Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, October 13, 2009

Pas dan DAP: Perjuangan lwn Lakonan
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[NOTA PENTING: Tolong jangan hantar komen menggunakan nama orang lain yang dikenali atau terkenal. Saya mendapat aduan daripada orang ternama yang nama mereka digunakan oleh pembahas. Inilah adalah sikap tidak bertanggungjawab. Terima kasih]

PADA 9 Julai, Malaysiakini menyiarkan tajuk berita “Guan Eng, Nik Aziz Charm Chinese Voters” (Guan Eng, Nik Aziz Mamukau Pengundi Cina). Di mana lagi kalau tidak di Bagan Pinang.

Pada 7 Julai, portal berita yang sama melaporkan yang PAS dan DAP telah “menanam kapak ke dalam bumi” (bury the hatchet) – ertinya sudah berdamai – mengenai kes Selcat.

Mereka juga bersetuju mengelakkan pertikaman lidah secara terbuka yang boleh mengaibkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sekiranya drama politik PR ini dijadikan siri televisyen ia pasti sama atau lebih hebat daripada The West Wing dan tidak akan ada akhirnya.

Para diplomat dan wartawan asing yang dulunya mendapati politik Malaysia sangat kompleks dan penuh dengan tipu daya kini semakin pening kepala.

Kalau dulu minat mereka terhadap “intrigue” politik ini tertumpu kepada Barisan Nasional, kini perhatian mereka semakin menjurus kepada Pakatan Rakyat.

Satu soalan yang kerap mereka tanya adalah mengenai komitmen Pas terhadap matlamat menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud.

Yang tersurat dan tersirat

Sebenarnya kita sendiri sukar memisahkan antara yang tersurat dengan yang tersirat dan antara lakonan dengan kesungguhan dalam tindakan parti dan pembesar PR pada akhir-akhir ini.

Ambil contoh pertikaman lidah antara Tok Guru Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ahli Parlimen de facto Pas bagi kawasan Pasir Mas, Ibrahim Ali. Atau episod kedua serangan Pesuruhjaya Pas Selangor, Hassan Ali ke atas rakan-rakan Pakatan Rakyat Selangor.

Nik Abdul Aziz menyarankan agar Ibrahim meletakkan jawatan MP atas atasan Ibrahim tidak lagi mendapat restu rakyat jelata. Ibrahim membalas dengan menggesa Tok Guru meletakkan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Ketiga-tiga mereka – Nik Abdul Aziz, Ibrahim dan Hassan -- adalah pakar perang saraf dan propaganda. Tetapi yang sah pakar profesional bidang ini adalah Hassan yang berupa seorang motivator. Sebagai motivator Hassan sangat peka mengenai keperluan untuk terus menarik minat dan menaikkan semangat pengikutnya.

Jadi setelah gagal memaksa Menteri Besar PKR, Abdul Khalid Ibrahim melucutkan jawatan Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu (DAP) dan gagal menyekat penjualan bir oleh kedai-kedai di kawasan majoriti Islam dia membuat episod baru.

Kali ini dia mempertikaikan kewibawaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). Dia mahu wakil bebas dilantik menganggotai jawatankuasa yang kini terdiri daripada pembesar politik PR sahaja.

Tidak menghairankan jika “gimmick” Hassan itu mendapat sokongan luas ahli Pas Selangor yang termakan propagandanya, tetapi ditentang oleh PKR, DAP dan sesetengah anasir dalam Pas sendiri.

Ambil contoh herdikan terhadapnya oleh Ahli Parlimen Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad. Khalid menyuruh Hassan ikut arahan parti atau keluar PR.

Masuk angin keluar asap

Namun seperti kes-kes sebelum ini, selepas bising-bising dan heboh-behoh, kenyataan dibuat mengatakan kes sudah selesai atau akan diselesaikan.

Pada 2 Oktober, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali sebagai berkata satu pertemuan dua hala antara Pas dan DAP akan diadakan 7 Oktober bagi menyelesaikan perbezaan mengenai pelbagai isu antara dua parti itu.

Pada 7 Julai Malaysiakini melaporkan yang PAS dan DAP telah “bury the hatchet” – ertinya sudah berdamai – mengenai kes Selcat.

Soalnya sampai bilakah lakonan begini akan dipentaskan dan disokong oleh ahli Pas, tetapi berakhir ibarat kata Allahyarham P Ramlee, masuk angin keluar asap?

Nampaknya wayang ini semakin kerap dipentaskan seperti mana berlaku Kedah mengenai isu rumah sembelihan babi dan di Pulau Pinang mengenai pemecatan Timbalan Ketua Menteri oleh PKR.

Banyak pihak sudah mula menyedari masalah dalam PR sehingga memaksa ketua de factonya, Anwar Ibrahim mengaku bahawa ada masalah dalam PR. Katanya di San Francisco baru-baru ini, PR mungkin koyak di tepinya tetapi di tengah ia masih kuat.

Berbalik kepada drama pementasan Hassan, soalnya apakah dia juga menjadi mangsa fenomena semasa iaitu apabila orang Melayu dan orang Islam bersuara mereka dianggap fanatik dan perkauman.

Tetapi apabila orang bangsa dan agama lain bersuara, mereka dihormati kononnya kerana adalah hak mereka menuntut dan mempertahankan hak.

Adakah Hassan diserang begitu rupa kerana tindakannya dianggap mencabar hak orang bukan Melayu dan orang bukan Islam atau kerana kedudukan Pas sebagai rakan kongsi junior dalam Kerajaan PR Selangor?

Kompleks Rendah Diri Pas

Di satu pihak Pas menderita kompleks rendah diri kerana ia mempunyai bilangan Adun paling kecil dalam Kerajaan PR Selangor manakala di pihak lain ia perlu membuktikan kepada penyokongnya yang ia tetap mempertahankan Islam.

Jadi untuk tidak dilihat sebagai sudah kalah, ramai pembesar, propagandis dan penyokong serta media massa pro-Pas mencuba memberi gambaran bahawa isu arak sudah selesai dan memuaskan hati semua pihak.

Mungkin pada fahaman mereka, bersetuju untuk tidak menyelesaikan masalah adalah juga satu bentuk penyelesaian.

Persoalannya, adakah ini bukti bahawa Pas menjadi semakin pragmatis dan longgar dalam hal-hal yang membabitkan Islam atau Pas akan lakukan apa saja untuk berkuasa?

Dalam erti kata yang lain, Pas sudah berhijrah jauh daripada era mengkafirkan Umno kerana bekerjasama dengan bukan Islam kepada era di mana Pas sendiri bersekongkol dengan parti-parti bukan Islam yang terang-terang menolak Dasar Negara Islamnya.

Atau adakah DAP sudah berlembut dan tidak lagi mencabar Pas melangkah mayatnya jika ia mahu mendirikan Negara Islam? Dalam erti kata yang lain, DAP sudah menerima matlamat penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan Hukum Hudud ala Pas.

Sama ada disedari atau tidak, pragmatisme Pas ini lambat laun akan menjadikannya serupa dengan Umno. Ini boleh mengaburkan garis pemisah keduaan (duality) politik Melayu/Islam yang selama ini melagakan Pas dan Umno.

Pas Sebagai Parti Sesedap Rasa

Atau adakah mungkin Pas menjadi parti sesedap rasa dan talam dua muka yang boleh berubah-ubah bergantung kepada situasi semasa?

Misalnya Pas Kelantan dan Kedah yang menjadi rakan kongsi induk dalam DUN berbeza daripada Pas Pulau Pinang, Perak dan Selangor di mana ia adalah rakan kongsi junior.

Dalam erti kata lain, Pas bersedia mengubahsuai dasarnya bergantung kepada masa dan tempat ibarat masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kerbau menguak dan masuk kandang kambing membebek.

Ini adalah eksperimen politik yang cukup radikal yang sama ada akan membawa tuah atau celaka kepada parti itu. Ia sama ada berjaya menjinakkan harimau atau menjadi mangsanya.

Ia sama ada menikmati kelazatan susu kerbau atau terpalit lumpur dan najis haiwan itu.

Atau menjadi kambing korban untuk menjinakkan hantu dan puaka politik pelbagai kaum Malaysia – sesuatu yang Umno sudah tahu sejak lebih 50 tahun lalu.

Kesimpulannya, walaupun ada pihak yang mengatakan Hassan sedang bermain wayang manakala yang lain pula percaya dia sedang berjuang atas nama Islam, kesudahan kepada jerit pekik beliau itu akan menentukan sama ada Pas akan lebih diyakini atau kredibilitinya akan dipertikai.

Atau Pas akan menjadi parti personaliti di mana kepemimpinan dan dasar bergantung kepada personaliti yang berkuasa.

Kita sudah lihat bagaimana Pas Kelantan berkisar di sekitar perwatakan Nik Abdul Aziz. Mohd Nizar Jamaluddin cuba melakukan yang sama di Perak. Mungkin inilah juga motivasi dan objektif Hassan di Selangor iaitu menegakkan agenda peribadi dengan bertopengkan perjuangan parti.
Posted by A KADIR JASIN at 3:38 PM 57 comments

No comments: