KESERONOKAN BEKERJA
Keseronokan bekerja, sebenarnya adalah anak kunci kecemerlangan. Kecemerlangan kerja samada kakitangan kerajaan ataupun swasta membawa keuntungan dan kejayaan kepada negara dan individu sendiri.
Apabila kita menyebut mengenai berapa orang yang sukakan kerjanya?Sama ada, suka atau tidak, kenyataan yang hakiki, sebahagian hidup kita dihabiskan di tempat kerja, di meja kita, di kalangan rakan-rakan sekerja kita, berdepan dengan bos kita.
Walau bagaimanapun, kita mesti bekerja, tidak kira dengan siapa, kerja apa, atau di mana sahaja untuk menyara hidup kita dan keluarga. Itu adalah tanggung jawab kita.Jadi, bayangkanlah bagaimana keadaan hidup kita ini, sekiranya kita tidak suka, tidak seronok dengan apa yang kita lakukan, yakni tidak seronok dengan kerja kita, tempat kita mencari rezeki.
Ini bermakna kita terpaksa mengheret diri kita ke tempat kerja dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan kita dengan penuh rasa bosan, malas, bersungut sepanjang hari sehinggalah jam menunjukkan jam 4.30 atau 5.00 petang barulah kita akan berkeadaan cergas semula, boleh tersenyum dan bersemangat untuk pulang ke rumah!
Begitulah keadaannya dengan orang yang tidak suka dan tidak berminat dengan apa yang dilakukannya, tetapi terpaksa bekerja untuk menyara hidup dan keluarganya! Keadaan ini akan menjejaskan imejnya sebagai pekerja dan merupakan masalah serta bebanan yang terpaksa ditanggung oleh majikan dan negara.Ternyata sekali, kurangnya semangat bekerja, bekerja tanpa motivasi serta tiadanya sistem bimbingan pengawasan yang praktikal, akan menyebabkan timbulnya mutu kerja yang tidak berkualiti, produktiviti yang menurun dan mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan.
Satu persoalan yang harus kita renungkan bersama, apakah mungkin kita gabungkan diantara kecemerlangan, kualiti, produktiviti dan perkhidmatan kita dengan keseronokan bekerja?
Tidak bolehkah agaknya kita meningkat maju atau naik dengan cara menyukai kerja kita, meningkatkan keupayaan dan minat kita untuk menyukai, apa yang kita lakukan, tidak kiralah apa pun kerja kita ketika ini - amanah sebagai pekerja pejabat, kerani, pegawai ataupun eksekutif.
Anak kunci kejayaan peribadi, produktiviti, kenaikan pangkat dan gaji yang lumayan sesungguhnya bergantung kepada minat dan semangat bekerja kuat individu itu sendiri, disertai dengan sikap seronok dan cintakan kerja.
Oleh sebab terlalu seronok bekerja ada kalanya kita tidak sedar hingga pukul berapa kita bekerja siang dan malam. Orang beginilah yang akan menikmati kepuasan bekerja. Biasanya ganjaran bagi orang yang dapat menikmati keseronokan dan kepuasan bekerja ialah pangkat tinggi dan gaji lumayan serta dipandang tinggi oleh masyarakat.
Saya tidak pernah melihat, terutama yang bekerja di firma swasta, seorang pekerja yang tidak sukakan kerjanya, sentiasa merasa bosan dan bersungut, tidak sukakan bosnya kemudian dinaikkan pangkat dan gaji yang tinggi. Apa yang saya tahu mereka akan diturunkan pangkat diletakkan dalam cold storage dan akhirnya dipecat.
Cuba kita perhatikan pekerja bagaimana yang menjadi kesayangan dan rebutan majikan.Ciri-cirinya adalah seperti berikut:
* Pekerja yang benar-benar tahu dan mahir dalam kerjanya. Apabila diberi sesuatu tugasan, dia sentiasa berasa bangga, take pride dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya, walaupun orang lain tidak sanggup dan tidak mahu hendak mengerjakannya. Pekerja begini mudah dikenal pasti. Sekalipun majikannya tidak perasan, tetapi yang nyata orang luar yang berurusan dengannya boleh nampak dan mudah mengenalinya. Apabila pekerja ini ingin bersara awal, peluang baginya untuk berniaga atau bekerja di sektor swasta amat cerah. Itulah ganjarannya.
* Sentiasa menjadikan matlamat jabatannya sebagai matlamat dirinya sendiri dan sentiasa berusaha di sisi bosnya untuk mencapai matlamat tersebut, tidak kira berapa besar halangan dan cabaran yang harus ditempuhinya.
* Sentiasa berminat atas segala masalah dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat atau jabatannya. Dia cuba memahami masalah tersebut seolah-olah dia sebahgian daripada pasukan ketua jabatan atau Pengarah Urusan yang bertanggungjawab. Dia mengambil inisiatif merancang kaedah penyelesaian dan mengemukakan pelan tindakan kepada bosnya untuk perbincangan lanjut dan menawarkan dirinya melaksanakannya berdasarkan pengalaman dan kemahirannya.
* Sentiasa sanggup bekerja lebih masa, memanjangkan waktu kerjanya, melipatgandakan usahanya 10% lebih daripada rakan-rakan sekerja yang lain tanpa mengharapkan ganjaran lebih.
* Sentiasa bersifat jujur, amanah, bersikap terbuka, disenangi, bijak berkomunikasi, mempunyai personaliti yang menarik, bermotivasi tinggi dan berakhlak mulia.Itulah di antara ciri-ciri kecemerlangan yang ada pada diri orang yang sentiasa in great demand dan menjadi rebutan kepada majikan.Motonya berbunyi:
Ganjaran yang akan kita peroleh di dalam hidup ini akan mencerminkan tahap perkhidmatan kita yang sebenarnya terhadap masyarakat.Daripada aspek kewangan pula, wang ataupun ganjaran yang diperoleh adalah sebagai `pertukaran' kepada perkhidmatan yang telah ditawarkan.
Pekerja yang disayangi oleh majikannya adalah mereka yang berusaha memahami kehendak majikannya dan berusaha mencapai matlamat syarikat serta menaikkan imej kedua-duanya.Walau apa sahaja `kerja' kita, tugas kita yang pertama dan utama ialah menaikkan imej bos kita, serta imej jabatan dan organisasi yang diterajuinya.
No comments:
Post a Comment