Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Saturday, February 28, 2009

Kitar Semula Plastik Dan Orang Politik

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KITAR semula tidak begitu berleluasa di Malaysia. Kempen-kempen menggalakkan masyarakat mengamalkan kitar semula kurang mendapat sambutan.

Banyak pusat kitar semula terbengkalai dan dipenuhi sampah sarap. Sifat pengotor dan tidak disiplin rakyat Malaysia menyebabkan botol dan beg plastik serta tin aluminium bersepah di merata tempat.

Majoriti rakyat Malaysia Muslim. Islam mengajar umatnya bersih, berdisiplin dan beradab. Tetapi kedai dan gerai makan milik orang Islam jarang mengutamakan kebersihan.

Di Terengganu, saya terbaca papan tanda berbunyi “kebersihan sebahagian daripada iman”. Tetapi tandas di banyak masjid dan surau kotor sehingga kita tidak tergamak menggunakannya.
Kitar semula bahan-bahan buangan baik untuk alam sekitar dan boleh membantu menjaga kebersihan di samping memberikan pendapatan tambahan. Jadi kita perlu meneruskan kempen kesedaran alam sekitar, kebersihan dan kitar semula ini.

Tetapi kitar semula yang tidak digalakkan kerana boleh memudaratkan adalah kitar semula orang politik atau orang pentadbiran awam.

Kalau diperlukan pun, biarlah kitar semula setakat untuk menjadi penasihat, ahli nujum, pawang buaya dan penghalau hantu raya sahaja. Jadi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri tak payahlah.

Ketika saya membesar di pinggir Sungai Pendang pada tahun 1950-an, buaya masih banyak. Justeru itu, pawang buaya atau sesiapa saja yang memperkenalkan diri sebagai pawang buaya pasti dihormati.

Satu kepercayaan orang kampung mengenai buaya ialah jangan sekali-kali membasuh kelambu dalam sungai. Kononnya buaya cukup marah kelambu dibasuh di dalam sungainya. Agaknya bau manusia pada kelambu mudah dikesan oleh buaya.

Berbalik kepada kitar semula, jenis kitar semula yang kita tidak mahu adalah kitar semula untuk menjadi peneraju parti politik atau Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan jawatan-jawatan seumpamanya.

Ada orang kata ramai calon Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan bulan depan adalah calon kitar semula. Kalau kitar semula emas atau tembaga tak apalah. Tapi kalau setakat plastik dan botol buruk tu tak payahlah kot.

Saya ada seorang member teh tarik di Raju yang bergiat dalam industri kitar semula. Dia budak muda Melayu berkelulusan kejuruteraan. Katanya dia lebih banyak kitar semula tembaga dan logam-logam yang bernilai tinggi.

Baru-baru ini dia rugi besar. Harga besi buruh merudum daripada RM1,800 setan kepada RM800 dan tembaga daripada RM27 sekilogram kepada RM11.50. Sekarang dia buat eksperimen bela ayam turki di Bukit Gantang, Perak.

Saya tidak berani hendak kata calon kitar semula Umno itu daripada jenis plastik, kaca, aluminium, besi waja, tembaga atau emas. Papan litar komputer (printed circuit board) kalau dilebur boleh menghasilkan emas.

Kita semua tahu antara calon MT Umno tu ada bekas Menteri, bekas Ketua Menteri dan Menteri Besar, bekas Menteri Besar yang dikitar semula menjadi Menteri, Menteri Besar yang hilang negeri dan banyak jenis mantan lagi.

Rasa-rasanyalah banyak yang sudah tidak boleh digilap dan digunakan semula. Pakailah banyak mana Brasso pun tidak bersih dan berkilat lagi. Orang kampung kata dah lebam. Sudah sampai masa dilebur atau dimasukkan ke dalam loji pelupusan sebagai bahan bakar.

Dalam itu pun, elok juga kita berhati-hati bila membuang barang-barang lama. Sekarang barang-barang lama yang tergolong dalam kategori antik sangat berharga.

Di rumah ayah dan emak saya ada sebuah katil besi pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun. Bila digilap dengan Brasso masih berkilat. Tapi kalau digunakan dengan lasak, ia berbunyi sana sini. Maklumlah katil lama. Nak kurangkan bunyi, jangan tidur lasak atau selalu masukkan pada celah-celah penyambungnya minyak pelicin Singer.
Brasso untuk mengilat logam

Saya rasa setelah melihat apa yang terjadi kepada Umno dan Kerajaan Barisan Nasional selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, parti-parti seperti Pas dan DAP tidak akan tergesa-gesa membersarakan veteran mereka macam Nik Abdul Aziz Nik Mat (78 tahun), Lim Kit Siang (68) dan Karpal Singh (67).

Orang tua kita kena hormat. Jadi saya tidak setujulah orang tua cacat macam Karpal dikasari apatah lagi di Parlimen.

Maaf cakaplah orang kita, khasnya yang muda-muda tu, nampaknya tidaklah matang seperti yang didakwa.

Harap-haraplah Parlimen kita tidak jadi macam Parlimen Taiwan di mana mereka nampaknya lebih kerap bertinju dan berkuntau daripada berdebat secara waras dan bijaksana.

Akhir kalam, sokonglah kempen kitar semula bahan-bahan buangan, terutamanya plastik. Plastik amat buruk kepada alam sekitar. Saya harap dalam masa terdekat ini kita boleh mengurangkan atau menjimatkan penggunaan plastik.

No comments: