Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Thursday, August 19, 2010

Thursday, August 19, 2010
Puasa Zaman Dolu Kala
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anoynymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEMBAHAS Langitbiru, dalam salah satu komennya, antara lain, berkata: “Berbanding zaman Pak Lah yang mana Dato' begitu hebat mengkritik kepimpinan Pak Lah, tapi kepimpinan Najib nampak Dato' nak kritik "malu-malu kucing."

Manakala pembahas Sinbad pula, antara lain, berkata: “Sempena Ramadhan ini, saya harap Datuk dapat bercerita sedikit tentang nostalgia berpuasa di zaman "dolu-dolu".

Kepada Saudara Langitbiru, saya memberi tindak balas kepada sesuatu perkara dengan tiga cara. Pertama, saya setuju dengan memuji atau berdian diri. Kedua, saya tidak bersetuju dengan mengkritik atau berdiam diri. Dan ketiga saya berkecuali.

Ada waktunya saya menyatakan sikap berkecuali saya itu secara terbuka dan ada masa saya berdiam diri. Kadang-kadang berdiam diri itu lebih baik.

Ada pembahas yang kata saya rapat dengan kepemimpinan negara. Tak betul kot? Dulu boleh jadilah. Bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pasir berubah.

Apa kita nak kata, Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak ada Kabinet, ada Majlis Tertinggi Umno dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional, ada Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), ada pembantu biasa dan pembantu khas, ada think-tank, ada kementerian, ada jabatan dan ada agensi yang boleh bagi maklum balas dan nasihat.

Bagi yang lain, termasuklah kita yang berbahas dalam blog ini, sekiranya kita sudah sampai umur mengundi dan sudah mendaftar sebagai pemilih, kita boleh memberikan tindak balas mutakhir (ultimate) kita bila tiba pilihan raya.

Mengenai cerita zaman “dolu-dolu” seperti Saudara Sinbab cadangkan, saya rasa kita semua boleh renung kembali waktu yang sudah berlalu mengikut usia dan pengalaman kita masing-masing.

Yang muda dengan pengalaman berpuasa di kolej atau di luar negara. Yang tua dengan cerita beli air batu berbalut sekam dan habuk kayu pada zaman “dolu kala.”

Yang muda dikejutkan untuk bersahur oleh “alarm” telefon bimbit. Yang tua oleh kokok ayam atau budak-budak mengetuk gendang raya di masjid atau berjalan keliling kampung memukul ketuk atau tok-tok.

Cerita beli air batu ketul cukup menarik. Kalau lambat sampai ke pekan, air batu habis dijual. Kalau tidak dibungkus dengan kemas, air batu cair sebelum sampai ke rumah. Kalau sampai rumah awal, kena bungkus dengan guni untuk cegah cair.

Waktu itu, kita minum sirap perasa ros, sarsi, air sarbat atau ais bandung. Ada orang kata, sarbat itu dipadankan daripada perkataan Perancis “sorbet” (dibunyikan sorbei) atau “sherbert,” sejenis hidangan lepas makan yang diperbuat daripada air gula berperisa buah-buahan.

Boleh jadi betul, sebab mengikut pengistilahan, perkataan “sorbet” dan “sherbert” dipadankan daripada istilah bahasa Turki “serbat” atau bahasa Parsi “sharbat” yang asalnya daripada bahasa Arab “sharbat” yang bermaksud minuman atau jus buah-buahan.

Sekarang tak ada lagi orang jual air batu ketul dan jarang sekali air sarbat dihidangkan. Air batu pula tersedia dalam peti sejuk di rumah.

Selepas sembahyang tarawih ada moreh. Dulu moreh disediakan bergilir-gilir. Kita masak di rumah dan hantar ke masjid atau madrasah. Sumbangan istimewa keluarga saya adalah bihun goreng dengan daging atau udang.

Jabatan Agama tidak pungut zakat fitrah. Jadi kita bagi kepada orang miskin, anak yatim, tok-tok guru, orang catat, tok-tok lebai dan ibu tunggal. Kita bagi beras.

Pada beberapa hari sebelum raya, ramailah oleh miskin (orang susah) berkumpul di masjid dengan karung tepung gandum menanti orang datang bayar fitrah -- segantang beras seorang.

Ada penerima fitrah bawa balik beras untuk dimakan dan ada pula yang jual di kedai Cina untuk dapatkan wang tunai.

Membeli baju dan kasut raya saat paling gembira kerana itulah pakaian baru untuk sepanjang tahun bagi kebanyakan budak-budak kampung. Pakai kasut baru sampai “melecir” tumit. Bila dah tak tahan, kasut naik tuan.

Penghujung puasa paling mencabar dan menggugat iman apabila emak mula membuat kuih raya. Kuih istimewa emak saya adalah bahulu (buah hulu) telur itik yang dibakar dengan sabut kelapa.

Kita kurang lain mercun. Itu permainan budak-budak “ponen”. Budak-budak hero main “meriam kabat” (carbide/karbida). Ada meriam buluh, meriam tanah dan meriam tin. Salah-salah bakar buta mata, putus jari.

Itulah antara cerita bulan puasa saya zaman dulu kala. Nostalgia dan sejarah.
Posted by A KADIR JASIN at 8:17 AM 7 comments

No comments: