Tragik Bila Ibu Bapa Abaikan Tanggungjawab
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
KITA diminta bersimpati. Tetapi kita juga diajar jangan terlalu emosi. Kita kena faham pokok dan pangkal, baru kita menjadi orang berakal.
Mati di jalan raya itu bukan tragedi. Mati minum Paraquat pun bukan tragedi. Ia sekadar kematian yang menyedihkan. “Tragic” dalam bahasa Inggeris. Tragis kata bahasa Indonesia yang kita guna pakai.
Tragedi, dalam pengertian asalnya adalah drama atau sandiwara yang kesudahannya menyayat hati umpama Uda dan Dara, Romeo dan Juliet. Peristiwa yang menyedihkan tidak semestinya tragedi. Ia boleh menjadi komedi.
Mati berlanggar di jalan kerana menandu tanpa lesen atau ditambah polis kerana enggan berhenti bukan tragedi. Ia sekadar “tragic” – menyedihkan atau menghibakan.
Tetapi apa nak buat. Banyak istilah asing apabila diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau diserapkan ke dalam bahasa Melayu, lain pula maksud dan pengertian yang diberikannya.
Saya pun tidak faham, malah naik sasau apabila perkataan “ori” khabarnya diterima pakai oleh DBP bagi membawa erti asli atau original. Emotional atau emosi sudah jadi “emo”.
Bahasa Inggeris, sepanjang pengetahuan saya, tidak pula menyingkatkan original menjadi ori atau emotional menjadi emo. Yang guna ori dan emo ni remaja. Tetapi orang tua pun sudah terikut-ikut.
Satu Malaysia yang guna bahasa Melayu. Itu kata Perlembagaanlah. Tetapi kerana terbawa-bawa dengan bahasa Inggeris, maka kecewa disangka “frust”. Jadi ramailah kerana “frust” lantas bunuh diri, mengambil madat, lari dari rumah dan macam-macam lagi.
Lulusan universiti pun sangka “frust” itu adalah perkataan Inggeris untuk kecewa atau hampa. Jadi bila saya beri mereka kamus Oxford dan suruh mereka cari perkataan “frust”, mereka terpinga-pinga kerana tidak ada. Istilah sebenar Inggeris adalah “frustration”.
Jadi, budak 15 tahun mati ditembak polis ketika memandu dan enggan berhenti sekatan buka tragedi. Ia kejadian “tragic” (menyedihkan) yang tidak sepatutnya berlaku kerana BUDAK 15 TAHUN TIDAK LAYAK MEMANDU KENDERAAN BERMOTOR.
Yang menjadi tragedi ialah apabila sebahagian besar masyarakat tidak menyoal bagaimana Aminulrasyid Amzah yang berumur 15 tahun boleh bawa kereta sebaliknya bulat-bulat menyalahkan polis.
Sedangkan soalan yang wajib ditanya dan dijawab ialah siapa yang mengajarnya memandu kereta sedangkan undang-undang berkata umur minimum memandu kereta adalah 17 tahun (Lesen Memandu D) dan motosikal 16 tahun (lesen B2 -250 kuasa kuda).
Soal dia “pinjam” kereta kakaknya adalah perkara kedua yang tidak akan timbul kalau tidak ada persoalan pertama iaitu siapa yang mengejarnya memandu kereta sedangkan dia di bawah umur.
Kita boleh salahkan polis kerana “trigger happy”. Itu Ketua Polis Negara, Musa Hassan, wajib siasat dan wajib jawab kerana memang ada kecenderungan di kalangan sesetengah anggota polis menggunakan kekerasan.
Tetapi nak salahkan polis bulat-bulat pun tak kena. Kerap juga anggota polis yang membuat sekatan jalan raya, mengawal lalu lintas atau meronda dirempoh sampai mati oleh penjenayah dan oleh pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.
Bayangkan, apa pula pendirian kita kalau budak-budak bawah umur ini membawa kereta dan berlanggar dengan orang yang ada lesen di jalan raya sampai mati atau cedera parah?
Hanya orang yang ada lesen yang sah sahaja dibenarkan oleh undang-undang untuk memandu kenderaan bermotor. Budak 15 tahun tidak dibenarkan kerana dia belum berhak memiliki lesen memandu.
Saya pun ada anak. Sejak mereka lahir saya sudah ada kereta. Tiga daripada mereka sudah ada lesen dan seorang sedang belajar dengan sekolah memandu.
Sebelum mereka belajar dengan sekolah memandu dan lulus ujian memandu, saya tidak benarkan mereka menyentuh stereng – tak kira kereta saya atau kereta orang lain.
Saya tidak benarkan mereka memandu jauh-jauh atau lewat malam sehinggalah mereka cukup cekap. Sebenarnya tidaklah susah sangat nak disiplinkan anak-anak demi keselamatan kalau ibu bapa ada akal dan ada disiplin.
Justeru itu, saya susah sikit hendak bersimpati dengan orang yang sayangkan anak sampai abaikan undang-undang dan keselamatan.
Dan terlanjur Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengarahkan agar tidak ada apa-apa disembunyikan dalam siasatan kematian Aminulrasyid Amzah, pihak terbabit perlu siasat siapa yang mengajar dia memandu, kenapa begitu mudah membiarkan anak-anak melanggar undang-undang dan membenarkan remaja keluar rumah lewat malam.
Sambil-sambil itu, cuba buat pemeriksaan di sekolah-sekolah menengah takut-takut ramai lagi budak 15 tahun bawa kereta atau tunggang motosikal.
Posted by A KADIR JASIN at 8:46 AM 55 comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment