini terbukti berasas apabila Malayan Banking Berhad, sebuah lagi syarikat milik PNB membuat pelaburan busuk (bad investment) dengan membeli Bank Internasional Indonesia (BII) pada harga empat kali nilai buku.
Pada pandangan saya, antara tugas dan amanah paling berat yang dipikul oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak ialah menjamin aset PNB dan agensi amanah lain seperti Khazanah Nasional, Felda, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak digugat apatah lagi dirompak oleh penyangak korporat.
Sekiranya ini terjadi, Mohd Najib akan dicap sebagai pengkhianat bangsa dan anak derhaka kerana kewujudan agensi-agensi ini adalah legasi bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
14 comments

No comments:
Post a Comment