Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Wednesday, December 31, 2008

Tuesday, December 30, 2008

Majoriti Akan Tentukan Percaturan Kuala Terengganu

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KEMPEN pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu bermula awal bagi Barisan Nasional/Umno walaupun penamaan calon hanya akan diadakan pada 6 Januari ini dan pengundian pada 17 Januari.

Pakatan Rakyat yang akan menamakan calonnya hanya pada 1 Januari ini perlu segera memperjelaskan pendiriannya mengenai dasar dan isu yang menjadi pertimbangan pengundi Kuala Terengganu.

Utusan Malaysia melaporkan yang bakal calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, telah mula berkempen dengan menemui pengundi di tempat-tempat awam.

(Saya sengaja menggunakan istilah bakal calon kerana penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya belum diadakan dan hanya SPR boleh mengesahkan pencalonan seseorang.)

Utusan melaporkan Wan Ahmad Farid sebagai berkata parti-parti pembangkang, khususnya Pas, tidak mempunyai isu untuk diketengahkan.

Dia berkata begitu ketika bertemu pengundi di Kedai Kopi Ladang, di Kuala Terengganu.

Katanya Pas juga tidak mungkin mampu meraih undi lebih besar apatah lagi mencatatkan kemenangan.

''Pengalaman masa lalu jelas membuktikan rakyat Kuala Terengganu tidak mudah termakan pujuk rayu Pas kerana ia biasanya hanya retorik politik,'' katanya.

Pada pilihan raya umum (PRU) 8 Mac lalu calon BN, Allahyarham Razali Ismail menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Sebanyak 80,229 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pemilih pos layak mengundi pada pilihan raya kecil kali ini.

Dalam hubungan ini, BN nampaknya lebih bersedia daripada Pakatan Rakyat/Pas yang dilaporkan akan menamakan bakal calonnya hanya pada 1 Januari.

Sementara itu, soal-jawab antara parti-parti PR masih terterusan ekoran daripada kenyataan Naib Presiden Pas, Husam Musa, bahawa parti itu tetap komited kepada pelaksanaan Hukum Hudud.

Yang terbaru adalah kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokrat (DAP), Karpal Singh, bahawa DAP akan menyokong calon Pas hanya jika parti itu tidak meneruskan agenda Negara Islam, Hudud dan Qisas.

Katanya pendirian DAP mengenai isu itu tidak pernah berubah iaitu ia adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk kepada pernyataan kehakiman (judicial pronouncement) tahun 1988 oleh panel lima hakim Mahkamah Agung yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas bahawa Malaysia adalah negara sekular menurut Perlembagaan dan bukan Negara Islam.

Karpal berkata oleh sebab Husam telah menarik balik kenyataannya, maka DAP akan menyokong calon Pas.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai menyanggah tuduhan Presiden MIC, S. Samy Vellu bahawa beliau (Karpal) adalah harimau tanpa taring.

Karpal juga meminta ketua de facto Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim segera membuat pendirian mengenai cadangan Pas itu.

Katanya Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap matlamat Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk melaksanakan hudud.

Sementara itu, PKR sendiri sedang mengalami masalah dalaman apabila komponen Indianya yang dilaporkan sebagai tidak berpuasa hati dengan kepemimpinan parti itu, khasnya dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.

Namun, penentuan kemenangan BN/Umno atau PR/Pas di Kuala Terengganu bergantung kepada pemilih majoriti iaitu pemilih Melayu yang berupa 80 peratus daripada pemilih Kuala Terengganu.

Hati dan aspirasi mereka inilah yang perlu ditangani oleh Umno dan Pas bukannya terlalu taasub dengan mantera kononnya hidup mati mereka bergantung kepada pemilih minoriti.
16 comments

No comments: