Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Monday, January 11, 2010

Islam: Hak Dan Tanggungjawab Raja-Raja Melayu
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

AMARAN KHAS – Tolong berhati-hati apabila membincangkan isu ini kerana kita boleh dituduh menghina mahkamah dan/atau menghasut.

MASA sudah berlalu untuk retorik, janji dan kata dua. Orang Islam Malaysia sudah amat marah. Gereja sudah dibakar.

Kita boleh mengutuk perbuatan ganas dan berbahaya ini. Dan saya, sebagai blogger dan seorang Islam mengutuk perbuatan ini.

Tetapi kutukan dan ancaman mengambil tindakan paling tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, tidak akan menyelesaikan masalah pokok.

Ada orang sudah menabur angin. Maka hendak tidak hendak kita semua akan menerima badainya.

Seperti saya nyatakan dalam respons saya dalam ruangan komen blog ini, kita jangan sekali-kali memperkecilkan hak, kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam hal ini.

Dalam Perlembagaan negara, agama Islam adalah Agama Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama yang berhak dan bertanggungjawab ke atas agama Islam.

Jadi saya rasa, sudah sampai masanya bagi setiap orang Islam, sama ada sebagai individu, persatuan, pasukan atau kumpulan, merayu dan mendesak Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu agar campur tangan.

Alhamdulillah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah pun bertitah.

Baginda bertitah, bagi menjamin keamanan dan keharmonian di kalangan pengikut pelbagai agama, maksud dan rujukan kepada “Allah” dalam konteks umum wajib menepati deskripsi yang ditentukan oleh Islam kerana ini adalah amalan yang telah diterima selama ini oleh semua kepercayaan rakyat Malaysia.

Kata baginda: ""Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia,"

Sebagai ketua dan pelindung agama Islam dan adat resam Melayu, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu mempunyai hak, kuasa dan tanggungjawab memberi kata putus agar Allah kekal sebagai Allah orang Islam, Allah yang Satu.

Lihatlah apa yang telah terjadi. Bukan semua orang Islam boleh sabar dan bukan semua orang Islam tahu selok-belok agama Kristian.

Yang menggunakan “Allah” dalam penerbitan dan mencabar Menteri Dalam Negeri di mahkamah itu adalah mazhab Roman Katolik. Tetapi gereja yang diserang mungkin bukan gereja Roman Katolik. Mereka tidak boleh membezakannya.

Bagi orang Islam, khasnya di Semenanjung Malaysia, Allah adalah Tuhan orang Islam. Lagipun Allah yang disembah oleh orang Islam tidak sama dengan Tuhan yang disembah oleh Roman Katolik.

Allah orang Islam adalah satu. Adalah Esa. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tetapi Tuhan Roman Katolik mempunyai tiga bentuk penjelmaan. Tuhan sebagai Bapa, Tuhan sebagai Anak dan Tuhan sebagai Roh Suci.

Islam adalah Agama Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam.

Jadi kalau Baginda semua bertitah yang Allah hanya boleh digunakan oleh Islam, insya-Allah akan redalah kegelisahan orang Islam.

Soal derhaka kepada Raja, jika timbul atau ada pihak yang berani melakukannya, kita tangani kemudian. Buat saat ini, meredakan kegelisahan orang Islam adalah keutamaan.

Orang Islam tidak lagi boleh bergantung kepada kepemimpinan politik semata-mata.

Sudah amat jelas bahawa isu yang bermula sebagai isu pentadbiran dan mahkamah ini telah begitu teruk dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan, kegelisahan dan kemarahan umat Islam.

Hanya Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu boleh memberi dimensi baru yang positif kepada kemelut ini.

Daulat Tuanku.
Posted by A KADIR JASIN at 7:14 AM 45 comments

No comments: