Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Wednesday, March 11, 2009

Wednesday, March 11, 2009

MENEGAKKAN SEMULA POKOK PERJUANGAN YANG CONDONG

Ruhanie Ahmad

Program Hujah TV9 malam tadi memberikan beberapa jawapan kepada rakyat Malaysia, mengapakah UMNO kini bermasalah, tidak diyakini oleh segolongan orang Melayu, dan amat dijauhi oleh segolongan anak-anak merdeka.

Menurut Datuk Seri Rais Yatim yang jadi tetamu Hujah, UMNO kini bagaikan pohon condong yang jadi rambatan kura-kura. Katanya lagi, pokok yang condong ini perlu ditegakkan semula supaya umat manusia dapat berteduh di bawah naungannya.

Kenyataan Rais mengenai UMNO bagaikan pohon yang condong ini membanyangkan sikapnya yang ikhlas dan berterus-terang. Tetapi, cita-citanya untuk menegakkan semula pohon perjuangan yang condong ini mencerminkan sikap Rais yang optimistik.

Rais optimistik kerana usaha menegakkan pokok perjuangan yang condong bukan satu usaha yang tidak besar. Usaha menegakkan pokok perjuangan yang condong bukannya satu usaha yang tidak memerlukan komitmen dan keikhlasan. Usaha menegakkan semula pokok perjuangan yang sudah condong bukannya satu usaha yang tidak menuntut semangat juang yang jitu, pukal dan sukarela.

Jadi, siapakah yang perlu melakukan kerja-kerja menegakkan semula pokok perjuangan yang condong ini? Apakah pra-syaratnya? Siapakah aktor utamanya? Adakah pokok perjuangan itu mahu ditegakkan semula supaya berdiri ke arah kiblat? Adakah pokok ini mahu ditegakkan semula mengikut arah matahari terbit? Adakah pokok itu mahu ditegakkan semula mengikut arah matahari terbenam?

Sesudah pokok perjuangan itu ditegakkan semula, siapakah yang perlu menyiraminya setiap pagi dan petang? Siapakah yang akan memberikan bajanya setiap bulan? Siapakah yang akan memotong ranting-rantingnya yang kering dan reput? Siapakah yang akan memusnahkan rumput parasit yang merambat ke batangnya? Siapakah yang akan membunuh seluruh anai-anai yang bersembunyi di bahagian akarnya? Siapakah yang akan menghalau segala beruk yang gemar bergayut sehingga merosakkan dahannya? Siapakah yang akan menghalau tupai yang akan membaham buahnya yang masih putik? Siapakah yang akan memagarinya pada setiap masa untuk mengelakkan kaum pengkhianat menebang pokok itu untuk dijadikan tangga di rumah mereka?

Permasalahan ini boleh disifatkan sebagai remeh. Tetapi seluruhnya juga boleh disifatkan sebagai permasalahan yang strategik mengenai sesuatu pokok perjuangan yang mahu ditegakkan semula.

Apapun, tahniah kepada Porf. Madya Mohammad Agus Yosoff kerana menerusi pendekatannya yang kurang bekeng, beliau berjaya mencungkil analogi pokok perjuangan ini daripada Rais. Moga-moga Agus selaku seorang pensyarah sains politik akan membantu Rais menjawab seluruh permasalahan strategik yang disenaraikan di atas untuk membolehkan pokok perjuangan tersebut kembali hijau, rendang, burung-burung sudi bersarang di situ sambil bersiul riang setiap pagi dan petang, dan anak-anak merdeka juga sudi bergilir-gilir untuk memagari pokok perjuangan itu daripada para pengkhianat yang mungkin menebangnyanya untuk dijadikan tangga memanjat martabat secara jalan pintas.
0 comments Links to this post

No comments: