Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, March 10, 2009

Tuesday, March 10, 2009

8 MAC 2008-8 MAC 2009: SATU KRITIKAN DAN HARAPAN

Ruhanie Ahmad

Pada 8 Mac 2008, Malaysia dikejutkan oleh ledakan tsunami politik bila Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal menebus kekuasaannya di Kelantan menerusi PRU 12. Berikutnya, segolongan rakyat jelata termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mantan Perdana Menteri, pun mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengosongkan persada kekuasaan Malaysia. Pada waktu yang sama, beberapa tokoh UMNO, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula menyarankan supaya UMNO dan BN dibedah siasat secara komprehensif oleh sebuah organisasi yang nor-partisan.

Seluruh gesaan dan saranan di atas tidak menjadi realiti. Pemerintahan negara masih lagi dikuasai oleh Abdullah. Walaupun beliau dijangka menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada akhir Mac 2009, beberapa perkembangan mutakhir pula menyebabkan peralihan kuasa ini terus diragui dan dipolemikkan hingga ke hari ini.

Begitu juga hakikatnya dengan UMNO dan BN. Walaupun Abdullah menyatakan UMNO dan BN tidak perlu menjalani post-mortem sesudah PRU12, kedua-duanya masih lagi dalam keadaan yang tidak stabil. Calon BN daripada UMNO tewas dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kini Perak pula bergolak akibat kuasa Pakatan Rakyat di negeri itu diambil alih oleh BN baru-baru ini.

Senario di atas menggambarkan kedudukan siasah Malaysia selama setahun di era pasca PRU12 - BN masih gagal memulihkan kredibilitinya, PR dalam keadaan yang bercelaru, rakyat jelata pula seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kedua-dua pihak, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit dan mendera kesejahteraan hidup pada ketika ini.

Oleh itu, sempena ulangtahun pertama PRU12 pada 8 Mac 2009, semua pihak perlu berusaha untuk memulihkan kestabilan politik di negara ini. BN perlu mengemukakan formula baru jika mahu menambat sokongan majoriti anak-anak merdeka dalam PRU13. Para perwakilan UMNO mesti bersikap serius sewaktu memilih barisan kepimpinan tertingginya yang pada 26 Mac 2009 supaya mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya memelihara kemerdekaan negara dan membela rakyat jelata sahaja yang akan diberi tempat dan kedudukan.

Pada waktu yang sama, BN dan PR pula mestilah memberhentikan permainan serta percaturan politik kuasa masing-masing dan mencari jalan bersama untuk membela kesejahteraan rakyat jelata. Fikirkanlah semasak-masaknya sama ada pendekatan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dalam menangani dan menyelesaikan kegawatan politik 1969-1974 boleh diaplikasikan semula kepada senario mukathir ini. Jika tidak, politik Malaysia akan terus bergolak dan rakyat jelata pula akan terus didera penderitaan hidup yang berpanjangan.

Akhir sekali, fahami dan dekatilah generasi muda Malaysia yang merupakan force terbesar dalam menentukan kemenangan sesuatu parti dalam PRU13. Secara umumnya, usaha-usaha ke arah ini wajar dilakukan secara komprehensif, segera dan menerusi pendekatan yang secocok dengan aspirasi mereka. Usaha-usaha ke arah ini oleh pihak UMNO pula perlu dibuktikan menerusi kesungguhan parti tersebut dalam membanteras rasuah, salahguna kuasa, neopotisme, kronisme dan kemunafikan dalam perjuangan.
0 comments Links to this post

No comments: