Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Friday, June 12, 2009

Melayu memang amat rindu kepada perpaduan

Ruhanie Ahmad

Gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh PAS adalah inisiatif optimistik. Ini kerana perpaduan siasah Melayu adalah teras kepada kemantapan siasah negara. Bila siasah Melayu kembali intim, bagai aur dengan tebing, lenyaplah kelompok oportunis yang selama ini melukut di tepi gantang atau menangguk di air keruh.

Hati pemimpin besar UMNO dan PAS kini hampir bertaut untuk merealisasikan gagasan ini. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bersikap terbuka terhadap gagasan berkenaan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan, partinya tidak akan menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam (Utusan Malaysia 8.6.2009).

Hadi juga yakin gagasan tersebut mampu menyelesaikan masalah negara. Katanya, gagasan ini juga adalah untuk kebaikan kita semua yang sekarang begitu rapuh dari segi perpaduan (Utusan Malaysia 6.6.2009).

Lantaran itu, gagasan ini wajar disokong oleh orang Melayu yang memang amat merindui perpaduan tulen lagi abadi. Sokongan ini penting. Survival bangsa Melayu hanya dapat dikekalkan jika wujud kesatuan hati di antara sesama Melayu. Bangsa Melayu juga hanya boleh terselamat jika kuat. Dan, hanyalah boleh kuat jika bersatupadu (Datuk Onn Jaafar, 1.3.1946).

Oleh sebab itu, seluruh orang Melayu wajar juga mengiringi usaha merealisasikan gagasan ini dengan jutaan doa dan harapan. Cendikiawan Melayu perlu membantu proses mengartikulasikan gagasan ini dari segi roh, jiwa, semangat, falsafah dan formatnya.

Pihak-pihak yang berhasrat untuk membangkang, insaflah bahawa gagasan ini adalah demi kepentingan Melayu yang kebelakangan ini diprovokasikan kesabarannya dan dihiris jiwanya oleh sesetengan elemen bukan Melayu.

Kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada perpaduan. Kesediaan pemimpin parti-parti politik Melayu untuk bertemu dan bermusyawarah sudah lama ditunggu setelah pertarungan politik menjerumuskan masyarakat Melayu di negara ini ke gaung perpecahan yang membimbangkan (Mustapa Mohamed 2001:73).

Gagasan kerajaan perpaduan ini masih samar-samar. UMNO dan PAS, dengan bantuan intelektual Melayu, perlu menghalusi seluruh kaedah, konsep dan teori yang serasi. Mereka wajar merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Nabi. Mereka juga boleh melakukan kajian perbandingan berasaskan apa juga pandangan yang merujuk kepada gabungan serta kerjasama politik di seluruh dunia.

Banyak ruang yang perlu diterokai dan banyak aspek yang perlu didihalusi oleh UMNO dan PAS. Proses ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran paling maksimum.

Pertama, adakah kerajaan perpaduan ini bermatlamat untuk melakukan satu koreksi total terhadap segala kepincangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya relevan dengan tuntunan zaman mutakhir ini?

Kedua, adakah kerajaan pepaduan ini bertujuan untuk mendorong UMNO dan PAS supaya menjadi lebih dedikated, fokus dan sensitif kepada permasalahan pribumi Malaysia dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia hari ini?

Ketiga, adakah penubuhan kerajaan perpaduan ini memerlukan satu emansipasi serta perubahan struktur yang radikal dalam organisasi UMNO dan PAS? Mungkinkah konsep kerajaan berkenaan memerlukan UMNO dan PAS dibubar dan dijelmakan semula menerusi satu wadah, imej, fokus, keutamaan, aspirasi, falsafah serta kombinasi aktor perjuangan yang baru?

Keempat, adakah kerajaan perpaduan ini merupakan kerajaan gabungan yang longgar atau satu ikatan yang erat seperti yang diamalkan oleh BN sejak 1 Julai 1974?

Kelima, bagaimanakah reaksi komponen bukan Melayu dalam BN mengenai gagasan ini? Bagaimana pula respons rakan seperjuangan PAS dalam PR mengenai gagasan yang sama?

Selain itu, wajar dipersetujui bentuk-bentuk manfaat, faedah dan ganjaran untuk semua pihak terbabit. Ini bukan soal remeh. Pengalaman di beberapa negara tertentu, soal-soal inilah yang lazimnya mencetuskan perbalahan antara komponen sesuatu gabungan sehingga menyebabkan keretakan dan perpecahan.

Dalam hal ini, UMNO, PAS dan BN wajar menyetujui prinsip-prinsip pembahagian kuasa di antara mereka. Contohnya, tidakkah PAS layak diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri Kedua? Kementerian manakah yang akan dikendalikan oleh menteri penuh daripada PAS?

Mungkinkah komponen BN akan mengizinkan UMNO dan PAS berperanan utama dalam mewujudkan pelbagai dasar sosio-ekonomi yang affirmatif dan lebih berorientasikan syara’? Apa pula ciri-ciri keseimbangan yang akan diwujudkan untuk mencerminkan kemajmukan Malaysia dalam konteks ini?

Sebagai strategi tempoh sederhana dan jangka panjang, UMNO dan PAS juga wajar mengemukakan satu blue-print bersama mengenai sosialisasi dan integrasi siasah bagi seluruh anggota mereka di peringkat akar umbi. Ini adalah untuk meleburkan sikap permusuhan siasah yang wujud selama ini supaya semangat ukhwah yang baru boleh ditransformasikan menjadi tenaga perjuangan yang jitu demi Islam dan Melayu.

Semua pandangan di atas hanyalah satu hipotesis. Bagaimanapun, ianya adalah berdasarkan observation peribadi saya terhadap kegagalan gabungan UMNO dan PAS dalam BN sebelum ini.

Contohnya, antara faktor utama yang menggagalkan perpaduan UMNO-PAS dalam BN sebelum ini adalah percakaran siasah yang wujud daripada rasa tidak puas hati mengenai pembahagian kerusi dalam sesuatu pilihan raya umum, pembahagian kerusi dalam kabinet, pembahagian jawatan di peringkat negeri dan daerah, serta petembungan sefera (spherre) pengaruh politik di peringkat akar umbi.

Oleh itu, soal pengaruh politik dan soal manfaat, faedah dan ganjaran ini wajar dihalusi secara tuntas dan rinci. Soal-soal strategik membabitkan orientasi, fokus serta falsafah BN yang baru juga perlu dibereskan secara telus dan jujur.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelengkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (Al-Qur’an, Al-Hujuraat 49:10).
13 comments Links to this post

No comments: