Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, January 12, 2010

Sultan Selangor: Allah Untuk Agama Islam Saja
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah bertitah dan sekali gus menunjuk jalan.

Baginda mahu semua pihak di negeri Selangor berpegang teguh kepada pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh semua agama, kecuali Islam.

Baginda memaklumkan yang pendiriannya itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

Baginda bertitah demikian pada 5 Jan. dalam pertemuan dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa bagi membincangkan perintah hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lau Bee Lan, 31 Dis. lalu, membenarkan akhbar mingguan Roman Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah.

Turut menghadap adalah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid, Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin dan Penasihat Undang-Undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu menjadi lebih penting kerana di Selangorlah paling banyak gereja dirosakkan dan Baginda sendiri akrab dengan ramai pembesar bukan Islam.

Selain itu, orang Islam Selangor khasnya dan penduduk Selangor amnya memerlukan panduan yang jelas dan nyata kerana kerajaan Pakatan Rakyat negeri nampaknya berpecah-belah dalam hal ini.

Diharapkan pendirian tegas dan jelas Sultan Sharafuddin Idris Shah ini akan menjadi contoh dan meredakan kegelisahan umat Islam yang tidak mahu kalimah Allah digunakan oleh agama-agama lain.

Titah Baginda itu adalah selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang ke-82 pada 5 Mei, 2008 yang berbunyi:

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khas bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimat tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Adalah diharapkan Raja-Raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu (yakni negeri-negeri yang beraja) yang lain akan segera membuat titah bagi meredakan kegelisahan umat Islam dan menyatakan dengan jelas kepada rakyat jelata bukan Islam mengenai kegelisahan orang Islam itu.

Nota Kaki: Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kedah. Tetapi sejak mula bekerja pada tahun 1969, saya menetap dan mengundi di Selangor. Jadi saya adalah rakyat ke bawah Duli Sultan Selangor. Daulat Tuanku.
Posted by A KADIR JASIN at 10:28 AM 0 comments

No comments: