Wednesday, December 10, 2008
Kegagalan Sistem Pengawasan Punca Tragedi Berulang?
1. Tragedi yang berlaku di Bukit Antarabangsa ahad lalu sangat menyedihkan. Saya mendapat panggilan jam 4 pagi mengenai perkara tersebut dan terus membuat beberapa panggilan kepada pihak berkuasa bagi mendapat maklumat sebenar.
2. Sungguhpun laporan sebuah akhbar tempatan selepas peristiwa tersebut menunjukkan seolah-olah saya dan Tan Sri Khalid saling salah menyalahkan, namun ia bukanlah gambaran sebenar. Kenyataan saya bahawa projek pembangunan tersebut diluluskan sebelum pentadbiran saya adalah tepat. Demikian juga kenyataan Tan Sri Khalid bahawa projek tersebut diluluskan oleh pentadbiran sebelumnya. Memang projek tersebut diluluskan lama sebelum saya mahu pun Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar.
3. Pembangunan di kawasan tanah tinggi bukanlah fenomena baru. Kita lihat pembangunan Genting Highlands telah berlangsung sejak tahun 60-an tetapi masih utuh. Jadi soalnya bukanlah pembangunan tanah tinggi tetapi bagaimana memastikan pembangunan yang dijalankan terancang, mampan dan tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan orang ramai pada masa hadapan.
4. Sebenarnya banyak kawasan runtuh adalah melibatkan kawasan yang dibangunkan lebih 20 tahun lalu. Mungkin ketika itu kesedaran dan pengetahuan mengenai sistem aliran air bawah tanah dan keadaan muka bumi tanah amat cetek. Teknologi dan kaedah pembangunan juga tidak mementingkan sistem perparitan yang baik dan pengukuhan tanah sekeliling kawasan pembangunan.
5. Pandangan awal saya (kita perlu menunggu siasatan terperinci pihak teknikal untuk mengetahui sebab sebenar), pembangunan kawasan ini tidak diawasi dan diselenggara dengan baik terutamanya sistem perparitan. Kawasan ini juga tidak dibangunkan secara sepenuhnya yang menyebabkan tanah yang tidak dibangunkan tidak ada yang menjaga atau mengawasinya sehingga tanda-tanda awal kelemahan struktur tanah tidak dapat di kesan. Ini ditambah pula dengan tidak ada undang-undang khusus yang boleh dikenakan ke atas pemilik tanah terbiar ini.
6. Untuk pengetahuan umum, pembangunan kawasan baru hanya diluluskan setelah mendapat kelulusan semua jabatan teknikal dalam jawatankuasa khas. Jawatan kuasa khas ini diketuai oleh setiausaha kerajaan negeri. Syarat ketat pengukuhan lereng dilaksanakan sepenuhnya. Sepanjang pentadbiran saya, tiada pengaruh politik yang terlibat dalam meluluskan projek projek tersebut. Semua ketua jabatan dan pakar-pakar pembangunan lereng bukit terlibat dalam melulus, menyelia dan memantau pembangunan tersebut. Kerajaan Selangor juga telah membuat keputusan pembangunan lereng bukit kelas 3 dan kelas 4 diberhentikan sejak tahun 2oo6.
7. Dahulu juga saya ada menubuhkan pasukan khas untuk memantau lereng bukit berisiko tinggi yang terdiri dari pakar-pakar dari JKR, JPS, PBT, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Geologi dan jabatan teknikal lain. Laporan mesti dibentangkan setiap tiga bulan, sebab itu tiada kejadian tanah runtuh yang serius selepas peristiwa di kampung pasir tahun 2006.
8. Kerajaan Selangor yang lepas juga telah mengenakan denda maksima RM 500 ribu kepada mana mana pemaju yang gagal menyelenggara kolam takungan dengan sempurna. Hampir RM 6 juta dikutip hasil denda ini.
9. Saya tidak pasti sama ada sistem 'monitoring' ini masih diteruskan atau tidak oleh kerajaan hari ini. Jika ia masih diteruskan saya tertanya-tanya mengapa tiada maklumat awal mengenai kejadian tanah runtuh ini. Saya difahamkan kelemahan struktur tanah tidak berlaku dalam sehari dua, sebaliknya ia mengambil masa berminggu-minggu malah berbulan sebelum berlaku tanah runtuh.
10. Mungkin selepas ini ada pula yang ingin mencari siapakah yang bertanggungjawab meluluskan pembangunan lereng bukit 20 tahun lalu di Bukit Antarabangsa. Saya fikir mencari salah siapa tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya yang perlu dibincang dan dibahaskan hari ini ialah apakah langkah terbaik bagi menjaga pembangunan kawasan lereng bukit sedia ada dari mengalami nasib yang sama.
11. Selain melakukan pengawasan secara kerap dan berkala, saya ingin mencadangkan dua tindakan (yang saya pernah cadangkan suatu ketika dahulu) untuk diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini.
a. Pertamanya kerajaan perlu memberi peruntukan untuk mengukuhkan cerun-cerun yang berkaitan dengan pembangunan lama. Pada hemat saya ia mungkin mencecah berbilion ringgit termasuk mengambil semula tanah tanah milik persendirian yang terbiar.
b. Keduanya bagi kawasan yang terlalu kritikal menurut pandangan pakar haruslah ada usaha memindahkan penduduk ke kawasan baru.
Dalam ketika kita sibuk menunding jari mencari salah siapa, usaha mengatasi masalah juga harus diutamakan. Masalah tidak akan selesai dengan hanya mencari salah orang lain.
No comments:
Post a Comment