Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, January 05, 2010

Saturday, January 02, 2010
Tahun Baru, "Allah" Dan Penyakit Koro
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

AMARAN KHAS – Tolong berhati-hati apabila membincangkan isu keputusan mahkamah mengenai penggunaan istilah “Allah” kerana kita boleh dituduh menghina mahkamah dan/atau menghasut.

[MUTAKHIR] --KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri Isnin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.
Esok, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Dis.
"Notis penangguhan pelaksanaan perintah itu akan difailkan esok di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini," kata Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said semasa dihubungi.
[Rencana Asal]
KALAU tajuk berita akhbar utama pada hari pertama tahun baru Masihi 2010 semalam hendak dijadikan petunjuk dan petanda mengenai apa yang akan datang, saya rasa kita wajarlah menyediakan diri untuk menghadapi tahun yang mencabar dan mendebarkan.

New Straits Times menyiarkan tajuk berita: Onward and Upwards – new economic model and 10th Malaysia Plan to drive growth, say Najib.

Dalam bahasa Melayu ia lebih kurang berbunyi “Ke hadapan dan ke atas: model baru ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 akan pacu pertumbuhan, kata Najib.”

The Star pun melaporkan mengenai sesuatu yang menghala ke atas atau yang naik. Ia menajuk-beritakan kenaikan 20 sen harga gula pasir sekilo kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sarawak dan Sabah.

Tetapi yang pasti menjadi perhatian banyak pihak adalah keputusan sensasi (sensational) Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lau Bee Lan membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya.

Perintah itu membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri terhadap Herald daripada menggunakan istilah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Walaupun Allah orang Islam dan “Allah” orang Kristian tidak sama, tetapi perkongsian istilah ini akan memberi kesan besar kepada umat Islam Malaysia.

Di Malaysia, istilah Allah secara semantik dan konvensyen dalam bahasa Melayu merujuk khusus kepada Tuhan yang disembah oleh orang Islam. Tuhan orang Islam adalah Allah.

Dalam bahasa Melayu, sama ada dari sudut semantik atau konvensyen, Tuhan agama-agama lain tidak disebut Allah.

Lagipun, menurut kepercayaan Kristian, Allah bukan satu tetapi mengandungi tiga bahagian iaitu “Allah” sebagai Bapa, “Allah” sebagai Anak (seperti yang diwakili oleh Nabi Isa Hissalam) dan “Allah” sebagai Roh Suci.

Perintah Hakim Lau Bee Lan yang menganggap pengharaman penggunaan “Allah” oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak sah, tidak laku dan kosong (illegal, null and void) perlu diselidiki dan difahami betul-betul.

Lau Bee Lan mengisytiharkan bahawa di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, perayu iaitu ketua mazhab Katolik Rom (Roman Catholic) Malaysia, Archbishop Tan Sri Murphy Pakiam, berhak menggunakan “Allah” dalam akhbar Herald. Archbishop Tan Sri Murphy Pakiam

Katanya, Pakiam boleh berbuat begitu kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada agama-agama, selain Islam, diamalkan dalam suasana aman dan harmoni di negara ini.

Sekarang terpulanglah kepada Kerajaan, parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan yang mewakili orang Islam memikirkan implikasi perintah mahkamah ini terhadap Islam dan akidah pengikutnya.

Mana tahu mungkin ada pembesar Islam dari parti orang Islam akan mengatakan apa salahnya agama Kristian diberikan hak menggunakan istilah Allah.

Kita sudah dengar bagaimana mereka sangat gembira dan berbangga apabila ada pembesar politik bukan Islam melafazkan ayat-ayat Al-Quran di khalayak ramai.

Umat Islam tidak boleh menyalahkan orang bukan Islam membuat perkara-perkara yang sebelum ini mereka tidak berani buat apabila ada sesetengah orang Islam sendiri secara sedar atau kerana kedangkalan pemikiran membuka pintu kepada persendaan Islam.

Berita Harian Online melaporkan gesaan Ahli Parlimen veteran Barisan Nasional (Umno) Mohamed Aziz agar Raja-Raja Melayu dan Kerajaan segera campur tangan dan merayu supaya isu itu tidak berlarutan sehingga menggugat sensitiviti orang Islam.

Sangat benar. Isu ini boleh mencetuskan keresahan. Seperti dilaporkan Utusan Malaysia Online, ahli 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan selepas solat Jumaat semalam bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Antara NGO yang mengambil bahagian adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Negeri Perlis, Selangor dan Perak, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni UMNO Luar Negara.

Yang Dipertua Perkasa Negeri Perlis, Ameir Hassan berkata, sebagai orang Melayu beragama Islam yang sekian lama menggunakan kalimah Allah, mereka berasa tercabar dengan keputusan itu.

Maaf cakaplah, bagi saya ini adalah satu lagi contoh bagaimana kekoroan dan kedangkalan minda sesetengah pembesar Melayu/Islam telah dijadikan kesempatan untuk menguji batasan yang sebelum ini dianggap larangan, off limit dan berbahaya.
Posted by A KADIR JASIN at 1:32 PM 87 comments

No comments: