Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Monday, May 10, 2010

Kemungkinan Kesan Negatif Krisis Istana Kelantan
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KRISIS yang melanda Istana Kelantan menang sensasi, sedap dibaca dan hangat dibahaskan di kedai kopi.

Oleh kerana cerita mengenainya sudah melambak dalam media massa, maka tidak perlulah saya mengulanginya.

Lagipun, kita wajib berhati-hati apabila bercakap mengenai institusi raja kerana banyak implikasi undang-undang, adat resam dan tatatertib yang perlu dihormati.

Jadi, saya memohon para pembahas agar berhati-hati apabila memberi pendapat.

Namun ia tidak menghalang kita bertanya, adakah kemelut Istana Kelantan ini baik untuk institusi raja?

Nasib baiklah, institusi raja kita termaktub dalam Perlembagaan dan Raja-Raja kita adalah Raja-Raja berperlembagaan (Constitutional Monarchs).

Saya takut hendak bayangkan apakah yang akan terjadi sekiranya Raja-Raja kita adalah Raja-Raja berkuasa mutlak (absolute monarchy).

Sejarah, legenda dan mitos Melayu menceritakan kisah Raja-Raja berkuasa mutlak yang bijaksana, adil dan disayangi rakyat jelata.

Tetapi sejarah, legenda dan mitos juga menceritakan tentang Raja-Raja yang kejam dan dibenci kerana berahikan isteri orang, merampas harta rakyat jelata dan menghukum sesuka hati.

Tidak kurang pula yang menggadai harta dan wilayah negeri, menyerah kuasa kepada penjajah dan meminta campur tangan luar dalam pergaduhan istana.

Kita bernasib baik kerana nasionalisme Melayu yang tercetus akibat cadangan Malayan Union pada tahun 1945 menyedarkan orang Melayu mengenai kepentingan melindungi institusi raja.

Perwakilan Umno dan Raja-Raja Melayu bersetuju bahawa institusi raja dipertahankan dan ditentukan kuasanya oleh Perlembagaan.

Maka lahirlah institusi raja berperlembagaan apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Namun, Raja-Raja Melayu dan kerabat mereka mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar, terutamanya kerana mereka diberikan kekebalan daripada pertuduhan (immunity from prosecution) oleh Perlembagaan. Sekali sekala kekebalan ini disalahgunakan.

Bagaimanapun, kecacatan ini diperbaiki pada tahun 1993 apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengehadkan kekebalan Raja-Raja kepada tugas-tugas rasmi sahaja.

Sejak itu, Raja-Raja atau kerabat mereka boleh dibicarakan atas kes jenayah dan sivil oleh Mahkamah Khas.

Inilah yang sedang dipohon oleh Sultan Kelantan apabila Baginda memfailkan permohonan Habeas Corpus bagi mendapatkan perintah Mahkamah Khas membenarkan Baginda dibawa keluar dari Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Habeas Corpus atau dalam bahasa Latin “kamu akan memiliki tubuh badan” (You (shall) have the body”) adalah saluran undang-undang yang memungkinkan seseorang yang ditahan meminta dibebaskan atas alasan penahanannya tidak sah.

Apa pun, kita berharap krisis Istana Kelantan ini tidak akan merebak atau berterusan terlalu lama.

Sekiranya keadaan menjadi lebih runcing, adalah dikhuatiri kedudukan Istana Kelantan akan menjadi lemah sehingga menjejaskan pentadbiran negeri dan taat setia rakyat.

Walaupun Raja-Raja Melayu tidak mempunyai kuasa mutlak, namun institusi raja memainkan peranan penting sebagai pelindung agama Islam, simbol keistimewaan orang Melayu dan tempat tumpuan taat setia rakyat jelata.

Jadi wajiblah Istana menunjukkan contoh dan teladan yang baik.
Posted by A KADIR JASIN at 8:19 PM 13 comments

No comments: