Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Thursday, December 25, 2008

UMNO KHIANATI SAYA, KATA ZAHAR

Umno khianati saya, kata Zahar
Muda Mohd Noor | Dec 24, 08 4:44pm
Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim berkata, beliau tidak mengkhianati Umno, tetapi sebaliknya Umno yang mengkhianatinya.

“Orang Melayu hanya mendapat projek yang kecil sahaja kerana projek besar diberi kepada kroni yang boleh memberi wang semula kepadanya,” katanya.

Zahar berkata, beliau tidak kesal meninggalkan Umno kerana orang Melayu meluat dengan kepimpinan termasuk di Selangor.

“Bagaimana Tan Sri Muhammad Muhd Taib boleh menjadi menteri, ketua penerangan Umno dan Senator, tidak ada orang lain lagikah yang layak.

“Para pemimpin Umno sudah tidak ada kualiti, orang yang terlibat dengan politik wang, boleh menjadi menteri,” katanya.

umno zahar join pas 241208 speaking.jpgZahar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Zahar (foto, tengah) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau mendakwa, Muhd Taib bersama tujuh atau lapan ketua Umno bahagian di Selangor telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meminta supaya beliau (Muhd Taib) dilantik sebagai ketua perhubungan Umno baru Selangor, menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Tak calon Mat Taib


Zahar mendakwa, Muhd Taib telah menyalahkan Dr Mohd Khir di atas kekalahan teruk (Barisan Nasional) di Selangor.

"Hubungan saya dengan Tan Sri Muhd Taib sudah renggang," katanya.

Beliau mendakwa, satu ketika dulu, beliau yang mempertahankan Muhd Taib apabila menteri besar Selangor ketika itu, meminta Tan Sri Muhd Taib tidak dicalonkan bertanding dalam pilihanraya.

Zahar juga mendakwa, banyak kesilapan yang dilakukan oleh Muhd Taib dalam Umno.

"Kerana itu, bahagian saya - Petaling Jaya Selatan (PJS) - tidak mencalonkan beliau (Muhd Taib) untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

"Dia (Muhd Taib) marah saya kerana saya bercakap bahagian PJS tidak akan mencalonkan beliau, semasa berada di rumah Muhd Taib," katanya.

Sebab itulah, dakwa Zahar, Muhd Taib mensabotaj mesyuarat Pemuda Umno PJS, tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

Ketika diminta mengulas tawarannya pejabatnya kepada PAS, Zahar berkata, bangunan tersebut adalah miliknya.

Serah pejabat Umno


Beliau mendakwa kesemua pekerja di pejabat Umno bahagian tersebut, juga turut menyertai PAS bersamanya.

"Setiap hari, sekurang-kurang terdapat lima orang pekerja di pejabat tersebut," tambahnya.

Kini, katanya, pejabat tersebut telah menjadi pejabat PAS dan pekerja PAS juga akan turut ditempatkan di situ.

umno zahar join pas 241208 hasan ali and nasharuddin.jpgMengenai dakwaannya bahawa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa Umno bahagian turut menyertai PAS, Zahar berkata, Umno PJS kini berdepan dengan masalah besar ekoran tindakan mereka itu.

Kira-kira 70 orang menghadiri majlis tersebut, dan sebahagian daripadanya difahamkan adalah ketua cawangan dan AJK berkenaan.

Zahar juga meminta ahli-ahli PAS di kawasan berkenaan supaya jangan memandang serong niatnya untuk menyertai PAS.

"Niat saya adalah untuk membantu parti (PAS) dan orang-orang Melayu, khususnya di Petaling Jaya Selatan," katanya.

Pada masa ini, katanya, Umno PJS memberi sumbangan bulanan sebanyak RM150 seorang kepada orang miskin di kawasan tersebut, selain bantuan makanan seperti gula, beras dan minyak.

Zahar berkata memandangkan beliau yang membiayai sumbangan dan bantuan tersebut, maka ianya akan diteruskan walaupun beliau kini bersama PAS.

Isu Eurocopter

Ditanya mengapa beliau memilih PAS, Zahar berkata: "Ia kerana PAS adalah satu-satunya parti (orang) Melayu".

Ditanya mengapa beliau bertindak meninggalkan Umno selepas mendapat kemewahan dari parti tersebut, Zahar berkata: "Mula-mula saya masuk parti (Umno), saya sudah pun ada sebuah kereta mercedes".

Mengenai kes Eurocopter, Zahar berkata beliau mahu mendedahkan lebih banyak bukti mengenai penyelewengan kes Eucopter tetapi sukar berbuat demikian kerana ia membabitkan pegawai kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

"(Bagaimanapun) saya juga tidak tahu adakah kandungan pendedahan tersebut tertakluk dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tambahnya.

Zahar berkata, beliau adalah jurucakap kepada tiga syarikat yang memasuki tender untuk mendapatkan kontrak tersebut.

“Mereka anggap saya jurucakap kerana mereka tidak berani bersuara. Kita marah kerana penender membayar RM1 juta untuk memasuki tender, sedangkan kerajaan telah menetapkan syarikat yang memperolehi tender tersebut,” katanya.

Zahar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan pembelian Eurocopter semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai.

No comments: