Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Monday, June 08, 2009

Implikasi Barisan Baru Kepemimpinan Pas Kepada Isu Perpaduan Ummah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

BERGANTUNG kepada saluran maklumat mana yang kita ikuti, keputusan pemilihan Parti Islam Se Malaysia (PAS) membawa erti dan penekanan yang berbeza.

Setidak-tidaknya pun daripada aspek interpretasi dan kesimpulan yang dibuat ke atasnya.

HarakahDaily.Net, suara rasmi Internet Pas, pada hari Sabtu, 6 Jun menyiarkan tajuk berita “Pas tetap bersama Pakatan Rakyat membentuk 'government in waiting'

Tetapi ia turut memetik Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, sebagai menegaskan yang beliau akan meneruskan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk parti lawan.

HarakahDaily.Net memetik Nasharuddin memberitahu pemberita: “Jika merujuk kepada Ucapan Dasar Presiden sebelum ini, kita tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan sesiapapun sama ada badan bukan kerajaan (NGO), parti politik mahupun mana-mana pihak dalam membincang apa jua isu."

Ini boleh dilihat sebagai memberi pengertian bahawa walaupun ia akan terus bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak menolak kemungkinan berunding dengan parti-parti politik lain.

Malah kejayaan Nasharuddin mempertahankan jawatan Timbalan Presiden daripada cabaran Husam Musa dan dua calon lagi dalam Muktamar Ke-55 parti itu di Stadium Melawati Shah Alam semalam boleh dilihat sebagai pengukuhan dasar pintu terbuka itu.

Nasharuddin dilihat sebagai rapat dengan Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang, yang berupa penggerak utama dasar itu.

Inisiatif Abdul Hadi itu mendapat perhatian ramai apabila terkeluar khabar bahawa beliau telah mengadakan “pertemuan sulit” dengan Abdullah Ahmad Badawi beberapa bulan sebelum Abdullah bersara sebagai Perdana Menteri.

Kegagalan Husam yang dijenamakan sebagai “Erdogan” kerana sikap liberalnya menumbangkan Nasharuddin dikatakan telah mengukuhkan lagi kedudukan Abdul Hadi dan menyemarakkan kepemimpinan ulama.

Ironinya adalah walaupun Husam dianggap sebagai pemimpin kepada golongan liberal daripada kalangan bukan ulama namun dia dianggap sebagai anak didik politik Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas yang menentang cadangan kerjasama dengan Umno.

Secara berjenaka dan menyindir, Husam berkata beliau tidak menang mungkin kerana janggutnya tidak cukup panjang.

Tetapi dalam nada tegas dia memberi amaran Pas akan “membayar harga yang tinggi” jika terus “memujuk” Umno.

Ini berlainan dengan pandangan Nasharuddin yang dipetik oleh HarakahDaily.Net sebagai berkata keputusan untuk meneruskan idea tersebut dibuktikan menerusi pengundian oleh perwakilan.

Mungkin ada benarnya analisis Nashruddin itu kerana Abdul Hadi mengulangi komitmen kepada gagasan kerajaan campuran itu beberapa kali dalam Muktamar dan dalam sidang-sidang akhbarnya.

Walaupun Abdul Hadi dan kelompoknya dikaitkan dengan ulama dan berpendirian ortodoks, namun kenyataan beliau mengenai kerajaan perpaduan bukan sahaja liberal malah masuk akal.

Sebagai seorang pemikir dan perancang ideologi dan strategi Pas, Abdul Haji sedar bahawa kerjasama Pas dengan PKR dan DAP bukanlah sesuatu yang unggul sepenuhnya.

Malah Pas adalah komponen paling lemah dalam PR di peringkat nasional manakala di peringkat negeri ia memerintah Kedah dan Kelantan tanpa bantuan parti-parti lain.

Sebaliknya kemelut politik di Perak di mana Pas berupa rakan kongsi paling kecil tetapi ditonjolkan kerana DAP dan PKR tidak berupaya mengemukakan seorang Menteri Besar Islam telah memburukkan imej Pas.

Sebaliknya jika Abdul Hadi komited kepada perpaduan umat Islam yang berupa umat majoriti Malaysia, dia tidak boleh lari daripada melihat ke arah Umno.

Tanpa perpaduan umat Islam, yang majoritinya orang Melayu, perpaduan nasional yang sejati sukar diwujudkan.

Sekali gus keputusan pemilihan Pas itu memberi cabaran baru kepada Umno kerana ia perlu bersedia memberi respons yang boleh meyakinkan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokongnya.

Umno pasti sudah sedar bahawa ramai orang Melayu yang dulunya hanya dengar cakap Umno tetapi sejak Pilihan Raya Umum tahun lalu telah turut membukakan telinga kepada parti-parti lawan Umno.

Kesimpulan rambangnya, walaupun golongan agama dikatakan telah memperkuatkan kedudukan di dalam Pas, namun barisan kepemimpinan yang baru dipilih itu turut mengandungi ramai tokoh-tokoh liberal sama ada daripada kalangan yang berpendidikan agama mahupun pendidikan biasa.

Ini memberi gambaran bahawa dasar lebih liberal dan kepelbagaian suara akan menjadi wadah kegiatan dan perjuangan Pas, khasnya menjelang PRU nanti.

Senarai penuh keputusan pemilihan:

Presiden
Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden

Nasharudin Mat Isa, (480)

Naib Presiden

1) Tuan Ibrahim Tuan Man, (871)
2) Salahuddin Ayub, (824)
3) Mahfuz Omar, (636)

Ahli Jawatankuasa Kerja

1) Mohamad Nizar Jamaluddin, (854)
2) Idris Haji Ahmad, (799)
3) Kamarudin Jaffar (769)
4) Azizan Abd Razak, (653)
5) Dr Hasan Mohd Ali (642)
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli (638)
7) Abdul Ghani Samsudin, (637)
8) Abu Bakar Chik (622)
9) Mohamed Hanipa Maidin, (619)
10) Ir Amiruddin Hamzah, (606)
11) Dr Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali, (589)
12) Ab Ghani Abdul Rahman,(584)
13) Dr Dzulkefly Ahmad, (576)
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, (536)
15) Hashim Jasin, (522)
16) Mazlan Aliman, (513)
17) Taib Azamudden Md Taib, (508)
18) Dr Mujahid Yusof Rawa, (488).

No comments: