Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Saturday, September 22, 2007

ORANG BERJAYA CINTAKAN KERJA


Orang Berjaya Cintakan Kerja

Kita masih memperkatakan mengenai kejayaan. Sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, kenaikan pangkat, gaji yang lumayan dan sebagainya, kita haruslah menanamkan tabiat membuat kerja lebh daripada apa yang dibayar. Akhirnya, kita akan dibayar lebih dari apa yang kita kerjakan. Ini merupakan prinsip kejayaan dalam kerjaya.

Mengikut undang-undang alam, undang-undang timbal balas, the law of increasing returns, menyatakan apabila kita mengamalkan tabiat ini, akhirnya kita akan menghasilkan ganjaran yang berlipat ganda. Ganjaran berupa kewangan dan keuntungan daripada perkhidmatan cemerlang yang kita berikan, contoh memperoleh gaji atau bonus yang lebih, kenaikan pangkat, status, imej diri sendiri dan juga imej organisasi.

Ini adalah satu kebenaran dan kenyataan yang telah terbukti! Daripada apa yang kita lihat atau jika kita bertanya kepada mereka yang telah berjaya sebagai pemimpin, big boss, jutawan dan apa jua pangkat dan jawatan tidak seorang pun yang berjaya itu adalah dirinya tanpa mengamalkan tabiat berkerja lebih daripada apa yang dibayar pada peringkat permulaannya.

Hampir semua orang yang berjaya, kaya dan ternama terdiri daripada mereka yang bermula dari peringkat bawah dan mengamalkan tabiat sedemikian. Akhirnya, ia akan membuahkan kejayaan yang lebih besar untuk status, perniagaan atau kerjaya mereka.

Mengikut undang-undang timbal balas, “berapa banyak usaha yang kita pertaruhkan dalam pekerjaan dan kehidupan kita, maka sebanyak itulah yang akan kita dapat balik.”

Kalau kita masukkan 10%, maka 10% yang kita akan dapat balik, dan jika kita kerja setakat RM500, maka RM500 yang akan kita terima. Kita tidak akan dapat RM5000, kerana usaha kita tidak sampai ke tahap itu! Oleh itu, jika kita mahukan lebih pendapatan, lebihkan jam kita bekerja dan lipat gandakan usaha kita, insyaAllah.

Persoalannya sekarang, bagaimana kita boleh wujudkan tabiat suka bekerja?

Kita mesti mempunyai elemen atau unsur-unsur suka ataupun cintakan kerja yang kita buat. Dengan perasaan minat, suka dan cintakan kerja, seseorang itu akan dapat menunjukkan dan melakukan kerja yang lebih cemerlang, cekap, berkualiti serta pantas di samping menyerlahkan segala bakat dan kebolehan dirinya.

Daripada kajian yang dibuat, penduduk dunia hanya menggunakan 10% dari kebolehan serta keupayaan mereka dalam kerjaya mereka. Bayangkanlah betapa ruginya, 90% daripada kebolehan, bakat dan potensi diri terus terkubur dalam diri kita tanpa dibangunkan. Faktor itulah, kita mendapati jumlah jutawan di dunia ini kurang daripada dua peratus.

Orang yang menikmati keseronokan bekerja akan bekerja tanpa mengira waktu, tidak berasa bosan dengan kerja yang disukainya dengan kadang-kadang tidak menghiraukan makan minum dan lupa waktu tidur.

Mengikut undang-undang bekerja, “semakin tinggi tahap keseronokan kita bekerja, semakin tiggilah ganjaran kewangan yang bakal kita terima kelak. Semakin tidak seronok kita bekerja, semakin kuranglah pulangan wang yang bakal kita terima dan semakin kuranglah produktiviti dan kualiti kerja kita.”

Kebanyakan orang berasa bosan atau benci dengan pekerjaan mereka, mengapa agaknya?

Hakikatnya jika, kita bekerja semata-mata untuk makan gaji sahaja, memanglah cukup bulan kita akan terima gaji. Sekiranya setiap hari kita datang bekerja dengan penuh semangat untuk menaikkan syarikat dan jabatan serta diri kita sendiri, kita akan mendapat manfaat sepenuhnya.

TUJUAN KITA BEKERJA

Pertama : Bekerja untuk mendapat gaji bagi menyara kehidupan, keluarga dan anak-anak kita.

Kedua : Bekerja untuk menaikkan nama syarikat atau jabatan kita.

Ketiga : Bekerja untuk belajar dan mencari pengalaman.

Keempat : Bekerja kerana kita seronok bekerja dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti, keuntungan dan imej jabatan kita.


Maka hasilnya sudah tentu cukup bulan kita bukan sahaja akan menerima gaji, tetapi sekali gus menerima sanjungan daripada bos. Pengalaman dan pengetahuan yang amat penting bagi kita dan akhirnya diri (self esteem) yang tinggi. Kita telah menghasilkan suatu tugas atau kerja yang memuaskan (a job well done). Bagi saya, inilah saat yang amat menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada diri saya.

Dan sebaliknya, bayangkanlah keadaan orang yang pergi bekerja sekadar bekerja untuk mendapatkan gaji. Mereka sekadar mengisi masa bekerja dan kemudian menunggu waktu pulang. Bagi mereka setiap hari adalah hari-hari yang membosankan, sama sahaja, tiada sebarang perubahan, peningkatan mahupun ilmu pengetahuan tambahan.

Kita boleh mengenali wajahnya, pergerakannya, percakapannya dn orang yang didampinginya. Pekerja yang kurang bermotivasi dan bersikap negatif akan mengurangkan kualiti serta produktiviti jabatan atau syarikatnya. Pekerja yang begini tidak akan mencapai sebarang kejayaan, keuntungan, peningkatan diri, syarikat atau jabatannya, malahan dia hanya menipu dan merugikan dirinya sendiri, serta menjadi bebanan kepada jabatan termasuklah merugikan sumber tenaga, malah turut -membebankan Negara.

Kadang-kadang kita perhatikan orang yang tidak pernah seronok di tempat kerjanya, dia juga tidak pernah seronok di rumah, dalam persatuan, malah di mana-mana sekalipun. Keseronokan dan kegembiran lebih merupakan tabiat mental seseorang. Kalau kita seorang yang periang, positif, kerja apa pun, dimana-mana pun, kita akan berasa gembira, dan seronok. Rasa keseronokan itulah yang akan membawa tuah, rezeki dan kejayaan pada diri kita.

Jadi, kalau kita mahukan perubahan, kejayaan, kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya, kita kena suntik unsur sukakan kerja, (in love with what we are doing) dan mempunyai niat dan matlamat untuk menaikkan jabatan atau syarikat kita.

Apabila syarikat kita naik, maju, dan produktif akan menguntungkan Negara. Dan kita sebagai rakyatnya akan makmur. Apabila Negara kita kaya dan makmur, kita juga akan turut merasai kemakmurannya. Untuk itu, sama-samalah kita mempertingkatkan kualiti diri, keluarga dan kerjaya kita.

“Anak kunci kecemerlangan kerjaya ialah `keseronokan bekerja’. Keseronokan berkerja adalah rahsia mencapai kejayaan, kekayaan dan keselesaan hidup. Cintakan kerja, jadikan tabiat seronok bekerja sebagai amalan hidup”

No comments: