Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Saturday, December 27, 2008

Friday, December 26, 2008

KT Uji Pemulihan BN Selepas Permatang Pauh

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SETELAH gagal menguburkan karier politik Anwar Ibrahim --- mengguna pakai slogan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin --- di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, Umno menghadapi cabaran yang lebih besar di Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Umno dan Barisan Nasional boleh berdalih dalam kekalahan teruk di Permatang Pauh. Kerusi itu kubu Anwar sejak tahun 1982 dan dipegang bagi pihaknya oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sejak pilihan raya umum 1999.

Cakap besar dan gagal belajar daripada penolakan pengundi pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah antara sebab besar Umno dan BN kalah dengan lebih teruk di Parmatang Pauh.

Pertaruhan di Kuala Terengganu lebih besar ertinya bagi Umno dan BN. Tidak seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu adalah milik BN.

Calon BN pada PRU 8 Mac, Allahyarham Datuk Razali Ismail, mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu, dengan kelebihan 628 undi sahaja.

Kerusi ini kini mempunyai 80,229 pemilih berdaftar, termasuk 1,035 pengundi pos, yang terdiri daripada 88.2 peratus Melayu, 10.9 peratus Cina dan 0.6 peratus India.

BN telah menamakan senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebagai calonnya manakala Pas akan mengumumkan calonnya pada 1 Januari.

BN meletakkan nilai yang tinggi kepada Kuala Terengganu apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak berkata:

“Kita mesti memenangi Kuala Terengganu kerana kita mahu menjadikannya permulaan kepada pemulihan BN daripada kekalahan di Permatang Pauh."

Soalnya, apakah persediaan BN akan lebih mantap daripada di Parmatang Pauh?

Sama ada dirancang atau spontan, tindakan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membangkitkan soal Hukum Hudud dalam perbahasannya dengan Naib Presiden Pas, Husam Musa, boleh menjadi senjata makan tuan.

Walaupun debat itu telah mencetuskan perselisihan faham antara Pas dengan DAP ia boleh juga membawa mudarat kepada Umno.

Kenyataan Husam bahawa Pas akan tetap melaksanakan Hukum Hudud apabila keadaan mengizinkan telah menimbulkan kemarahan orang kuat DAP, Lim Kit Siang, yang berkata Hukum Hudud bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat yang komited kepada pengekalan Malaysia sebagai negara sekular.

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran, bagaimanapun, yakin pengundi Cina Kuala Terengganu tidak akan terpengaruh dengan isu Hukum Hudud yang katanya dimainkan oleh BN.

Kalau Khairy bercadang memerangkap Pas dengan membangkitkan isu itu, dia mungkin telah melakukan kesilapan taktik yang besar.

Selama ini Pas mendakwa ia tidak dapat melaksanakan Hukum Hudud di negeri-negeri yang diperintahnya kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pas hanya perlu memulangkan paku buah keras dengan menyoal Umno mengapa, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, ia tidak melaksanakan Hukum Hudud sedangkan ia berkuasa di Parlimen dan boleh meminda Perlembagaan.

Pada teorinya, pelaksanaan apa jua dasar dan hukum oleh kerajaan negeri boleh dilaksanakan jika tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kini, dengan bilangan yang lebih ramai di Parlimen, parti-parti komponen PR boleh memainkan perasan yang lebih besar meminda Perlembagaan.

Dengan membuka semula debat mengenai Hukum Hudud, Pas boleh memalukan BN, khasnya Umno, dengan meminta Parlimen mendebatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkannya melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Dengan 23 Ahli Parlimen, Pas boleh memberi kemenangan kepada pindaan itu jika disokong oleh wakil-wakil BN. Atau setidak-tidaknya menguji pendirian Ahli Parlimen Umno dan Ahli Parlimen PKR yang beragama Islam.

Jadi bahas Hukum Hudud yang didalangi oleh Khairy kononnya untuk memerangkap dan memalukan Husam dan Pas itu boleh menjadi senjata makan tuan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Hatta inilah juga hujah Kulasegaran. Katanya DAP menghormati hasrat Pas melaksanakan Hukum Hudud tetapi ianya tertakluk kepada parti itu memperoleh sokongan dua-pertiga di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Soalnya apakah DAP akan menyokong Pas di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya Hukum Hudud boleh dilaksanakan?

Apatah lagi Kulasegaran sendiri berkata tidak apa yang perlu ditakutkan oleh orang bukan Islam kerana Hukum Hudud hanya untuk orang Islam.

Kesimpulannya, bagi BN mempertahankan Kuala Terengganu adalah lebih penting daripada memenangi Permatang Pauh.

Tetapi jika BN mengulangi kesilapan yang dilakukannya di Permatang Pauh, kemungkinan ia kehilangan Kuala Terengganu adalah besar.

Bagi Pas pula, merampas Kuala Terengganu adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang dan bukanlah suatu yang mustahil kerana ia pernah beberapa kali mengusai kerusi itu.

Ini adalah pertandingan di mana kedua-dua belah pihak boleh menang atau kalah hanya dengan mengelakkan kesilapan.
10 comments

No comments: