Mahukah Kita Damai Dalam Kejahilan?
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
MINTA maaf kepada para pembaca, pembahas dan “followers” kerana agak lama tidak membuat tampalan (posting) baru.
Namun saya gembira melihat para pembahas berbincang antara satu sama lain. Itulah antara tujuan blog kita ini. Saudara dan saudari bukan sahaja membahaskan hujah saya, malah lebih penting daripada itu adalah berbahas antara satu sama lain.
Begitu hebat perbahasan mengenai tajuk “Pas dan DAP: Perjuangan lwn Lakonan” sehingga ada yang mengibaratkan perlawanan antara Umno dan Pas dengan Perang Badar dan Perang Uhud!
Apa pun saya harap pembahas janganlah taasub sangat kepada politik kepartian sehingga menjadi terlalu emosional sampai hilang akal dan pertimbangan.
Saya mengambil kesempatan mengalu-alukan “followers” baru yang menyertai rangkaian kita. Bilangan “followers” blog kita sekarang sudah melebihi 700. Terima kasih.
Sekembali sahaja daripada melawat anak, menantu dan cucu di Zurich, Switzerland, kerja bertimbun menunggu. Sebenarnya pada 23 Ogos lalu (hari lahir saya yang ke-62), saya mendapat cucu nombor tiga. Cucu perempuan pertama.
Tidak sampai tiga jam saya kembali ke tanah air pada 10 Oktober, seorang lagi anak perempuan saya melahirkan anaknya yang pertama – seorang lelaki. Jadi dah empat oranglah cucu saya.
Anak lima cucu empat – “not bad” kata Orang Putih sebab masa saya kecil dulu, saya di berikan harapan hidup yang sangat tipis akibat pelbagai masalah kesihatan.
Apa yang tidak dijadikan ubat – lipas bakar dalam minyak kelapa untuk lelah, batu kawi untuk kudis buta, tembakau untuk cacing kerawit dan sirih pinang serta kemenyan untuk menghalau hantu jembalang.
Tapi pastilah saya tidak boleh lawan ayah dan ibu saya. Apabila ayah meninggal dunia pada 2 Jun lalu pada usia 85 tahun, dia meninggalkan ibu saya, Hajah Cik Ah Binti Said, 82, lapan orang anak, 31 orang cucu dan 18 orang cicit. Sekarang cicit dah naik jadi 20.
Kerja pun banyak yang hendak diselesaikan. Menulis, menyunting dan berniaga sendiri bukanlah gabungan yang ideal apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tenat macam sekarang.
Busuk-busuk pun kena cari hasil yang cukup untuk bayar gaji hampir 70 kakitangan, bayar sewa pejabat, air dan api. Percayalah, jadi peniaga Bumiputera bukanlah mudah.
Cakap atau dengar berita memang sedap. Bantuan itu dan ini. Tabung itu dan ini. Projek itu dan ini. Tapi bila berniaga barulah tahu tanah tinggi dan rendah, falasi dan realiti.
Baru-baru nak pinjam duit untuk beli bangunan pejabat. Sebuah bank GLC tolak bulat-bulat. Sebuah lagi hanya sanggup bagi 65 peratus. Itu pun dengan macam-macam syarat. Tapi bila pergi bank Cina dapat sampai 85 peratus.
Bank Cina lebih yakin kepada peniaga Bumiputera daripada bank GLC! Alhamdulillah. Kalau Menteri Kewangan nak tahu, saya boleh beritahu.
Apabila saya dan beberapa orang peniaga muda Bumiputera/Islam bertanya sebuah tabung modal Bumiputera, mereka kata mereka tidak galak lagi perniagaan makanan dan restoran, kononnya dah ramai Bumiputera dan tak untung.
Ramai Bumiputera berbanding dengan siapa? Ramai peniaga makanan Bumiputera daripada Cina dan India? Inilah sikap sesetengah pengurus GLC dan badan-badan amanah. Bukan menjadi penggalak dan penggerak, sebaliknya penghalang dan pembunuh semangat.
Cakap memang mudah dan murah, tetapi realiti menyayat hati melainkan berniaga guna duit orang lain macam pengurus-pengurus GLC. Kalau kompeni rugi pun tak apa. Habis-habis sangat kena berhenti kerja atau ditukar ke tempat lain.
Tapi bila berniaga sendiri, guna duit sendiri dan cagar aset sendiri barulah kita tahu risikonya. Silap-silap kain dan baju pun boleh hilang.
Apatah lagi bila kita ambil alih syarikat yang rugi dan kena pula pikul hutang lapuknya macam yang saya buat!
Tapi orang yang tak tahu atau tidak pernah berniaga, mereka tentulah ingat berniaga mudah, semua peniaga untung besar dan kalau Bumiputera dapat macam-macam bantuan dan projek.
Apa yang mereka tak tahu ialah apabila kerajaan tutup Kementerian Pembangunan Usahawan (MeCD) kerja kita susah sebab banyak tempat kena pergi untuk buat kerja yang sama. Bayaran pun tertangguh kerana terpaksa buka buku baru, pergi ke pejabat baru dan jumpa pegawai baru.
Saya tidak suka berniaga. Tetapi saya dilatih berniaga sejak kecil lagi apabila ayah saya membuka kedai runcit kemudian kedai membeli getah dan akhir sekali berniaga kerbau lembu dan daging.
Jadi sikit sebanyak tahulah siluk-biluk berniaga. Lepas itu belajar main saham. Itu pun atas ihsan bos-bos di Bernama apabila pada awal tahun 1972an mereka kerah saya buat liputan berita ekonomi di Bernama Economic Service.
Bila saya disuruh buat liputan Pasaran Saham Kuala Lumpur-Singapura (Kuala Lumpur-Singapore Stock Exchange/KLSE), saya tidak tahu apa-apa pun mengenai perniagaan saham.
Waktu itu pejabat bursa di Bangunan Bangkok Bank, Lebuh Pasar, tidak jauh dari Central Market yang masa itu memang pasar ikan dan sayur.
Setiap pagi dalam jam 10 saya nampak beberapa orang wanita Cina berpakaian serba putih singgah di bilik dagangan KLSE dengan bakul rotan berisi ikan dan sayur.
Rupa-rupanya mereka datang untuk “main saham”. Waktu itu pasaran masih kecil, peraturan masih longgar dan “short selling” ada penggerak pasaran dan cara mudah buat duit kocek.
Terima kasih kepada amah-amah Cina itu dan tunjuk ajar “floor trader” Amanah Saham Mara saya mendapat ilham dan pengetahuan bagaimana menjadi “short seller”, buat duit poket dan seterusnya mendalami operasi pasaran saham.
Nasib baiklah waktu itu amah bangsa Cina. Bayangkan kalau amah waktu itu dari Indonesia macam sekarang. Tak ada canlah saya nak belajar jadi pemain pasaran saham.
Satu lagi, waktu itu hanya Amanah Saham Mara jadi pelabur institusi yang melakukan jual-beli secara terus dengan KLSE. PNB dan ASB tak ada lagi. Tahun 1981 baru ada.
Tapi sekarang “short selling” tidak digalakkan lagi. Malah selepas krisis ekonomi 1997/98 ia diharamkan dan dibenarkan semula secara terhad akibat protes penggiat pasaran tetapi dengan syarat yang ketat.
Itulah ironi hidup. Lagi banyak kita tahu, lebih sedar kita bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Belajar adalah proses yang tidak ada penghujung atau kita amalkan macam kata ungkapan Inggeris, “ignorance is a bliss” – kejahilan adalah kedamaian.
Posted by A KADIR JASIN at 12:43 PM 29 comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment