Marhaban4u.com

MESYUARAT AGONG PERTAMA KOPERASI DAN TARAWIKH AFATS 2009

Tuesday, December 23, 2008

Sunday, December 21, 2008

Kembalikan Matematik dan Sains Kepada Bahasa Melayu


1. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

2. Dengan kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.

3. Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

4. Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Rencam pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.

5. Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.

6. Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.

7. Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.

8. Saya memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

9. Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa yang tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

10. Namun setelah lima tahun pelaksanaannya, kita perlu bertanya kembali, ruyung yang mahu dipecahkan sudah mengeluarkan sagu atau yang dikendong berciciran yang dikejar entah ke mana?

11. Apa guna kita melahirkan seribu ahli akademik yang melahirkan pendapat akademik dalam bahasa Inggeris dan terbentang dalam jurnal antarabangsa tetapi beratus ribu anak Melayu akan datang tidak menguasai kemahiran asas mengira dan juga ilmu kemahiran hidup (sains)?

12. Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan matapelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , saya khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh.

13. Saya akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.

14. Setelah mendengar banyak pendapat di bawah, juga pandangan di atas, yang dari “kiri”, juga “kanan” dan “atas pagar”, saya fikir:

a. Sudah tiba masanya kerajaan kembali kepada sistem pengajaran yang lama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar untuk Matematik dan Sains di sekolah terutamanya dari tahun satu sehingga ke Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

b. Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.

c. Elaun tambahan yang sebelum ini diberikan kepada guru PPSMI boleh dikekalkan dengan syarat mereka memperuntukkan beberapa jam tertentu dalam seminggu mengajar kelas tambahan sebelah petang kepada para pelajar.

d. Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matemati dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.

e. Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan inggeris di peringkat lebih awal.

15. Saya sedar betapa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin menghadapi keadaan yang amat sukar untuk membuat keputusan. Ini kerana walau apa pun keputusan yang dibuat ia akan tetap membangkitkan polemik baru. Tidak mungkin sesuatu keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak.

16. Namun keputusan ini harus di buat atas kepentingan anak bangsa bukannya ego politik parti pemerintah mahu pun berdasarkan siapa yang paling kuat melobi.

17. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga kerajaan yang mengubah sesuatu keputusan demi kebaikan yang lebih besar tidak akan jatuh maruahnya.
1 comments

No comments: