Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Wednesday, January 20, 2010

DAP Perkenal "Middle Malaysia" Untuk PR
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PARTI Tindakan Demokratik (DAP), tanpa riuh-rendah dan sorak-sorai, telah memperkenalkan konsep Middle Malaysia. (Minta maaf sukar diterjemahkan secara literal ke bahasa Melayu.)

Setiausaha Agungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memperkenalkan konsep itu di Konvensyen Kebangsaan Ke-15 parti itu di Ipoh pada 17 Januari.

Menurut laporan Malaysiakini, Guan Eng memberitahu perwakilan bahawa Malaysia sekarang “at war with itself" (sedang berperang dengan dirinya sendiri) dan memerlukan jalan tengah yang mencakupi semua, sama rata dan menamatkan diskriminasi.

Penonjolan konsep baru ini mungkin tidak diketahui umum kerana media massa arus perdana tidak menyiarkan pengumumannya secara meluas.

Daripada nada ucapan Guan Eng seperti dilaporkan oleh Malaysiakini, nyata DAP berhasrat menjadikan Middle Malaysia sebagai laluan tengah yang akan membawa Pakatan Rakyat ke destinasi mutakhirnya iaitu Putrajaya.

"Kita mesti mengisi ruang tengah pengundi yang pelbagai tetapi bersatu, moderat dan berpatutan, konsisten dan relevan buat rakyat biasa Malaysia. Kita mesti menjadi Middle Malaysia.

"Middle Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia. Tidak seperti Malaysia (daripada kaca mata) Umno, dalam Middle Malaysia kita lebih mengutamakan perwatakan daripada warna kulit kita,” tegas Guan Eng.

Gagasan DAP atau PR?

Soalnya, adakah gagasan Middle Malaysia DAP ini berupa gagasan Pakatan Rakyat atau ia percubaan DAP mengambil alih pemanduan pakatan tiga parti itu?

Umum sedia maklum bahawa DAP adalah parti tua yang berpegang kuat kepada prinsip dan bergerak bersendirian sehinggalah dipujuk menyertai PKR dan Pas dalam pakatan pilihan raya pada tahun 2008.

Hasil pakatan itu, DAP mencapai kemenangan besar untuk menjadi parti pembangkang kedua terbesar di Parlimen selepas PKR dan buat kali pertama sejak penubuhannya pada tahun 1967, berjaya memerintah sebuah negeri iaitu Pulau Pinang.

Namun kepemimpinan DAP sentiasa sedar bahawa apa pun berlaku kepada Pakatan Rakyat, ia tidak boleh sama sekali menjejas keupayaan DAP berdikari dan terus menjalankan peranan sebagai parti majoriti Cina.

Dalam konteks itu, Middle Malaysia boleh dilihat sebagai penjenamaan dan penjelmaan semula Malaysian Malaysia yang sudah berusia 33 tahun.

Malaysiakini mengulas: "DAP juga mendapati dirinya menjadi sasaran pihak-pihak yang menuduhnya sebagai parti cauvinis Cina yang matlamatnya adalah menghakis hak istimewa orang Melayu dan menggugat Islam sebagai agama kebangsaan."

Ia menambah, sebelum ini DAP mempelopori konsep Malaysian Malaysia yang menekankan persamaan buat semua tetapi ditolak oleh majoriti orang Melayu.

Jadi, adakah Middle Malaysia berupa jawapan DAP kepada penolakan orang Melayu terhadap Malaysian Malaysia dan percubaannya meredakan perbezaan ideologi dan dasar yang luas di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat, khasnya dengan Pas?

(DAP memperjuangkan negara sekular manakala Pas memperjuangkan Negara Islam. Dasar DAP lebih hampir kepada PKR yang memperjuangkan persamaan.)

Usaha Selamatkan PR

Dalam konteks semasa, Guan Eng mungkin memperkenalkan Middle Malaysia sebagai usaha menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada perpecahan akibat perbezaan pendapat yang luas mengenai penggunaan kalimah Allah oleh Roman Katolik?

Walaupun DAP memperjuangkan sekularisme iaitu memisahkan agama daripada pentadbiran, tetapi dalam isu penggunaan kalimah Allah, ia memihak kepada tuntutan Roman Katolik.

Malah supremo (ketua agung) DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Guan Eng, menggesa dan mencabar pemimpin Sarawak dan Sabah agar menjadi pemangkin perbahasan mengenai isu ini. (Kalimah Allah bebas digunakan untuk aplikasi lisan dan tulisan bahasa Melayu di Sarawak dan Sabah).

(Semalam Malaysian Insider memetik Menteri Barisan Nasional dari Umno, Mohd Nazri Abdul Aziz “mengumumkan” kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam bukan sahaja di Sarawak dan Sabah, malah di Pulau Pinang dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.)

Soalnya, jika slogan ciptaan DAP ini diterima sebagai “teriakan perang” PR, bolehkah disimpulkan yang DAP kini muncul sebagai penentu dan pembicara ideologi (ideologue) Pakatan Rakyat?

Kemungkinan DAP muncul sebagai penentu dan pembicara ideologi PR tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana Pas dan PKR mengalami perbezaan pendapat dalaman yang ketara dan mendalam mengenai penggunaan kalimah Allah oleh lain daripada orang Islam.

Nampaknya, DAP mula menyedari bahawa apa yang diucapkannya mengenai sekularisme dan langkah mayatnya dulu jika mahu menubuhkan Negara Islam sukar dilaksanakan.

Malah, dalam usahanya mengekalkan sokongan orang Islam Pulau Pinang, Guan Eng dengan bangganya memberitahu konvensyen di Ipoh itu yang kerajaan negeri pimpinan DAP telah menambah dua kali ganda peruntukan bagi kegiatan Islam dalam Belanjawan 2010 kepada RM24.3 juta berbanding 2008.

Kalau dulu DAP bercakap mengenai idealisme dan perjuangan, kini ia bercakap mengenai kemenangan. Atas landasan ini, DAP sekarang mengakui pentingnya undi Melayu.

Malaysiakini memetik Guan Eng sebagai berkata DAP tidak akan memang bersendirian dan memberi situasi di Negeri Sembilan sebagai contoh.

Katanya, walaupun DAP menang hampir kesemua kerusi majoriti bukan Melayu iaitu sebanyak 10 di ngeri itu, ia masih belum boleh merampas Negeri Sembilan. Dalam pilihan raya umum 2008, PKR menang empat dan Pas satu di negeri itu.

Adakah Guan Eng mengambil Negeri Sembilan sebagai contoh semata-mata atau negeri itu kini menjadi sasaran kedua DAP selepas Pulau Pinang?

DAP Mahu PR Terima Middle Malaysia

Dan dengan yakin, Guan Eng berkata: "It goes without saying that we would expect our coalition partners to understand our platforms and build and expand our common grounds."

(Adalah tidak perlu disebutkan yang kita mahu rakan kongsi kita memahami platform kita dan membina serta memperluaskan aspek-aspek persamaan.)

Soalnya adakah DAP sebagai parti majoriti Cina mampu menjual konsep Middle Malaysia ini kepada Pas yang mendakwa dirinya parti Islam dan didukung oleh orang Melayu?

Sebenarnya, parti komponen PR yang lebih layak mempelopori konsep Middle Malaysia adalah PKR yang berupa parti pelbagai kaum dan komponen terbesar PR.

Buat waktu ini adalah sukar untuk membuat sebarang kesimpulan sahih mengenai konsep Middle Malaysia selain mengaitkannya dengan kemunculan Guan Eng sebagai jurucakap baru dan utama bagi Parti Tindakan Demokratik.
Posted by A KADIR JASIN at 3:42 AM 20 comments

No comments: