Thursday, February 26, 2009
Jangan Melatah Jika Aspirasi Anak Bertentangan
ANIQAH, Mac 2009
Kalau kita bertanya kepada ibu bapa, semua akan menyatakan perasaan dan keinginan mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dan yang pentingnya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Ada seorang ayah yang saya tanyakan kenapa dia menghantarkan anaknya ke tadika Islam dan seterusnya ke sekolah agama yang mengadunkan pelajaran akademik dan agama beliau lantas memberi jawapan: “sekurang-kurangnya ada anak yang akan mendoakan saya apabila saya mati kelak”.
Jawapan sepontan itu bukanlah jawapan gurauan tetapi ia adalah luahan di atas kesedaran seorang ayah yang berwawasan jauh maknanya perjuangan di padang kehidupan ini tidak akan berakhir di sini tetapi apa yang kita lakukan akan menerima hisaban di padang mahsyar di hadapan Allah Robbul Jalil.
Membina manusia mengikut acuan Islam itu perlu dicernakan semenjak anak itu masih di dalam kandungan ibu dan seorang ibu yang bakal melahirkan anak hendaklah sentiasa membaca al-Quran sementara suami yang menjadi ayah sentiasa berzikir agar wirid mereka didengar oleh anak yang masih janin dan seterusnya membesar di dalam rahim ibu.
Anak yang di dalam kandungan ibu ditarbiyah dengan mendengar kalimah thoyyibah dan apabila dilahirkan diazan dan diiqamatkan dan dodoian untuk anak yang terus membesar itu perlu berkesinambungan dengan kalimah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. sebagai mukadimah kepada kehidupan yang berpaksikan kepada Islam.
Sebaik sahaja berumur 7 tahun anak itu hendaklah diajarkan bagaimana untuk menunaikan solat dan ayah sebagai qiadah yang perlu menjadi pemimpin dan contoh dalam sebuah keluarga perlu mempraktikkan sembahyang berjemaah bersama keluarga dan kebiasaan ini perlu diteruskan walaupun anak telah dewasa.
Ayah dan ibu adalah menjadi perancang kehidupan anak-anak pada masa depan dan ini perlu difahami oleh anak-anak itu yang dididik sejak awal agar menghormati kedua ibu bapa dan aspirasi mereka tentunya mengharapkan natijah yang terbaik hasil daripada pendidikan yang diterapkan di rumah.
Kedua ibu bapa perlu merancang pendidikan anak-anak bermula dengan keperluan fardu ain dan kemudiannya pendidikan yang ditanggapi sebagai keperluan duniawi iaitu pendidikan akademik yang akan menentukan arah dan halatuju kerjaya apabila dewasa.
Pekerjaaan yang digarap oleh individu Muslim adalah dikira ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan memanglah matlamat pendidikan itu sendiri adalah bagi menyediakan ruang yang selesa untuk generasi yang meninggalkan persekolahan dan institusi pengajian tinggi untuk mengharungi alam pekerjaan.
Mungkin semasa zaman anak-anak kedua ibu bapa mempunyai keinginan agar anak-anak mereka mempunyai kerjaya yang cemerlang seperti menjadi doktor, jurutera atau peguam tetapi mereka harus menyedari bukan semua impian mereka boleh direalisasikan.
Anak-anak perlu dikondisikan dengan persekitaran atau bi’ah yang solehah dan kita sebagai ibu bapa perlu peka dengan pergaulan anak-anak kita kerana teman itu merupakan cermin maka kita kena perhatikan dengan siapakah anak-anak kita berkawan.
Mungkin jika tersalah tanggap kita akan dicop rebagai ibu bapa yang rigid yang begitu mengongkong anak-anak, tetapi kita perlu berwaspada untuk mendekati anak-anak yang semakin membesar dan kita juga harus mengambil kira sensitiviti anak-anak.
Apabila mereka semakin membesar dan seterusnya menjadi dewasa kita tidak boleh lagi mengambil penedekatan seolah-olah mereka masih anak-anak yang perlu disuap dan ditatang selalu tetapi anggaplah mereka sebagai teman kita.
Sudah tentu hubungan mesra itu perlulah dipupuk sejak anak-anak dan kalau semasa kecil kita peluk mereka, kita juga mesti mentarbiahkan anak-anak kita yang telah dewasa untuk memeluk dan mencium tangan kedua ibu bapa walaupun mereka sesudah ini akan bergelar bapa pula.
Kita mengajar anak kita mendoakan kedua ibu bapa sebagaimana kita mendoakan kedua ibu bapa kita dan proses ini adalah berkesinambungan dan menjadi rutin sesudah solat sesuai dengan hadis apabila mati seorang anak Adam maka terputusalah amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.
Ilmu keibubapaan (parenting) ini tidak diajar secara formal dan kini sudah sampai masanya satu pendekatan yang serius diberikan terhadap institusi perkahwinan dan tentunya kursus pra-perkahwinan itu tidak mencukupi diadakah setakat empat atau lima hari sahaja sedangkan kehidupan bersuami isteri idealnya adalah untuk memenuhi sepanjang hayat.
Seorang ibu berpendapat ibu bapa memainkan peranan penting dalam menasihati dan memberi panduan menentukan halatuju pendidikan anak-anak zaman ini.
“Jika kita biarkan mereka membuat pilihan sendiri sepenuhnya dikhuatiri ia akan membinasakan masa depan mereka, maklumlah anak-anak zaman ini mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan gejala kurang baik,” katanya.
“Perbincangan dengan anak-anak dan mengetahui pendapat mereka mengenai sesuatu perkara terutama berkaitan pelajaran adalah penting agar kita dapat bertukar-tukar idea dan mempengaruhi mereka membuat keputusan yang bijak.”
Kadang-kadang semasa menjalani proses pendidikan baik di peringakat sekolah atau di unversiti anak-anak itu terdedah dengan keadaan sekeliling berbeza yang meyebabkan mereka meminati bidang yang mungkin tidak pernah diimpikan oleh kedua ibu bapa mereka.
Jika berlaku pertembungan di antara aspirasi kedua ibu bapa yang bertentangan dengan citarasa anak-anak yang telah ditatang bagai minyak yang penuh sejak zaman anak-anak, maka kedua ibu bapa perlu berlapang dada kerana mungkin ada hikmah yang tersembunyi dengan pilihan bidang atau kerjaya yang akan diceburi zuriat mereka.
Ketrampilan dalam bidang akademik perlu diseimbangkan dengan tarbiah ruhiyah yang akan membina dalaman insan generasi Muslim kerana apabila tasawwur anak-anak kita jelas untuk menghayati kehidupan sebagai manusia muslim, maka di sana akan ada keharmonian dalam khidupan seharian yang berpaksikan iman, akidah dan akhlak.
No comments:
Post a Comment