Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, July 21, 2009

Kes Teoh: Ujian Integriti dan Kewibawaan
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SATU ciri yang menghubung-kaitkan majoriti pembahas blog ini adalah dakwaan bahawa saudara dan saudari matang dan bersifat toleransi.

Itulah ungkapan yang kerap saudara dan saudari gunakan apabila mengkritik sesuatu pihak, khasnya kerajaan, dalam blog ini. Tetapi maaf cakap, pada masa yang sama hujah sesetengah saudara dan saudari menampakkan ketidakmatangan dan kurangnya sifat toleransi.

Saya sangat dukacita apabila ada pembahas yang menghantar komen ke tampalan yang lalu mengutuk saya kerana tidak menulis mengenai kematian Teoh Beng Hock, 30 tahun, pembantu kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Teoh ditemui mati Khamis lalu di atas bumbung tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam setelah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia berkaitan penyiasatan salah guna kuasa ke atas beberapa orang Adun kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Ada beberapa orang yang memanggil saya bodoh, penakut dan kaki ampu kerana tidak menulis mengenai peristiwa itu. Saya tidak menyiarkannya. Pembahas yang sama kerap menggunakan ungkapan seperti kematangan, toleransi, keadilan dan kebebasan apabila menghantar komen ke blog ini.

Inilah pekerti dan tindak tanduk yang menyebabkan dunia siber Malaysia masih hambar dan dicurigai walaupun mempunyai peserta yang semakin ramai. Tidak hairanlah jika media baru ini sering dituduh menabur fitnah dan berdusta.

Memandangkan sikap, sifat dan akhlak yang negatif ini, saya terpaksa terus menolak komen-komen yang tidak menepati syarat yang saya sebutkan di permulaan setiap tampalan.

Tindakan tergesa-gesa membuat kesimpulan, mencipta teori konspirasi yang bukan-bukan dan menghukum tanpa penyiasatan dan perbicaraan bukanlah cara orang yang matang, adil dan toleransi.

Manusia akan terus jatuh ke bumi selagi ada tempat tinggi dan graviti seperti durian yang jatuh ke bumi dan tupai yang memakannya juga jatuh ke bumi. Hatta unggas yang terbang bebas itu pun akan jatuh juga ke bumi kalau tidak mengepakkan sayapnya.

Kita hanya boleh membuat andaian berasaskan apa yang kita tahu. Misalnya, kita dimaklumkan oleh media massa yang mendiang Teoh bukanlah orang yang disiasat. Dia adalah saksi dalam penyiasatan.

Tetapi saya boleh bayangkan tekanan yang dilaluinya kerana sebagai wartawan dan pengarang saya pernah beberapa kali disoal-siasat bagi membantu penyiasatan polis dan sekali bagi membantu penyiasatan Badan Pencegah Rasuah. Berpeluh!

Walaupun kita bukan matlamat penyiasatan dan bukan orang yang disyaki, namun beban menyatakan kebenaran adalah berat dan menakutkan. Apatah lagi kepada seorang muda yang belum banyak merasa asam garam kehidupan tetapi memikul tugas berat yang turut membabitkan wang ringgit.

Dalam kes penyiasatan BPR (kini SPRM) itu, saya disoal-siasat lebih daripada 10 jam. Ia berkaitan sumpah berkanun (statutory declaration) bekas seorang pegawai Bank Negara yang membabitkan seorang bekas anggota kabinet. Ini berlaku pada tahun 2000 dan 2001.

Seperti pernah saya ceritakan, prosesnya sangat teliti dan pada masa yang sama menggerunkan kerana ia membabitkan seorang yang berkuasa.

Mula-mula sekali kita terpaksa mengangkat sumpah mengatakan keterangan yang akan kita berikan adalah benar dan adalah kesalahan memberi maklumat yang tidak benar.

Kemudian kita akan disoal berulang kali mengenai hal yang sama. Pada setiap pertemuan, soalan yang sama akan diulang dan soalan baru dikemukakan.

Selepas selesai setiap siri penyiasatan, kita diminta membaca catatan pegawai penyiasat, membuat pembetulan dan menandatangani setiap halaman.

Penyiasatan boleh berjalan berjam-jam lamanya. Kita berhenti hanya untuk makan (selalunya nasi bungkus dan makan bersama pegawai penyiasat) dan, bagi orang Islam, untuk solat.

Bagi orang yang disoal-siasat ia tentulah amat membebankan walaupun pegawai penyiasat itu baik dan bersopan. Pegawai yang menyoal-siasat saya sangat baik dan bersopan santun. Dia berulang kali memohon maaf dan berkata dia sekadar menjalankan tugas.

Kita akan diminta mengemukakan pelbagai bukti, dokumen dan membuat deklarasi harta. Saya terpaksa mengisytiharkan aset saya untuk tempoh masa tertentu termasuk akaun bank, rumah dan pelaburan amanah. Hatta kereta Toyota Corolla terpakai yang saya beli untuk kegunaan anak-anak saya pun terpaksa diisytiharkan.

Masalah kita sekarang adalah masalah keyakinan, kewibawaan dan integriti. Kewibawaan dan integriti badan-badan penguatkuasaan, termasuklah polis dan SPRM, terus dipertikaikan.

Kita tidak boleh salahkan orang ramai sekiranya persepsi negatif ini berpunca daripada kegagalan pemerintah sendiri menunaikan janji menambah baik operasi dan pengurusan agensi-agensi berkenaan.

Misalnya, kita masih menunggu-nunggu penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) yang dijanjikan oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pada tahun 2006.

Integriti SPRM pula akan terus dipertikai selagi kes-kes sensasi yang diuar-uarkan akan dibicarakan pada era Abdullah terus disenyapkan dan kes-kes baru membabitkan politik wang ketika pemilihan Umno awal tahun ini didiamkan.

Inilah antara punca kerajaan dituduh melakukan pertuduhan berpilih (selective prosecution). Misalnya, daripada banyak kes ikan jerung yang diuar-uarkan pada awal pentadbiran Abdullah itu, hanya dua dibawa ke mahkamah. Satu masih berjalan sementara satu lagi dibuang kes.

Kesimpulannya, apa pun hasil penyiasatan mengenai kematian Teoh ianya tidak akan memuaskan semua pihak dan tidak akan mengatasi masalah persepsi negatif selagi janji-janji memerangi rasuah tidak dibuktikan dengan jelas, telus dan saksama.

Apatah lagi, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sendiri, dalam ucapan perayaan 100 hari pemerintahannya pada 11 Julai lalu, telah berjanji untuk memerangi jenayah dan rasuah habis-habisan.

NOTA Kaki: Terima kasih kepada para “followers”. Kini bilangan pengikut sudah mencapai 600. Saya harap para “followers” akan saling lawat melawati blog satu sama lain dan sentiasa bersopan santun.
Posted by A KADIR JASIN at 4:35 PM 65 comments

No comments: