Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Wednesday, December 24, 2008

Tuesday, December 23, 2008

Perselisihan Uji Daya Tahan Pakatan Rakyat

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

DUA perkembangan terbaru yang membabitkan Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) boleh memberi kesan terhadap daya tahan dan kelangsungan Pakatan Rakyat.

Pertama tunjuk perasaan Pemuda Pas terhadap pertandingan tarian I-Dance anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang dan kedua kenyataan Naib Presiden Pas, Husam Musa, bahawa parti itu tetap akan melaksanakan Hukum Hudud.

Dalam hal pertama, tindakan Pemuda Pas itu dikesali oleh Ketua Pemuda Sosialis (DAPsy), Loke Siew Foo yang menyifatkannya sebagai mengecewakan.

Manakala dalam peristiwa kedua, supremo (orang kuat) DAP, Lim Kit Siang menyelar Husam dan meminta beliau memberi penjelasan.

Katanya, kenyataan Husam itu boleh menyebabkan keraguan di kalangan pengundi bukan Islam di Kuala Terengganu yang bakal mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen bulan depan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Lim berkata: “Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan adalah tanggungjawab Husam memperjelaskan apa yang beliau sebenarnya katakan.”

Lim bukan sekadar menolak Hukum Hudud, malah mengingatkan Husam bahawa DAP menyertai Pakatan Rakyat dengan Pas dan PKR berlandaskan dasar bahawa “Malaysia kekal sebagai negara sekular berasaskan kontrak sosial yang digubal pada tahun 1957.”

Tindakan Lim Kit Siang merujuk kepada Malaysia sebagai negara sekular tidak memeranjatkan. Itu sememangnya pendirian DAP sejak diasaskan pada tahun 1965.

Apa yang menarik adalah tindakannya mengaitkan hujah itu dengan kontrak sosial yang pada ketika ini semakin dipertikaikan kewujudannya oleh orang bukan Bumiputera.

Apakah ini bermakna bahawa DAP bersedia mengakui kewujudan kontrak sosial dan menerima peruntukannya seperti yang dijelmakan oleh Perlembagaan Persekutuan?

(Antara prinsip utama kontrak sosial adalah keistimewaan hak kepada orang Melayu dan agama Islam dan pemberian kewarganegaraan kepada kaum pendatang pada tahun 1957.)

Apakah perbalahan Pas-DAP ini sekadar tindak tanduk politik menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu atau petanda kepada keretakan yang lebih serius?

Umum maklum bahawa jurang ideologi dan dasar di antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah cukup luas.

Kalau kita menggunakan acuan politik universal, kita boleh mengkategorikan PKR sebagai parti liberal demokrat, Pas sebagai parti agama dan DAP parti sosialis.

Kesediaan dan kejayaan mereka bergabung pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah kerana keberkesanan Anwar Ibrahim sebagai orang tengah dan kerana ketiga-tiga parti itu menyedari kelemahan Barisan Nasional.

Kemenangan yang tidak mereka duga dalam pilihan raya itu membuatkan mereka menjadi lebih yakin dan mengambil keputusan mengubah kerjasama pilihan raya mereka menjadi parti gabungan Pakatan Rakyat.

Soalnya sampai bilakah ahli dan penyokong mereka perlu atau bersedia menunggu sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan sebagai parti gabungan yang sah?

Sebelum Pakatan Rakyat boleh diperbadankan sebagai pakatan yang tetap, ia perlu diterima dan disahkan dulu oleh ahli ketiga-tiga buah parti terbabit. Kalau tidak silap saya, proses itu belum lagi dilaksanakan.

Soalnya, dengan kerenggangan yang jelas antara Pas dan DAP di peringkat ideologi dan dasar serta di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai, adakah mampu Anwar dan PKR terus menjadi pemangkin, penyatu dan pendamai?

Apatah lagi Anwar dan PKR sendiri mempunyai masalah kewibawaan. Kegagalannya mengotakan janji menumbangkan Kerajaan BN pada 16 September lalu sedikit sebanyak menjejaskan imejnya sebagai Ketua Pembangkang Parlimen dan ketua de fakto Pakatan Rakyat.

Kontroversi yang dicetuskan oleh ahli Parlimennya bagi kawasan Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin pada forum mengenai “memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu mencemarkan perhubungan dengan DAP dan di kalangan ahli PKR sendiri.

Pendirian Zulkifli itu dilihat sebagai berlawanan dengan dasar dan pendirian liberal PKR.

Baru-baru ini pula, Pakatan Rakyat dilihat sebagai telah termasuk perangkap apabila “terpaksa” menyokong beberapa rang undang-undang reformasi Abdullah Ahmad Badawi.

Antaranya rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah walaupun mereka tidak puas hati dengan peruntukannya.

Pakatan Rakyat terpaksa menyokong kerana rang undang-undang reformasi Abdullah itu menyamai tuntutan pembangkang selama ini.

Sedikit sebanyak, kesan persengketaan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat mungkin akan dimanifestasikan dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu di mana Pas akan bertemu Umno.
31 comments

No comments: