Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Sunday, March 22, 2009

PEMILIHAN MAJLIS TERTINGGI UMNO
By
Dr. Mahathir Mohamad
on March 21, 2009 3:00 PM | Permalink | Comments (89) | TrackBacks (0)
1. Perhatian rakyat Malaysia terutama orang Melayu ialah kepada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku dalam UMNO. Samada mereka ahli atau bukan ahli mereka tahu UMNO memainkan peranan yang besar dalam kehidupan mereka, dalam maju mundurnya Negara mereka.

2. Apa yang mereka lihat sehingga kini tidak menyenangkan hati mereka akan keupayaan UMNO dikekalkan.

3. UMNO yang telah perintah Negara ini dengan baik selama 50 tahun sekarang dilihat sebagai parti yang tidak bermaya.

4. Dalam hanya lima tahun dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti UMNO sudah rosak dan menjadi amat lemah. Seiring dengan kelemahan parti, Kerajaan juga menjadi lemah dan kehidupan rakyat sudah tidak lagi sempurna.

5. Sekarang Abdullah berjanji akan letak jawatan pada hujung bulan ini dan Dato Seri Najib Razak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Apakah Najib akan dapat memulihkan UMNO sehingga jadi kuat semula? Ini menjadi satu tanda tanya.

6. Apa yang berlaku dalam proses pemilihan kepimpinan tidak menjadi petanda yang baik. Parti UMNO sudah jadi parti perasuah. Samada ahli atau pemimpin, semuanya utamakan kepentingan diri.

7. Sepatutnya pemilihan pemimpin yang baru akan meyakinkan rakyat yang UMNO bersedia untuk membasmi gejala rasuah. Tetapi yang berlaku menunjuk yang UMNO tidak mempedulikan pemulihan parti dan pencapaian kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13. Yang diutamakan ialah untuk menjadi pemimpin UMNO dengan apa cara sekalipun. Harapan mereka jika jadi pemimpin UMNO akan dapat jadi Menteri dan dapat kontrak dan lain-lain nikmat untuk diri sendiri.

8. Ternampak jelas yang pencalonan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang dibuat oleh bahagian adalah hasil sogokan. Ramai yang dicalon diketahui umum telah beli undi. Dengan itu peluang pertama untuk memulih imej parti dikalangan rakyat sudah gagal kerana bahagian-bahagian utamakan sogokan. Peluang kedua untuk memulih imej parti juga tidak direbut. Sebenarnya Lembaga Disiplin dan Tribunal yang ditugas untuk membicara dan menghukum calon-calon yang dituduh terlibat dengan rasuah telah tidak menggunakan tugas mereka untuk memperbaiki imej parti. Sebaliknya Tribunal membuat keputusan yang menunjuk ia tidak bersungguh untuk menghukum mereka yang diketahui terlibat dengan rasuah. Dengan itu imej parti tidak terpulih dan menjadi lebih buruk.

9. Sekarang datang pula peranan para wakil untuk memulih imej parti dengan menolak calon yang dikenali mengguna wang untuk undi calon. Jika mereka tolak calon-calon ini, mereka akan sedikit sebanyak memulih imej parti dan kemungkinan parti akan menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.

10. Tetapi oleh kerana keputusan Tribunal membolehkan calon-calon yang diketahui korup bertanding, perwakilan mungkin akan pilih mereka ini untuk menganggotai Majlis Tertinggi. Apabila ini berlaku imej parti akan jadi lebih buruk dan besar kemungkinan parti akan dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-13.

11. Tetapi terdapat satu lagi peluang untuk imej parti dipulih. Apabila Kerajaan baru dibentuk oleh Dato Seri Najib, beliau boleh menolak pemimpin-pemimpin yang menang kerana rasuah daripada menganggotai Kabinet dan lain-lain jawatan Kerajaan pimpinannya. Jika sebaliknya Najib melantik orang yang diketahui menang kerana rasuah ke dalam Kerajaannya maka akan termusnahlah kepercayaan rakyat kepada Najib dan Kerajaannya. Tidak syak lagi yang UMNO dan Barisan Nasional akan kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13.

12. Saya percaya Dato Seri Abdullah akan paksa Najib pilih orang tertentu untuk jadi Menteri Kabinet Najib. Kita tahu sangat keinginan orang ini menjadi Perdana Menteri termuda. Sebenarnya kalau pun dia menang, penyertaannya dalam Kerajaan akan menyebabkan pengundi tolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13. Apatah lagi jika dia kalah dan masih lagi dapat tempat dalam Kerajaan.

13. Jika Dato Seri Najib memilih perasuah dan orang tertentu dalam Kerajaan pimpinannya, UMNO akan kalah dan terus hancur. Najib akan tinggal legasi sebagai pembunuh UMNO yang dihidupkan oleh ayahnya.

14. Ahli-ahli UMNO harus ingat tidak ada gunanya menjadi pemimpin UMNO, menjadi Presiden UMNO pun jika BN kalah dan tidak dapat tubuh Kerajaan.

15. Orang Melayu akan kutuk mereka yang telah hancurkan UMNO kerana mereka tamak dan mengkhianati bangsa dan negara.

No comments: