Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, August 17, 2010

Apa Salahnya Bunyi Masjid Lantang?
A kadir Jasin

Komen menggunakan pengenalan anoynymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SETELAH dua minggu tidak menunaikan Jumaat di Masjid Negara kerana berada di luar negara, saya semalam dalam suka dan duka kembali ke rumah ibadat yang ikonik itu.

Saya gembira kerana Iman begitu “commanding” mengimamkan solat. Pembacaan jelas, lancar dan kuat. Bukan apa, sekarang ini banyak cakap-cakap bahawa ada orang bukan Islam tidak senang hati dengan bunyi masjid dan surau yang kuat.

Malah ada orang Islam yang terikut-ikut. Tak tahulah orang lain, tetapi bagi saya, lagi kuat dan lancar suara Iman (melalui pembesar suara) lagi mudah saya mengikut dan menumpukan sepenuh perhatian.

Lagipun, adakah orang Kristian di Switzerland, misalnya, berasa bersalah dan orang bukan Kristian berasa marah apabila loceng gereja berbunyi lantang setiap 15 minit?

Sebaliknya, negara majoriti Kristian itu baru saja mengundi mengharamkan pembinaan menara (minaret) masjid atas alasan menara menjadi simbol “Islamisasi”.

Tetapi kita nak kata apa? Itu negara mereka – sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Kristian. Samalah dengan orang Amerika yang menentang pembinaan Pusat Islam New York kononnya terlalu dekat dengan tapak World Trade Centre.

Jadi mengapa kita, sebuah negara yang agama rasminya Islam dan majoriti rakyatnya Islam, harus mempersoalkan kelantangan azan, khutbah dan solat di masjid dan surau?

Lagipun, pembeli rumah di kawasan-kawasan perumahan tahu di mana terletaknya masjid – sama ada yang sudah dibina atau dirancang kerana ada dalam pelan induk. Kalau tidak suka bunyi masjid, jangan beli rumah berhampiran dengannya.

Berbalik kepada Masjid Negara, saya terkilan sikit (sikit) dan tertanya-tanya kenapa kerja-kerja pemulihan dan pengubahsuaian perlu dijalankan atau diteruskan pada bulan Ramadan, sehingga mencacatkan keindahan masjid dan keselesaan beribadat?

Adakah semata-mata untuk menyambut Hari Raya Puasa yang ibadat sembahyangnya hanyalah sunat atau akibat perancangan yang tidak mempedulikan keagungan masjid dan keselesaan jemaah?

Saya tidak mahu ulas khutbah yang disampaikan oleh khatib, kecuali menyebut mengenai doa khutbah yang “terlebih” panjang dan (maaf cakap) “kureng” lancar. Bukan apa, saya selalu berasa kalau nak berdoa biar lancar. Lebih baik doa yang pendek tetapi lancar daripada doa panjang yang tersangkut-sangkut.

Namun saya ucap terima kasih kepada semua pihak terbabit yang berniat baik melakukan pemulihan dan pengubahsuaian Masjid Negara. Yang saya persoalkan hanyalah ketepatan masa (timing).

Bukan pihak berkuasa masjid tak tahu yang lebih ramai orang datang mengerjakan solat Jumaat pada bulan Ramadan sebab tak boleh makan tengah hari.

Dan apakah salahnya kita mempromosikan Dinar Islam kalau sistem itu berdaya maju dan berpotensi mengatasi masalah sistem matawang konvensional yang kini terdedah kepada spekulasi dan manipulasi oleh pasaran bebas ciptaan Barat?

Apa-apa pun, saya sekali lagi ucapkan selamat berpuasa kepada pembahas dan pembaca.
Posted by A KADIR JASIN at 7:34 AM 53 comments
Saturday, August 07, 2010
Keajaiban Ilmu, Keistimewaan Pengetahuan
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEPATAH berkata, jauh perjalanan luas pengalaman. Lima enam dekad lalu, paling jauh orang Melayu berjalan adalah ke Makkah al-Mukarramah.

Arwah tok (atuk perempuan) dan tok wan (atuk lelaki) saya pergi ke Makkah dengan kapal laut 60 tahun lalu. Pergi balik empat bulan. Makan “roti kapai” dan kalau mati, “dikebumikan” di laut. Masa itu, menurut cerita ibu, saya masih dalam buaian.

Maka ibu mengarang sebuah gurindam untuk mendodoikan saya berbunyi: Lang melayang tak balik-balik, lang menuju ke Pulau Pinang, tok ke Makkah tak balik-balik, air mata kita berlinang-linang.

Ibu dan arwah ayah saya ke Makkah dua kali. Kali pertama dengan kapal laut dan kedua dengan kapal terbang.

Hari ini, ke Makkah perkara biasa bagi orang Islam Malaysia. Malah ramai pergi berulang kali dan ditokok-tambah pula dengan Umrah. Tapi ada juga yang berulang kali buat umrah tapi tak pergi haji.

Menjelang bulan puasa ini, berduyun-duyunlah pergi ke Makkah untuk berpuasa, buat umrah dan beribadat di Masjil al-Haram.

Perjalanan, pengembaraan dan pembacaan adalah jalan ilmu yang sangat berkesan. Bacalah sejarah pengembaraan Ibn Batutta yang nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah Al Lawati Al Tanji Ibn Battuta pada abad ke-14 Masihi.

Catatan pengembaraan beliau menjadi ilham dan ikutan pengembara-pengembara Eropah selepas itu.

Sedikit sebanyak, semua kita adalah pengembara, sama ada kita mengembara secara fizikal atau dengan membaca karya-karya yang berguna.

Mengembara Mencari Ilmu

Saya mula mengembara secara serius selepas peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1968. Saya dan kawan baik saya, Allahyarham Abdul Razak Lazim, dari Langgar, hitch-hike dari Alor Star hingga ke Batu Pahat, Johor.

Kami tumpang kereta persendirian, lori barang, van surat khabar, lori JKR dan Land Rover Polis. Pendek kata, siapa saja yang bermurah hati berhenti mengambil kami, kami ikut. Kami tidur di ruang luar masjid atau tumpang rumah saudara mara.

Perjalanan balik kami naik kereta api sebab ketika di Batu Pahat kami diserang sekumpulan samseng kampung sehingga saya “mendarat” di hospital dan mendapat jahitan di kepala.

Pada tahun 1971, ketika menjalani kursus amali dengan sebuah akhbar komuniti, The Nelson Evening Mail (NEM) di pekan Nelson, New Zealand, saya menulis sebuah berita mengenai ulang tahun kelahiran pemenang anugerah Nobel, Lord Ernest Rutherford (1871–1937). Ahli fizik yang mempelopori bidang nuklear itu dilahirkan berhampiran Nelson.

Seingat saya, berita Nelson Evening Mail itu turut disiarkan oleh banyak akhbar di New Zealand kerana NEM turut menyalurkan berita itu melalui New Zealand Press Association (NZPA).

Beberapa hari lalu saya membeli sebuah buku bertajuk “The Disappearing Spoon and other true tales of madness, love, and the history of the world from the periodic table of the elements” (adoi panjangnya) oleh Sam Kean (Little, Brown and Company) di kedai buku Orell Fuessli, Zurich.

Oleh sebab buku itu adalah mengenai Carta Periodik, maka saya tidak terkejut menemui Rutherford di dalamnya.

Orang Berilmu Tahu Erti Jahil

Apa yang hendak saya ketengahkan di sini ialah kalau saya tidak mengembara ke New Zealand, tidak membaca dan menulis mengenai Rutherford, saya mungkin tidak berasa apa-apa apabila membaca mengenainya dalam buku itu.

Inilah keunikan dan ketakjuban ilmu dan pengetahuan. Kalau kita tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita tidak tahu atau tidak sedar bahawa kita jahil. Sebaliknya, jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita akan sedar betapa jahilnya kita kerana bagi setiap satu perkara yang kita ketahui, banyak lagi yang kita tidak ketahui.

Siang tadi, juruwang di sebuah toko pakaian di Zurich bertanya dari mana asal saya. Saya kata, Malaysia. Dia kata dia berasal dari Albania.

Apabila saya memberitahunya yang saya pernah ke Tirane (atau Tirana), ibu negara Albania, dalam perjalanan ke Kosovo, wajahnya berubah. Dengan nada gembira dia berkata:

“Saya sebenarnya orang Kosovo. Tadi saya menyebut Albania kerana tidak ramai orang tahu mengenai Kosovo. Tetapi tuan pernah ke Kosovo. Saya sangat gembira.”

Rakannya, seorang tukang jahit yang berasal dari Portugal mencelah: “Ah, Malaysia sangat cantik.”

“Anda pernah ke Malaysia?” tanya saya.

“Tidak pernah. Tetapi dari apa yang saya lihat di TV, Malaysia sangat cantik.”

Hmm.. rasa-rasa nak masuk bakul dan angkat sendiri. Tapi tunggu dulu. Rasa-rasanya, Malaysia yang sebenar tidaklah seindah Malaysia di kaca TV. Memang benar, infrastruktur kita kelas Dunia Pertama, tapi pengendalian dan penyelenggaraannya lebih teruk daripada Dunia Ketiga.

Berbalik kepada cerita Kosovo, saya ke negara itu dengan Syed Hamid Albar selepas tamat perang antara orang Islam dan Serbia di wilayah bekas Yugoslavia itu pada pertengahan tahun 1999.

Masa itu Syed Hamid Menteri Luar dan tujuan kami adalah menyampaikan derma pembaca akhbar Kumpulan New Straits Times kepada tiga penerima yang menderita akibat peperangan iaitu sebuah hospital, universiti dan masjid.

Dunia Di Ambang Penjajahan Baru

Kesimpulan cerita saya ialah tidak kira jauh atau dekat, kita wajar mengembara. Ilmu dan pengetahuan ada di mana-mana. Tetapi kita boleh berjalan seribu batu tetapi tidak berasa apa-apa atau kita menjadi lebih keliru.

Syarat untuk mendapat ilmu dan pengetahuan dan tidak menjadi keliru adalah dengan memerhati dan meneliti. Melihat sahaja tidak cukup kerana kita hanya menggunakan satu naluri iaitu mata. Tetapi kalau kita memerhati, kita melihat dengan mata dan hati (fikiran) – kita meneliti dan mendalami.

Sebab itulah, datuk-nenek kita suruh kita “tengok dan perhati.”

Malangnya, hari ini satu dunia melihat tetapi amat sedikit memerhati. Kerana puas hati bertukar SMS, chatting, menonton Akademi Fantasia, American Idols, drama murahan dan gilakan EPL, ramai tidak lagi mengembara dan membaca untuk mencari ilmu dan pengetahuan.

[Tapi saya pun baru-baru ini “chatting” dengan seorang pemuda Australia yang meminta nasihat saya mengenai hasratnya memeluk Islam. Isyak-Allah.]

Akibatnya, dunia hari ini ditakluki dan dijajah oleh penjajahan bentuk baru yang didalangi oleh elit politik dan ekonomi yang menganggap kemanusiaan tidak lebih daripada medan memonopoli kuasa politik dan mengaut keuntungan.

Bukan salah mereka, tetapi salah kemanusiaan yang semakin membelakangi ilmu dan pengetahuan. Hatta yang “ iqra ” al-Quran pun ramai utamakan dengung daripada ajaran, ilmu dan pengetahuan di dalamnya.
Posted by A KADIR JASIN at 4:04 AM 51 comments

No comments: