Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Wednesday, May 12, 2010

Royal Belum Selama-Lamanya
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KOMPLEKS rimba Belum di utara Perak mempunyai dua komponen iaitu Hutan Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor dengan keluasan 300,000 hektar atau hampir empat kali keluasan Singapura. Di tengah-tengahnya terletak Tasik Temengor yang diwujudkan oleh pembinaan empangan elektrik hidro TNB pada tahun 1975.

Keluasan Royal Belum yang terletak di utara Lebuh Raya Timur-Barat adalah 117,500 hektar. Di sini kegiatan membalak tidak lagi dibenarkan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak. Royal Belum diwartakan sebagai Hutan Negeri pada bulan Mei, 2007.

Saya terbabit dengan projek ini apabila akhbar New Straits Times pada tahun 1990an melalui projek Alam Sekitar dan Projek Sekolah Dalam Taman mempromosi idea menjadikan Hutan Belum sebagai warisan yang kekal ke akhir zaman.

Bersama Ahmad A Talib (blogger Pahit Manis) dan Ketua Unit Pendidikan NST waktu itu, mendiang John Pillai, kami membuat kempen kesedaran. Kami berjumpa pembesar Perak bagi “menjual” idea itu.

Secara peribadi, saya terhutang budi kepada dua bekas Menteri Besar Perak – Ramli Ngah Talib dan Mohd Tajol Rosli Ghazali – kerana menyokong idea itu.

Ahmad dan saya juga terbabit dengan pembangunan Pulau Banding oleh Kumpulan Emkay dalam kapasiti kami sebagai ahli kumpulan pakar yang memberi nasihat mengenai pelbagai aspek projek swasta itu.

Royal Belum pasti tidak menjadi kenyataan tanpa komitmen Ramli dan Tajol serta Menteri-Menteri Besar selepas mereka iaitu Mohd Nizar Jamaluddin dan kini Zambry Abdul Kadir.

Pemandangan waktu pagi di Royal Belum.

Pembabitan cergas serta proaktif badan-badan bukan kerajaan seperti Malaysian Nature Society (MNS), World Wildlife Fund (WWF), para penyelidik, pencinta alam semula jadi dan terulung sekali Baginda Sultan Perak, Raja Azlan Shah yang menganugerahkan taraf di-raja kepada Royal Belum. Merekalah yang menjadi penggerak dan penentu kewujudan projek warisan (heritage project) ini.

Jadi tidak hairanlah jika Zamby memandang serius dan memberi perhatian mikro kepada projek sosio-ekonomi yang berlandaskan ekologi dan alam sekitar yang sangat unik ini.

Pada 9 dan 10 Mei, Zambry mengetuai ekspedisi dua hari satu malam yang membabitkan wartawan, blogger, jurukamera, jurugambar, wakil-wakil MNS dan WWF, agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, wakil-wakil masyarakat Orang Asli dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temengor.

Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor adalah antara rimba hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya kepelbagaiannya yang masih kekal di Planet Biru kita ini. Ia dianggarkan berusia 130 juta tahun.

Zambry bermesra dengan kanak-kanak Orang Asli
Destinasi Mutakhir Pencinta Alam

DENGAN ciri-ciri yang luar biasa ini, kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap persada pertapaan dan pengembaraan mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.

Jadi, pada pandangan saya, setelah tiga kali melayari Tasik Temengor dan masuk ke hutan Royal Belum-Temengor, ia bukanlah destinasi anda jika anda tergolong dalam kategori berikut:

1. Memerlukan tilam empuk, tidak boleh lekang daripada TV flat screen dan bilik tidur berhawa dingin;

2. Tidak gemarkan hutan belantara dengan flora dan faunanya (disebut fona bukan fau-na) yang termasuk pacat, pelbagai macam serangga dan haiwan liar;

3. Takut kepada kegelapan dan bunyi-bunyi rimba yang pelbagai dan penuh mistik; dan

4. Kurang disiplin diri, suka membuat kotor, merokok di mana-mana saja dan gemar berkaraoke hingga awal pagi.

Pendek kata, kalau tuan dan puan bukan jenis yang sukakan alam semesta, kurang tahan lasak dan takut pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pilihan anda.

Tetapi kepada sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi, kompleks rimba Royal Belum-Temengor adalah antara destinasi mutakhir yang wajib dilawati.

Ekologi Yang Sensitif

HUTAN rimba hujan tropika adalah sistem ekologi dan kepelbagaian biologi (bio-diversity) yang sangat menakjubkan, tetapi amat sensitif kepada pencerobohan luar, sama ada oleh manusia atau flora dan fauna dari luar.

Tumbuh-tumbuhan (flora) dan hidupan (fauna) dari luar boleh membinasakan flora dan fauna asal. Inilah yang sangat ditakuti oleh MNS, WWF, ahli sains, agensi-agensi penguat kuasa dan aktivis alam sekitar.

Saya dimaklumkan oleh seorang pemandu pelancong bahawa ada bukti bahawa ikan tilapia telah dilepaskan atau terlepas ke dalam Tasik Temengor.

Ikan tilapia, sebagai ikan jenis yang menetaskan akan dalam mulut (mouth breeder) boleh membiak dengan pantas dan bersifat omnivorous iaitu makan daging dan tumbuh-tumbuhan.

Ciri-ciri ini menyebabkan ikan seperti tilapia menjadi ancaman kepada ikan residen seperti kelah, temoleh, sebarau, tengas dan jelawat.

Tanpa ancaman spesis yang diperkenalkan (introduced species) seperti tilapia, ikan-ikan air tawar dan air jernih seperti disebutkan di atas sudah pun terancam, malah mungkin pupus tanpa kawalan dan restocking, akibat tangkapan berlebihan.

Saya dimaklumkan ada peniaga luar yang secara diam-diam dan haram mengupah Orang Asli menjala dan memukat ikan-ikan ini kerana harganya yang sangat tinggi.

Antara projek perintis yang sedang dilakukan adalah menangkap, membiak dan melepaskan anak-anak ikan daripada spesis yang terancam ini serta menggalakkan pemancing rekreasi mengamalkan kaedah tangkap dan lepas (catch and release).

ealitinya, haiwan paling gagah dan paling banyak makan seperti gajah dan seladang tidak akan memusnahkan Royal Belum.

Tetapi saya sangat bimbang dan amat dukacita apabila ada ahli ekspedisi sendiri merokok ketika hiking dan membuang sisa plastik di merata tempat.

Api boleh memusnahkan khazanah alam pemberian Allah ini dalam sekelip masa manakala sisa plastik tidak akan hancur hingga beratus tahun.

Jadi saya cadangkan agar kompleks Royal Belum-Temengor diisytiharkan “zon bebas rokok dan plastik” serta bilangan pelawat dihadkan kepada bilangan yang boleh ditampung oleh alam semula jadi.

Lentuk Buluh Dari Rebung

BANYAK buluh dalam rimba Royal Belum. Saya cadangkan marilah kita melentur buluh dari rebungnya dengan menggesa agar ditubuhkan Briged Remaja Rakan Belum.

Anggota generasi muda inilah, khasnya di kalangan orang Asli yang mendiami bio-sfera Royal Belum-Temengor, akan mewarisi rimba belantara warisan sejagat ini.

Wajah pewaris rimba.
Justeru itu, usaha menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang saham (stakeholder) utama Royal Belum amat dialu-alukan.

Blogger dengan keluarga Orang Asli.
Sambil mempelbagaikan sumber pendapatan, Orang Asli yang arif mengenai hutan belantara boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, khasnya kepada agensi-agensi penguatkuasaan, dalam usaha menghalang pencerobahan luar.

Kesimpulannya, kita amat bernasib baik menjadi penerima anugerah Allah yang tidak ternilai harganya ini dan adalah kewajipan Fardu Kifayah kita menjaganya dengan sebaik yang terdaya.
Posted by A KADIR JASIN at 4:19 PM 1 comments

No comments: